
Serdang, 22 September 2025 – Program UPM Haematology Update 2025 1.0 & World Chronic Myeloid Leukemia Day telah berlangsung dengan jayanya di Auditorium Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia pada 22 September 2025. Acara ini dianjurkan bersempena World CML Day, dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran mengenai Chronic Myeloid Leukemia (CML) serta mengetengahkan kemajuan terkini dalam pengurusan penyakit tersebut.
Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Profesor Madya Dr. Bahariah Khalid, selaku Pengerusi Program, yang menekankan kepentingan penyelidikan berterusan dan kerjasama antara ahli sains, pengamal perubatan, dan pesakit dalam usaha mempertingkatkan mutu penjagaan kesihatan dalam bidang hematologi.
Program ini memberi tumpuan kepada perkembangan terkini dalam rawatan hematologi, khususnya dalam pengurusan anemia, leukemia, dan penyakit darah lain yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat moden.
Unit Sumber Pendidikan Kanser dan Klinikal (CCARE) turut memainkan peranan dalam menjayakan program ini melalui penganjuran sesi perbincangan ilmiah bertajuk “Pendekatan Paliatif untuk Pesakit Hematologi” serta pembukaan gerai pameran dan jualan buku berkaitan penyakit kanser, sebagai usaha menyebarkan maklumat yang bermanfaat kepada orang awam.
Antara pengisian utama program ialah sesi perkongsian pengalaman daripada pesakit hematologi, termasuk pesakit CML yang telah berjaya menjalani rawatan. Perkongsian ini memberi inspirasi kepada para hadirin dan menekankan keperluan pendekatan holistik dalam rawatan pesakit, merangkumi aspek psikologi, emosi, dan sokongan sosial, di samping rawatan perubatan.
Program telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Ir. Dr. Abd Rahim bin Abu Talib, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia, dan berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Majlis ini turut menyaksikan pelancaran World Chronic Myeloid Leukemia Day, yang memberi penekanan bukan sahaja kepada kemajuan rawatan, tetapi juga kepada usaha berterusan dalam meningkatkan kualiti hidup pesakit di peringkat global.
Dengan kejayaan penganjuran tahun ini, UPM Haematology Update 2025 1.0 & World Chronic Myeloid Leukemia Day diharapkan dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang menjadi platform untuk pengamal perubatan berkongsi pengetahuan, bertukar pandangan, dan menggalakkan penyelidikan dalam bidang hematologi — khususnya berkaitan penyakit darah yang semakin kompleks seperti CML.
Tarikh Input: 01/10/2025 | Kemaskini: 03/11/2025 | aimerul

Blok Utara, Pusat Pengajaran dan Latihan (Aras 1)
Hospital Sultan Abdul Aziz Shah
Persiaran Mardi - Upm,
43400 Serdang,
Selangor