Malaysia Di Landasan Tepat Perangi Hepatitis C | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » Malaysia Di Landasan Tepat Perangi Hepatitis C

Malaysia Di Landasan Tepat Perangi Hepatitis C


Hari Hepatitis Sedunia diraikan setiap tahun pada 28 Julai
untuk meningkatkan kesedaran mengenai virus hepatitis. Tema peringkat antarabangsa tahun ini adalah "Hepatitis Can't Wait". Ini menunjukkan betapa pentingnya mengesan seramai mungkin individu yang dijangkiti hepatitis, bagi membolehkan rawatan segera serta vaksinasi dapat diberikan.

KUALA LUMPUR: Malaysia berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghapuskan hepatitis C menjelang 2030.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, meskipun berdepan pandemik COVID-19, namun ia bukan penghalang untuk Malaysia secara aktif menjalankan saringan virus hepatitis C (HCV).

"Ini merupakan usaha yang berterusan menerusi kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM), FIND (pakatan global untuk diagnostik), DNDi (organisasi penyelidikan dan pembangunan tanpa untung Inisiatif Ubat untuk Penyakit Terabai) yang menjadi pemangkin kepada desentralisasi pemeriksaan dan rawatan hepatitis C ke klinik-klinik kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi webinar FIND dan DNDi yang disiarkan melalui penstriman langsung YouTube FIND semalam sempena sambutan Hari Hepatitis Sedunia hari ini 28 Julai.

Dr Noor Hisham berkata, webinar tersebut membuka mata orang ramai akan kepentingan menangani penyakit hepatitis C yang sering dipandang ringan.

Disamping itu, katanya, Malaysia komited memanfaatkan segala potensi yang ada untuk mencegah penyakit ini.

Katanya, walaupun WHO menyasarkan untuk menghapuskan penyakit ini pada 2030, hanya sekitar 10 hingga 15 peratus populasi dunia yang mempunyai akses kepada rawatan hepatitis C.

"Kombinasi peningkatan akses kepada ujian saringan dan penyembuhan adalah asas bagi kita untuk mencapai matlamat WHO mengurangkan jangkitan dan kematian, mengesan jutaan pesakit, mendiagnosis mereka dan merawat hampir semua pesakit terbabit," katanya.

Sebelum ini, data WHO menunjukkan, sehingga 2019, hanya 21 peratus daripada 58 juta orang yang dijangkiti HCV kronik di seluruh dunia telah didiagnosis.

WHO menganggarkan, pada 2019, kira-kira 290,000 orang meninggal dunia akibat hepatitis C

  • Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah –

 

Disediakan oleh: Pn. Shafikah Binti Rahim

Sumber:
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/malaysia-di-landasan-tepat-perangi-hepatitis-c-dr-noor-hisham-310773

https://mobile.twitter.com/KKMPutrajaya/status/1420200996899233793

https://fb.watch/723wy6Zahv/

Tarikh Input: 30/07/2021 | Kemaskini: 09/01/2023 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXDdBAL~