Sambutan Hari Kesihatan Sedunia | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » Sambutan Hari Kesihatan Sedunia

Sambutan Hari Kesihatan Sedunia

Hari Kesihatan Sedunia, kita akan membincangkan mengenai penubuhan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) secara keseluruhan. Pada bulan Disember 1945, para pegawai dari Brazil dan China mengusulkan penubuhan sebuah organisasi kesihatan antarabangsa, yang merangkumi semua aspek dan benar-benar bebas dari mana-mana kuasa pemerintah.

 

Setengah tahun kemudian, di New York, pada bulan Julai 1946, perlembagaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia diluluskan. Perlembagaan tersebut mulai berkuatkuasa pada 7 April 1948, ketika itu, 61 negara menandatangani perjanjian untuk penubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) tersebut.

 

Salah satu acara rasmi pertama WHO, adalah sambutan Hari Kesihatan Sedunia. Ia pertama kali diadakan pada 22 Julai 1949, tetapi tarikh kemudiannya telah diubah ke 7 April, untuk mendorong penyertaan para pelajar menyertai acara ini.

Sejak tahun 1950, Hari Kesihatan Sedunia menggunakan tema yang berbeza setiap tahun. Ia dipilih oleh Ketua Pengarah WHO berdasarkan cadangan anggota kerajaan dan kakitangan WHO sendiri.

Hari Kesihatan Sedunia memberi peluang kepada global untuk mefokuskan isu-isu kesihatan awam yang penting serta mempengaruhi masyarakat antarabangsa. Pada sambutan Hari Kesihatan Sedunia, pelbagai program promosi telah dilancarkan secara berterusan untuk tempoh berpanjangan sepanjang tahun bermula pada 7 April.

 

Kepentingan Hari Kesihatan Sedunia

Hari Kesihatan Sedunia telah dilancarkan pada skala global. Acara ini adalah salah satu daripada lapan kempen kesihatan global rasmi WHO. Sambutan ini  menekankan aktiviti kesedaran tentang kesihatan di seluruh dunia.

Ini adalah peluang untuk mempelajari sesuatu yang baharu melalui pelbagai tema setiap tahun. WHO akan memilih tema setiap tahun berdasarkan isu kesihatan yang membimbangkan dan mendedikasikan untuk persidangan dan aktiviti mengenai topik tersebut.

Hari Kesihatan Sedunia adalah penting untuk memberi kesedaran terhadap kepentingan menjaga kesihatan anda sendiri. Melalui kempen dan maklumat kesihatan yang disalurkan, ia dapat membantu mengurangkan stigma yang berkaitan dengan penyakit dan lebih ramai orang  akan mencari rawatan dan sokongan perubatan. Untuk menjalani kehidupan yang sihat, sangat penting untuk mengambil tahu serta mengikuti trend dan kempen Hari Kesihatan Sedunia.

 

Kempen baharu pada Hari Kesihatan Sedunia, 7 April 2021, adalah:
 “Bersama membina dunia yang lebih sihat dan saksama”.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan usaha global untuk mengurangkan jurang ketidaksamaan kesihatan bagi mencapai kesihatan optimum bagi semua.

Menurut WHO, tatkala COVID-19 melanda dunia, ada antara warga dunia yang dapat meneruskan kehidupan yang sempurna lantaran akses perkhidmatan kesihatan dan pelbagai lagi yang lebih baik.

"Di seluruh dunia, sesetengah kumpulan masyarakat hidup dalam kesukaran lantaran pendapatan yang rendah, kediaman tidak sempurna, sistem pendidikan yang lemah, peluang pekerjaan yang sedikit, ketidaksamaan gender selain tiada akses sempurna kepada persekitaran selamat, air dan udara bersih, keselamatan makanan dan perkhidmatan kesihatan.

"Permasalahan ini menjurus ke arah penderitaan yang tidak sepatutnya dirasai rakyat, penyakit yang tidak dapat dibendung serta kematian pramatang. Ini menjejaskan kehidupan masyarakat serta ekonomi," memetik kenyataan WHO.

Bagaimanapun, tegas WHO, perkara itu tidak adil sedangkan ia boleh dicegah.

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah memberi impak dan kesan mendalam terhadap aspek sosio-ekonomi dunia bagi banyak negara, lantas memberi kesan terhadap banyak perkara asas kehidupan seharian. Banyak negara menghadapi cabaran getir untuk mengimbangi pendekatan menyelamatkan nyawa (live) serta mata pencarian (livelihood), dan Malaysia juga tidak terkecuali dalam aspek ini.

Bagi sama-sama menangani cabaran ini, Malaysia telah menggunakan pendekatan “The whole of Government and Society approach”, di mana Kerajaan telah mewujudkan pelbagai kerjasama di antara kementerian-kementerian, agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan pelbagai sektor dan juga komuniti setempat. Aktiviti kesihatan awam dan perkhidmatan perubatan terus dijalankan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat, tidak kira pangkat, umur, bangsa mahupun status kewarganegaraan mendapat akses yang saksama. Ini sememangnya sejajar dengan semangat solidariti iaitu tiada siapa yang akan ketinggalan (leaving no one behind).

 

Kesimpulan

Kesihatan bukan sekadar bebas daripada penyakit tetapi entiti penting di mana keadaan keseimbangan menjaga konstitusi masyarakat harmoni secara keseluruhannya. Matlamat utama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah untuk mencapai tahap kesihatan optimum untuk semua.

Untuk mencapai matlamat Hari Kesihatan Sedunia yang disambut setiap tahun pada 7 April. Ia menumpukan fokus kepada harapan untuk kehidupan dan bertujuan membasmi pelbagai jenis penyakit. Pada era penyakit tidak berjangkit dan penyakit autoimun ini, moto Hari Kesihatan Sedunia sangat penting.

Dengan meraikan Hari Kesihatan Antarabangsa seperti ini dapat menimbulkan kesedaran masyarakat global.  Ideanya adalah dengan menyebarkan pengetahuan mengenai isu-isu kesihatan dan memberi kekuatan kepada masyarakat dalam membuat keputusan mengenai penjagaan  kesihatan dan menerima rawatan perubatan. Semoga kita dapat mencapai Malaysia yang lebih sihat dengan kesihatan yang saksama.

 

Disediakan oleh: Puan Shafikah Binti Rahim

Sumber:

https://www.who.int/campaigns/world-health-day/2021

https://sdg.iisd.org/events/world-health-day-2021/

https://nationaltoday.com/world-health-day/

https://lekhapora.org/world-health-day-theme/

Tarikh Input: 14/04/2021 | Kemaskini: 09/01/2023 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXDdBA7~