Hari Kesedaran Kesihatan Tabung Haji 2025 | CLINICAL AND CANCER RESOURCE EDUCATION UNIT (CCARE)
» NEWS » Hari Kesedaran Kesihatan Tabung Haji 2025

Hari Kesedaran Kesihatan Tabung Haji 2025

Kuala Lumpur, 25 September 2025 – Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama PM Care telah menganjurkan Hari Kesedaran Kesihatan Tabung Haji 2025, sebuah inisiatif yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan fizikal dan mental dalam kalangan warga kerja.

Program yang berlangsung di Ibu Pejabat Tabung Haji, Kuala Lumpur ini telah menarik kehadiran lebih daripada 250 orang kakitangan TH, yang turut serta dalam pelbagai aktiviti berkaitan kesihatan dan kesejahteraan diri.

Sebagai rakan strategik, PM Care memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini dengan menyediakan ceramah kesihatan bertajuk “Tips Kesihatan Jantung Secara Umum”, selain menyokong pelaksanaan kempen derma darah dan pameran kesihatan yang mendapat sambutan hangat daripada para peserta.

Turut memeriahkan acara ialah pembukaan beberapa gerai jualan produk kesihatan dan pemakanan seperti Farm Fresh, Vitagen, Yakult dan pelbagai jenama lain, sebagai usaha menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan warga kerja.

Sementara itu, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) turut dijemput bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada peserta melalui:

  • Saringan kesihatan percuma (BMI, tekanan darah, bacaan gula dalam darah)
  • Ujian kolesterol berbayar (pilihan)
  • Konsultasi kejururawatan
  • Promosi portal perkhidmatan hospital

Pasukan HSAAS terdiri daripada lima (5) orang kakitangan kesihatan, merangkumi pegawai kesihatan dari Unit CCARE, pegawai dari Unit Pemasaran Korporat, serta jururawat profesional yang bertugas sepanjang program berlangsung. Mereka turut memberikan khidmat nasihat berdasarkan keputusan saringan kesihatan yang diterima oleh para peserta.

Program ini memberi ruang kepada warga kerja TH untuk lebih memahami status kesihatan masing-masing serta mengambil langkah awal dalam mencegah penyakit tidak berjangkit seperti hipertensi dan diabetes. Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen TH dalam memperkasakan kesejahteraan menyeluruh kakitangan melalui pendekatan proaktif terhadap kesihatan.

Kolaborasi erat antara Tabung Haji, PM Care dan HSAAS dalam menjayakan Hari Kesedaran Kesihatan 2025 diharapkan dapat memberi impak positif dan menyemai budaya hidup sihat dalam kalangan warga TH serta komuniti yang lebih luas.

Date of Input: 01/10/2025 | Updated: 01/10/2025 | aimerul

MEDIA SHARING

CLINICAL AND CANCER RESOURCE EDUCATION UNIT (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
Z, (11:19:38am-11:24:38am, 30 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]