Ujian HPV Adalah Prediktor Yang Terbaik Berbanding Ujian PAP SMEAR Konvensional | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » Ujian HPV Adalah Prediktor Yang Terbaik Berbanding Ujian PAP SMEAR Konvensional

Ujian HPV Adalah Prediktor Yang Terbaik Berbanding Ujian PAP SMEAR Konvensional

UJIAN HPV ADALAH PREDIKTOR YANG TERBAIK BERBANDING UJIAN PAP SMEAR KONVENSIONAL

Kanser serviks dan HPV

Human Papillomavirus (HPV) adalah sejenis virus yang biasa ditemui didalam badan. Dalam kajian terbaru, pakar menemui HPV adalah penyebab utama kanser serviks. Walau bagaimanapun, tidak semua individu yang memiliki virus HPV dianggap memiliki kanser. Terdapat lebih daripada 200 jenis HPV, tetapi hanya 15 jenis khusus yang dikenalpasti oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai berisiko.

Jenis-jenis inilah yang paling hampir sebagai punca penyebab kanser. Selain memiliki virus HPV spesifik, terdapat faktor lain yang turut menjadi penyumbang kepada risiko kanser serviks.

Terdapat 2 jenis HPV – jenis berisiko tinggi (Jenis – 16, 18, 31, 33, 34, 35, 39, 45, 51, 52, 56, 58, 59, 66, 68, and 70). HPV berisiko rendah (jenis - 6, 11, 42, 43, and 44) boleh menyebabkan ketuat genital dalam kedua-dua wanita dan lelaki. Ini adalah ketumbuhan berwarna yang menyerupai daging pada alat kelamin, dan ianya boleh berjangkit. HPV berisiko tinggi memainkan peranan penting dalam peningkatan risiko kanser, seperti kanser serviks, vulva dan vagina pada wanita serta kanser dubur dikalangan lelaki yang melakukan seks dengan lelaki.

The American College Obstetrics and Gynacologist (ACOG) menyarankan ujian Pap smear dan ujian HPV DNA (jenis HPV berisiko tinggi) terutamanya bagi wanita berumur 30-65 tahun. Pesakit dinasihatkan untuk mengulangi ujian ini dalam masa 5 tahun jika keputusan pap smear dan HPV DNA adalah negatif. Ini membolehkan pesakit untuk melanjutkan selang pemeriksaan mereka.

Walau bagaimanapun, bagi wanita yang ujian positif untuk jenis HPV berisiko tinggi, ini bermakna  mereka mempunyai risiko yang tinggi dan dengan itu, mungkin memerlukan mereka membuat saringan Pap smear setahun sekali dan bergantung kepada keputusan ujian pap smear, beberapa golongan pesakit mungkin memerlukan rujukan kepada pakar sakit puan untuk menangani penyakit dari peringkat awal. 

“Kami percaya tekanan dan merokok adalah salah satu faktor penyumbang. Terdapat kajian di Sweden mendapati bahawa terdapat seorang wanita yang mengalami kehilangan ahli keluarga mempunyai keputusan pap smears yang tidak normal selepas satu tahun pemeriksaan, “kata Prof. Dr. Woo Yin Ling, Pakar Perunding Obstetrik dan Pakar Psikologi di Universiti Malaya.

Ingat, wanita tidak semestinya mengalami simptom walaupun dengan keputusan pap smear yang tidak normal dan jangkitan HPV. Oleh itu, pengesanan awal dan saringan adalah penting sebagai intervensi awal yang boleh menyelamatkan nyawa. Simptom seperti pendarahan dan kesakitan semasa hubungan seks (pendarahan postcoital), pendarahan antara kitaran haid, pendarahan faraj berat, dan pendarahan selepas menopaus biasanya tanda-tanda lewat kanser serviks. 

Gejala-gejala

Antara gejala wanita yang mempunyai kanser serviks peringkat awal:

  • Titikan darah atau pendarahan sederhana di antara atau selepas tempoh haid
  • Pendarahan haid yang lebih lama dan lebih teruk daripada biasa
  • Perdarahan selepas hubungan seks atau sebarang pemeriksaan pelvis
  • Keputihan teruk
  • Sakit semasa hubungan seks
  • Pendarahan selepas menopaus
  • Kesakitan pelvik dan / atau belakang yang tidak dapat dijelaskan

 

Pengetahuan asas pencegahan kanser serviks

Meskipun kanser serviks antara kanser yang boleh dicegah melalui saringan kanser serviks menggunakan kaedah pap smear, namun ia masih menjadi kanser ketiga paling ramai di Malaysia. Walaupun pelbagai usaha dan program pemeriksaan dijalankan di seluruh Malaysia, ia seolah-olah ada halangan bagi wanita untuk menjalani pemeriksaan berkenaan.

Program saringan pap smear telah bermula di Malaysia pada tahun 1969 dengan mengintegrasikan perkhidmatan ini ke dalam perkhidmatan kesihatan ibu dan anak.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, pada peringkat awal, program ini disediakan kepada pengamal perancang keluarga dan telah diperluaskan kepada semua wanita layak berumur 20 hingga 65 tahun dengan kekerapan setiap 3 tahun bermula tahun 1995.

Penekanan tentang kepentingan pengesanan awal kanser serviks melalui penyaringan pap smear telah dipertingkatkan lagi menerusi Kempen Cara Hidup Sihat tahun 1995 yang bertemakan ‘kanser’. “KKM telah mensasarkan 40% liputan saringan pap smear bagi wanita yang berkelayakan. Walaupun perkhidmatan ini telah disediakan sejak 30 tahun yang lalu, liputan wanita yang pernah menjalani pap smear masih rendah,” katanya.

Liputan wanita yang menjalani pap smear dalam tempoh 5 tahun (2014-2018) adalah masih di bawah 40% (julat 23-26%). Ianya konsisten dengan dapatan yang dilaporkan oleh Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan (NHMS) iaitu 26 peratus pada 1996 (NHMS II) dan 43 peratus pada 2006 (NHMSIII).

Majoriti wanita menjalani pemeriksaan pap smear di fasiliti kerajaan iaitu 68.8 peratus (NHMS III). “Setiap wanita yang berumur 30 hingga 65 tahun adalah dinasihatkan untuk menjalani saringan kanser serviks menggunakan kaedah pap smear. Perkhidmatan ini boleh dilakukan secara percuma di semua klinik kesihatan kerajaan yang terdekat.

 Penemuan baharu melalui ujian saringan

Jelas Mantan Presiden Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Dr. Eeson Sinthamoney “Hakikatnya, tujuan utama ujian kanser serviks dibuat adalah untuk mengenal pasti sama ada terdapat perubahan dalam sel-sel di sekitar kawasan serviks.

“Oleh itu, jika sekiranya terdapat kelainan, sekurang-kurangnya rawatan awal boleh diberi bagi mengelakkan risiko kanser serviks pada masa akan datang. Pemeriksaan ini juga dikenali sebagai pap smear atau ujian pap.

“Pemeriksaan serviks sebenarnya pernah mencipta satu kejayaan pada masa dahulu apabila penyelidik berjaya menemui virus Human Papillomavirus (HPV) yang menjadi punya penyakit kanser serviks ini.

“Pemeriksaan kemudiannya dibangunkan untuk mengenal pasti jenis HPV yang menimbulkan ancaman terbesar membentuk kanser. Ia dikenali sebagai ujian HPV.

 Teknik persampelan sendiri LPPKN dan Projek ROSE sama

Setiap wanita berisiko menghidap kanser servik. Projek ROSE menggalakkan wanita melakukan pensampelan sendiri sebagai langkah awal mencegah kanser servik

Kanser servik kekal sebagai antara tiga jenis kanser yang menyerang wanita di Malaysia walaupun ia boleh dicegah melalui pemeriksaan serviks berkala.

Menurut Pegawai Perubatan, Unit Kesihatan Reproduktif, Bahagian Reproduksi Manusia, LPPKN, Dr Wan Hilya Munira Mustapha, projek ROSE merupakan kajian perintis yang bertujuan menghasilkan pemeriksaan yang lebih cekap, peningkatan kualiti serta kos yang lebih efektif.

“Strategi pensampelan sendiri yang dilaksanakan Projek ROSE menunjukkan bilangan penyertaan yang tinggi dalam pemeriksaan dan rawatan. Bagaimanapun, projek ROSE bukan di bawah LPPKN dan tidak dilaksanakan oleh LPPKN,” katanya.

 Tidak jalani pemeriksaan berkala

Jelas Mantan Presiden Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Dr. Eeson Sinthamoney, penyebab utama adalah kerana wanita tidak menjalani pemeriksaan rutin.

“Daripada kajian dan penemuan itu, menunjukkan bahawa kita sudah tahu punca dan penyebab penyakit ini berlaku. Namun mengapa penyakit ini masih terlalu sukar untuk dibendung?

“Alasan mereka tidak selesa dengan prosedur pemeriksaan, malu dan mungkin juga merasakan pemeriksaan itu tidak penting.

“Walau apa pun alasannya, pokok pangkal adalah ramai golongan wanita Malaysia tidak menjalani ujian ini.

“Oleh sebab mereka tidak menjalani pemeriksaan, maka mereka tidak tahu tahap pra-kanser yang berlaku. Dan lebih malang lagi, mereka tidak tahu bahawa mereka memiliki penyakit yang digeruni itu,” jelasnya kecewa.

 UJIAN HPV DI LPPKN

Ujian DNA HPV adalah proses pemeriksaan semasa yang dijalankan di 49 Klinik Nur Sejahtera untuk program pemeriksaan kanser serviks.

Perkhidmatan ujian HPV DNA disediakan untuk wanita berumur 25 hingga 65 tahun.

“Dari segi prosedur, ujian DNA HPV yang disediakan oleh LPPKN adalah serupa dengan Projek ROSE menggunakan teknik persampelan sendiri dan dapat mengenal pasti 14 jenis Human Papilloma Virus (HPV) terutama jenis HPV 16 dan 18 yang mempunyai hubungan kuat dengan kanser serviks,”katanya.

Walau bagaimanapun, Projek ROSE telah memperkenalkan platform e-Kesihatan digital manakala LPPKN menggunakan Sistem Maklumat Kesihatan Reproduktif (RHIS) untuk data pelanggan dan sistem rujukan.

 UJIAN HPV MELALUI PROJEK ROSE

Universiti Malaya melancarkan satu program pemeriksaan serviks secara inovatif dalam mencegah kanser serviks yang didikenali sebagai Projek ROSE

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Universiti Malaya (UM) Profesor Dr. Woo Yin Ling yang mengetuai Projek ROSE bersama tenaga kerja yang turut menjayakan projek ROSE. Tiada lagi ‘muncung itik’, ujian pap smear kini boleh dilakukan sendiri.

 Setiap tahun, dianggarkan seramai 2,145 wanita didiagnosis menghidap kanser serviks di Malaysia.

Angka ini menunjukkan bahawa kanser serviks agak biasa di Malaysia. Jumlah penghidap kanser yang digeruni ini dijangka terus meningkat. Hakikatnya penyakit ini boleh dicegah dengan pengambilan vaksin dan pemeriksaan berkala.

Baru-baru ini, Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Yayasan VCS (VCSF) Australia telah membangunkan projek menghapusan kanser serviks di Malaysia melalui pemeriksaan serviks secara inovatif.

 KERJASAMA

“Terdapat 21 negara yang menjadi sebahagian daripada Kerjasama Ekonomi Asia (APEC) – apa yang mereka lakukan adalah mengenal pasti kanser serviks sebagai ancaman ekonomi. Ketika pertemuan pada tahun 2017, saya bertemu Pengarah Eksekutif Yayasan VCS Assoc. Prof Dr. Marion Saville. Melalui pertemuan itu, kerjasama kami tercapai.

“Kami bermesyuarat pada 29 Mac 2017. Dengan usaha bersama kerajaan, NGO, sektor korporat dan individu, kami berjaya melengkapkan pengambilan analisis dalam masa 2 tahun,” kata Prof. Dr. Woo.

“Pada tahun 2017, Australia adalah negara pertama yang memperkenalkan ujian HPV sebagai pengganti pap smear untuk pencegahan kanser serviks dalam Program Pemeriksaan Serviks Kebangsaan yang baru.

 APAKAH PROJEK ROSE?

ROSE memiliki tiga komponen:

Ujian diri – Ini bermakna wanita boleh melakukan ujian sendiri. Ia tidak memerlukan pemeriksaan spekulum yang tidak selesa.

Ujian HPV bukan pap smear – Ujian pap smear adalah ujian yang tidak selesa. Ia boleh menjadi sebab mengapa ramai wanita malu ketika melakukannya. Selain itu, tafsiran sel tidak 100 peratus tepat. Sebaliknya, Projek ROSE melaksanakan ujian HPV yang mengesan kehadiran virus HPV penyebab kanser serviks. Jenis-jenis tertentu HPV – termasuk jenis 16 dan 18 – yang meningkatkan risiko kanser serviks.

Teknologi mudah alih – Apabila seseorang wanita ke klinik untuk melakukan pemeriksaan, pegawai kesihatan tidak perlu mengisi banyak maklumat. Pendaftaran hanya dengan melakukan beberapa klik menggunakan IC seseorang dan hasilnya akan dihantar melalui SMS.

 Lakukan Ujian

“Kebanyakan wanita yang menerima vaksinasi HPV adalah ketika berusia 30 tahun dimana ujian pap smear tidak sensitif. Oleh itu, anda perlu menjalani ujian HPV untuk pemeriksaan serviks, “kata Prof. Dr. Woo.

Pemeriksaan serviks setiap lima tahun memerlukan lebih banyak tetapan sumber. Dalam tetapan sumber yang lebih rendah, WHO telah menetapkan lebih banyak sasaran yang boleh dicapai iaitu ujian HPV bagi 70 peratus daripada populasi wanita berusia 35 hingga 45 tahun. Walau bagaimanapun, semua wanita perlu menjalani ujian dan ujian susulan.

“Jangkitan HPV sangat biasa. Keputusan positif pula tidak bermaksud ada kanser. Tetapi sekiranya memperoleh keputusan negatif lebih baik, kerana ia membawa maksud wanita berkenaan tidak berisiko kanser untuk 10 tahun akan datang.

“WHO telah mengeluarkan kenyataan bahawa ujian pap smear sepatutnya digantikan dengan ujian HPV sebagai saringan utama kanser serviks kerana banyak negara sudah melaksanakannya. Kami sedang berusaha mencari inisiatif sosial, inisiatif CSR untuk menjadikannya realiti.

“Kami juga bekerjasama dengan LPPKN dan menawarkan ujian serviks percuma di Johor baru-baru ini. Pada bulan Mac, kami akan ke Pulau Pinang sempena Hari Kanser Sedunia. Setiap orang mempunyai peranan untuk mengurangkan risiko penyakit kanser serviks di Malaysia. Dan saya percaya kita semua mempunyai cara tersendiri untuk melakukannya,”

Kit ROSE - saringan sendiri pangkal rahim yang mudah digunakan.

Pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati, jadi dapatkan pemeriksaan hari ini!

 

DISEDIAKAN OLEH: Pn. SHAFIKAH BINTI RAHIM

SUMBER:

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kaedah-ujian-hpv-bakal-ganti-pap-smear-bagi-kesan-kanser-serviks-254598

http://sihatmalaysia.my/projek-rose-atasi-kerisauan-dan-ketakutan-setiap-wanita/

https://www.ukm.my/patologifper/wp-content/uploads/2020/09/Bil-6-Ujian-Human-Papilloma-Virus-HPV.pdf

http://sihatmalaysia.my/program-saringan-pap-smear-di-malaysia/

https://drtanandpartners.com.my/kanser-serviks-pap-smear-vaksinasi-hpv-apa-yang-perlu-anda-tahu/

https://www.programrose.org/

Tarikh Input: 18/01/2021 | Kemaskini: 09/01/2023 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXEaAA2~