Kanser Buah Pinggang | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» MAKLUMAT KANSER » Jenis Kanser » Kanser Buah Pinggang

Kanser Buah Pinggang

Isi Kandungan

  1. Pengenalan
  2. Punca Kanser Buah Pinggang
  3. Simptom Kanser Buah Pinggang
  4. Ujian Pengesahan
  5. Rawatan
  6. Kesan Jangka Panjang
  7. Pencegahan

 

Pengenalan

Buah pinggang adalah dua organ berbentuk kacang, bersaiz sebesar sebiji penumbuk setiap satu. Mereka terletak di abdomen sebelah kiri dan kanan tulang belakang. Buah pinggang menapis keluar kotoran dari darah dan membuat air kencing.

 

Jenis jenis kanser buah pinggang

  • Adenocarcinoma, iaitu kanser yang bermula daripada glandular sel yang menghasilkan mukus di buah pinggang. Ia melibatkan bahagian buah pinggang yang menapis darah.
  • Renal pelvis carcinoma berlaku di bahagian buah pinggang dimana air kencing dihasilkan.
  • Wilm’s tumor yang merupakan sejenis kanser buah pinggang yang terjadi pada kanak kanak.

 

Punca Kanser Buah Pinggang

Punca sebenar kanser ini masih belum diketahui dan masih dalam kajian lagi. Tetapi terdapat beberapa faktor risiko yang akan meningkatkan kebarangkalian seseorang itu menghadapi kanser ini. Ia adalah:

  • Merokok
  • Obesiti
  • Tekanan darah tinggi
  • Sejarah kanser ginjal dalam keluarga
  • Penyakit buah pinggang yang lain
  • Von hippel Lindau disease
  • Hereditary papillary cell carcinoma

 

Simptom kanser buah pinggang

Tanda tanda mungkin akan muncul apabila kanser telah melarat:

  1. Sakit belakang berterusan, terutama di bawah tulang rusuk
  2. Air kencing bercampur darah
  3. Sakit abdomen
  4. Abdomen buncit
  5. Benjolan pada abdomen
  6. Sakit di bahagian pinggul
  7. Kelesuan
  8. Demam berpanjangan
  9. Susut berat badan
  10. Kurang darah merah

 

Ujian Pengesahan

Doktor akan mengambil maklumat dengan terperinci berkaitan dengan sejarah kesihatan anda. Doktor juga akan melakukan pemeriksaan fizikal pada abdomen bagi memeriksa sebarang ketulan di abdomen. Bagi lelaki doktor juga akan memeriksa testis yang bengkak ataupun varicocele.

Antara ujian yang dilakukan bagi mengesahkan penyakit ini adalah:

  • Biopsi
    Biopsi adalah prosedur pengambilan sampel daripada kawasan yang disyakit mengalami kanser. Sampel tersebut akan dihantar ke makmal bagi dilihat dibawah mikroskop.
  • Ujian Bilangan Sel Darah (Full blood count)
    Ujian darah ini digunakan untuk memeriksa jumlah sel darah merah. Salah satu fungsi buah pinggang adalah untuk menghasilkan hormon eryhthropoietin yang menggalakkan penghasilan sel darah merah. Penghasilan sel darah merah ini akan terjejas ketika mana terdapat kanser ini. Ia boleh menyebabkan penghasilan darah merah yang berlebihan(polycythemia) ataupun kurang(Anemia).
  • Fungsi Buah Pinggang
    Ujian fungsi buah pinggang adalah bagi melihat sama ada fungsi buah pinggang terjejas atau pun tidak disebabkan masalah ini. Bacaan yang akan dilihat adalah creatinine, urea dan elektrolit lain seperti potassium dan sodium di dalam darah.
  • Ujian Air Kencing
    Ujian air kencing bagi memeriksa kehadiran darah di dalam air kencing ataupun tanda tanda jangkitan air kencing. Kehadiran darah mungkin salah satu petunjuk terdapat kanser ini.
  • Ujian Pengimejan
    Ujian ini dilakukan untuk melihat imej buah pinggang tersebut dan juga kawasan kanser yang telah merebak. Beberapa ujian yang boleh dilakukan adalah:

