Majlis Perasmian Caring Beyond Cancer: De-Stress Camp Di Fakulti Ekologi Manusia | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» BERITA » Majlis Perasmian Caring Beyond Cancer: De-Stress Camp Di Fakulti Ekologi Manusia

Majlis Perasmian Caring Beyond Cancer: De-Stress Camp Di Fakulti Ekologi Manusia

SERDANG, 24 Ogos 2016 - Menyedari kepentingan penjagaan kesihatan minda dan amalan gaya hidup sihat bagi mencegah penyakit kronik seperti kanser, Pusat Sumber & Pendidikan Kanser (CaRE) dengan kerjasama Pejabat Pendaftar, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Bahagian Kaunseling dan Akademi Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Caring Beyond Cancer: De-stress Camp. Program secara berterusan ini diadakan bermula pada bulan Ogos 2016 sehingga Mac 2017 dan akan melibatkan kesemua 16 buah fakulti di UPM.

Siri jelajah Caring Beyond Cancer: De-stress Camp ini dimulakan dengan Fakulti Ekologi Manusia bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengahari. Seramai 55 orang staf Fakulti Ekologi Manusia telah menyertai program. Program ini telah dirasmikan oleh Yang Bahagia Prof. Dr. –Ing. Ir. Renuganth Varatharajoo, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat. Terima kasih Prof. Dr. –Ing. Ir. Renuganth Varatharajoo kerana memberikan sokongan sepenuhnya kepada CaRE dalam pelaksanaan program ini.

 

 

Sesi bergambar bersama Prof. Dr. –Ing. Ir. Renuganth Varatharajoo, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat serta peserta program

 

 

Pengisian diteruskan dengan ceramah pemakanan pencegahan kanser daripada Cik Roopini A/P Padmanabhan, Pegawai Dietetik daripada Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM. CaRE juga memperkenalkan CaRErobik iaitu senaman 5 minit untuk mendidik peserta bahawa dengan berpakaian pejabat pun, kita masih mampu untuk melakukan senaman dalam masa 5 minit sahaja. Selain itu, Dr. Zubaidah Jamil, Pensyarah dari Jabatan Psikiatrik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM turut berkongsi ilmu tentang pengurusan tekanan kepada para peserta yang hadir.

Objektif program ini adalah untuk mendidik staf UPM tentang kepentingan menjaga kesihatan minda melalui kaedah mengurus tekanan dengan bijak dan juga amalan gaya hidup sihat melalui pemakanan yang seimbang dan aktiviti kecergasan (aktiviti fizikal) secara konsisten. Program ini juga merupakan platform bagi CaRE untuk membuat penilaian bagi risiko kanser dan tahap kesihatan minda staf UPM. Staf UPM yang dikenalpasti mempunyai risiko kanser akan diberikan perkhidmatan pemeriksaan ultrasound secara percuma dan bagi staf yang dikesan mempunyai risiko untuk mengalami kemurungan akan dibantu melalui perkhidmatan kaunseling di CaRE atau di Bahagian Kaunseling, UPM. Program ini juga memberi peluang kepada peserta untuk mengenali personaliti diri dan melakukan senaman secara santai dan mudah.

 

 

Cik Roopini A/P Padmanabhan sedang menyampaikan ceramah pemakanan yang mencegah penyakit kronik

 

 

Para peserta sedang menjawab soalan penilaian risiko kanser, personaliti dan tahap kesihatan minda

 

 

Dr. Zubaidah Jamil sedang berkongsi ilmu tentang tekanan

 

 

Para peserta sedang membuat senaman 5 minit yang diberi nama CaRerobik

 

 

Tarikh Input: | Kemaskini: 05/01/2023 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXDTLAi~