Program Kesedaran Dan Pencegahan Penyakit Kelamin (STD) Tingkatkan Kesedaran Warga UPM Dan HSAAS | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE) care
» BERITA » Program Kesedaran dan Pencegahan Penyakit Kelamin (STD) Tingkatkan Kesedaran Warga UPM dan HSAAS

Program Kesedaran dan Pencegahan Penyakit Kelamin (STD) Tingkatkan Kesedaran Warga UPM dan HSAAS

SERDANG, 14 Julai 2026 – Unit Promosi Kesihatan, Sumber Pendidikan Kanser dan Klinikal, Seksyen Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Komuniti, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program Kesedaran dan Pencegahan Penyakit Kelamin (STD) pada 14 Julai 2026 bertempat di Mini Theatre, HSAAS.

Program ini dianjurkan sebagai inisiatif memperkasa pengetahuan serta meningkatkan kesedaran warga UPM dan HSAAS mengenai pencegahan penyakit kelamin, kepentingan saringan awal serta amalan penjagaan kesihatan seksual dan reproduktif.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Urusan Klinikal HSAAS, Prof. Madya Dr. Aneesa binti Abdul Rashid, selepas ucapan aluan oleh Ketua Seksyen Kesihatan Awam HSAAS, Prof. Madya Dr. Anita binti Abd Rahman.

Program tersebut menghimpunkan warga UPM, HSAAS, pakar kesihatan serta pelbagai pihak berkaitan melalui sesi perkongsian ilmu yang memberi penekanan kepada aspek kesedaran, pencegahan, pengesanan awal, rawatan dan sokongan kepada individu yang terkesan dengan penyakit kelamin.

 

Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai sesi ceramah yang membincangkan topik berkaitan penyakit kelamin atau Sexually Transmitted Diseases (STD) dan Sexually Transmitted Infections (STI), kaedah pencegahan, kesihatan reproduktif, jangkitan Human Papillomavirus (HPV), Human Immunodeficiency Virus (HIV), serta kepentingan menghapuskan stigma terhadap individu yang hidup dengan penyakit tersebut.

 

Bagi menyemarakkan penglibatan peserta, program turut diserikan dengan sesi regangan ringan yang dikendalikan oleh Unit Fisioterapi HSAAS serta cabutan bertuah.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen HSAAS dalam memperkukuh pendidikan kesihatan dan membudayakan kesedaran mengenai kepentingan saringan awal, amalan kesihatan yang selamat serta sokongan tanpa stigma dalam kalangan komuniti.

Selaras dengan aspirasi HSAAS untuk melahirkan masyarakat yang lebih peka terhadap kesihatan, program ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai pencegahan penyakit kelamin serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat demi kesejahteraan bersama.

Tarikh Input: 06/08/2026 | Kemaskini: 06/08/2026 | khairizal

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
W, (04:44:56pm-04:49:56pm, 09 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]