 

Ultrasound - Ultrasound abdomen dan pundi kencing bagi memeriksa struktur dan saiz buah pinggang. Jika terdapat kanser, ultrasound boleh melihat saiz dan karakter ketumbuhan tersebut

Renal angiography - Prosedur ini melibatkan kateter yang dimasukkan ke dalam saluran darah utama di kaki ke dalam saluran darah buah pinggang. Mereka akan menyuntik sejenis pewarna dan xray akan diambil. Ini membantu doktor memeriksa saluran darah ke buah pinggang dan ke ketumbuhan sekiranya terdapat kanser.

CT scan, MRI dan PET scan - Pengimejan jenis ini adalah bagi melihat tulang, otot, lemak, organ dan saluran darah di sekitar buah pinggang. Ini digunakan untuk menetukan sekiranya kanser telah merebak ke tempat lain.

 

Rawatan kanser buah pinggang

  1. Pembedahan
    Rawatan kanser buah pinggang tertumpu kepada membuang ketumbuhan dari badan. Ini biasa dilakukan melalui pembedahan. Pembedahan boleh dibahagikan kepada jenis radikal atau konservatif.

 

Radikal nefrektomi ialah pembedahan membuang buah pinggang termasuk tisu di sekitarnya serta kelenjar limfa. Ini dilakukan melalui bukaan yang besar ataupun laparoskopi iaitu menggunakan kamera.

Konservatif nefrektomi iaitu membuang hanya ketumbuhan, tisu di sekeliling dan biji limfa. Buah pinggang tidak dibuang. Sel kanser boleh dibunuh dengan pembekuan dipanggil kryosurgeri ataupun melalui radiofrekuensi ablation menggunakan haba.

  1. Kemoterapi dan Radioterapi
    Bagi kanser yang telah merebak ke bahagian badan lain, pembedahan sahaja tidak mencukupi. Setelah ketumbuhan dibuang, rawatan lain diperlukan seperti immunotherapy, targeted therapy, dan radiasi.

 

Immunotherapi menggunakan bahan kimia imun versi sintetik seperti interferon dan aldesleukin

Targeted drugs direka untuk menghalang sesetengah signal abnormal yang ada pada sel kanser. Sebagai contoh axinitib, bevacizumab dan sorafenib. Ia menghalang penghasilan saluran darah baru yang membekalkan nutrien kepada sel kanser.

 

Kesan jangka panjang kanser ginjal

Hampir 65% kanser buah pinggang dan pelvis ditemui di tahap awal sebelum mereka merebak. Kanser boleh merebak ke buah pinggang lagi satu tetapi lebih kerap merebak ke paru paru. Kanser yang telah merebak lebih sukar untuk dirawat.

 

Antara komplikasi kepada kanser ini ialah:

  • Tekanan darah tinggi
  • Jumlah kalsium yang berlebihan dalam darah
  • Penghasilan sel darah merah secara berlebihan
  • Masalah hati
  • Peluang untuk hidup bergantung kepada keadaan ketika dirawat. Bagi pesakit kanser tahap 1, peluang hidup adalah sebanyak 81%.

 

Cara mengelakkan kanser buah pinggang

Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan kanser ini. Ia adalah:

  • Berhenti merokok
  • Amalkan pemakanan seimbang dan sihat
  • Mengawal berat badan sihat
  • Melindungi diri daripada terdedah kepada toksin
  • Mengawal tekanan darah tinggi

 

Disediakan oleh: Pn. Shafikah Rahim

SUMBER:

https://thediagnosa.com/kanser-buah-pinggang-punca-simptom-rawatan/

https://www.nuhospitals.com/surgeries/surgery-for-kidney-and-bladder-cancer

https://www.healthline.com › health › kidney-cancer

Kemaskini:: 11/08/2022

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXERCAK~