Cabaran Lensa Kanser Merdeka #CaREprihatin | CLINICAL AND CANCER RESOURCE EDUCATION UNIT (CCARE)
» NEWS » Cabaran Lensa Kanser Merdeka #CaREprihatin

Cabaran Lensa Kanser Merdeka #CaREprihatin

SERDANG: Bagi menyemarakkan sambutan hari kemerdekaan dan bulan kebangsaan, Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE), Universiti Putra Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan fotografi bertemakan kanser dan merdeka. Program ini juga merupakan tanda solidariti CaRE bersama UPM dalam penganjuran program Patriotisme@putra sempena kemerdekaan.

Program yang diberi nama Cabaran Lensa Kanser Merdeka #CaREprihatin ini memberi ruang dan peluang kepada rakyat Malaysia untuk meluahkan inspirasi melalui foto dan kapsyen bertemakan kanser dan merdeka. Secara umumnya, objektif pertandingan ini diadakan adalah untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan sempena bulan kebangsaan dan berkongsi katakata dan gambar inspirasi kepada masyarakat khususnya pesakit/survivor/penjaga pesakit kanser.

Program yang menggunakan Facebook sebagai platform ini diadakan bermula pada 21 Ogos 2021 dan berakhir pada 16 September 2021. Terdapat dua kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori A yang dikhususkan buat pesakit, survivor dan penjaga pesakit kanser, manakala Kategori B pula terbuka kepada orang awam. Selain itu, kategori foto dengan bilangan ‘like’ tertinggi turut dipertandingkan. Peserta hanya perlu memuat naik gambar beserta kapsyen bertemakan kanser dan merdeka di akaun Facebook peribadi mereka dan kemudian menanda (tag) halaman Facebook CaRE UPM. Peserta juga perlu mematuhi syarat-syarat penyertaan yang telah dimuat naik di laman sesawang CaRE UPM. Program ini telah dipromosikan secara meluas melalui Facebook, aplikasi Whatsapp dan publisiti melalui rakan kerjasama NGO dan kumpulan sokongan kanser.

Seramai 6 orang pemenang telah diumumkan pada 20 September 2021. Puan Wan Norhayat Wan Yusof telah dipilih mengungguli Kategori A (Pesakit, survivor dan penjaga kanser) melalui karya bertajuk ‘Kanser@Merdeka (Kisah Seorang Pejuang)’. Beliau juga telah berjaya merangkul hadiah foto dengan bilangan ‘like’ tertinggi dan memenangi wang tunai berjumlah RM 400.00. Tempat kedua pula telah dimenangi oleh Puan Vellarry May dengan karya bertajuk ‘Anda adalah lebih besar daripada perasaan anda’. Beliau memenangi wang tunai RM 200.00. Tempat ketiga pula dimiliki oleh Puan Hajah Haliza Abdul Halim dengan karya bertajuk ‘Kemerdekaan di sebalik anugerah’. Wang tunai sebanyak RM 100.00 telah dimenangi.

Bagi Kategori B (Orang awam), tempat pertama telah dimenangi oleh Puan Nur Diana Ahmad Zamidi. Karya bertajuk ‘Penyambung Warisan’ itu telah berjaya memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM 300.00. Tempat kedua pula telah dimenangi oleh Puan Tengku Marni Syahirah T Muhamad dengan karya bertajuk ‘Merdekakah kita?’. Beliau telah memenangi wang tunai RM 200.00. Kesemua pemenang turut menerima sijil penyertaan digital.

Diharapkan perkongsian foto dan kapsyen dari peserta dapat memberikan inspirasi kepada pejuang kanser untuk terus kuat dan bersemangat mendepani cabaran kanser.

Date of Input: 22/09/2021 | Updated: 05/01/2023 | aimerul

MEDIA SHARING

CLINICAL AND CANCER RESOURCE EDUCATION UNIT (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXDTTAU~