Prihatin Kesihatan Pekerja Wanita, Anjur Program Lawatan Kesedaran Kanser | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» BERITA » Prihatin kesihatan pekerja wanita, anjur program lawatan kesedaran kanser

Prihatin kesihatan pekerja wanita, anjur program lawatan kesedaran kanser

Serdang, 4 Mac 2024 - Bagi meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan wanita  mengenai risiko kanser, Pengarah Urusan X Consultancy Group telah mengadakan program lawatan ke  Unit Sumber Pendidikan Kanser dan Klinikal (CCARE) di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menghargai kakitangan wanita sempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun. Turut hadir ke lawatan ini adalah Pengasas dan Pengarah Urusan Aeruma Group bersama 13 orang kakitangan lelaki dan Wanita.

Pendekatan menerusi program lawatan ini adalah untuk menambah ilmu pengetahuan mengenai kanser dan kepentingan melakukan pemeriksaan awal kanser terutamanya kanser payudara dan kanser serviks. Dalam lawatan ini turut diselit pengisian oleh Pakar Surgeri Bariatrik; Metabolik & Surgeri Am  Prof. Madya Dr. Zubaidah Nor Hanipah, Ketua Unit Sumber Pendidikan Kanser dan Klinikal (CCARE), turut ‘menyentuh’ mengenai kepentingan pengesanan awal kanser dengan tema "To Screen Or Not To Screen" dan demostrasi Pemeriksaan Sendiri Payudara.

"Kesedaran tentang kanser sangat penting dalam masyarakat kita," kata Prof. Madya Dr. Zubaidah. "Pemeriksaan awal dan amalan gaya hidup sihat dapat menyelamatkan nyawa dan mencegah perkembangan kanser ke tahap yang lebih serius."

Menurut Pengarah Urusan, Shawn Lee, program ini antara inisiatif dilakukan oleh X Consultancy Group bagi memastikan kesihatan kakitangannya dalam keadaan yang terbaik.

“Justeru, menyedari kesedaran ini bukan hak mutlak Wanita semata-mata maka kami turut memupuknya dalam semua kakitangan untuk menggalakkan pemeriksaan kesihatan secara berkala,” katanya.

Lawatan ini menandakan komitmen dua syarikat utama ini dalam menyokong kesedaran kesihatan semua kakitangan, wanita amnya dan memperkuat hubungan antara sektor swasta dan sektor kesihatan awam dalam usaha memerangi kanser wanita.

Lawatan berakhir dengan harapan bahawa pengetahuan yang diperoleh akan diterjemahkan menjadi tindakan praktikal untuk memerangi kanser wanita dan menyokong kesejahteraan wanita di Malaysia.

Tarikh Input: 06/03/2024 | Kemaskini: 06/03/2024 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXEbNAg~