Pengurusan Kesihatan Mental Pesakit Kanser Semasa Pandemik COVID-19 | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » Pengurusan Kesihatan Mental Pesakit Kanser Semasa Pandemik COVID-19

Pengurusan Kesihatan Mental Pesakit Kanser Semasa Pandemik COVID-19

Pandemik Covid-19 memberikan impak yang besar terhadap kesihatan mental seluruh rakyat Malaysia secara amnya dan pesakit kanser khususnya. Individu yang baru didiagnos dengan kanser perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran kesihatan secara fizikal mahupun mental. Pesakit kanser perlu dibantu melalui sokongan emosi dan psikososial bagi memastikan mereka boleh menjalani rawatan dengan sempurna di samping mempunyai kualiti hidup yang baik.

Stres yang berterusan dan tidak ditangani dengan baik bukan sahaja menjejaskan keberkesanan rawatan malah merisikokan pesakit untuk mengalami tekanan psikologikal.


Definisi tekanan psikologikal:
Kecelaruan emosi dan perasaan yang boleh diterangkan melalui gejala kemurungan (depression) dan kecelaruan kebimbangan (anxiety).


Definisi kemurungan:
Keadaan kecelaruan mental yang menyebabkan perasaan (mood) sedih dan hilang minat berpanjangan yang menjejaskan kehidupan harian termasuk pemikiran, tingkah laku dan kesejahteraan.


Definisi kecelaruan kebimbangan:
Keadaan di mana seseorang mengalami perasaan cemas dan bimbang mengenai beberapa perkara pada kebanyakan masa dan berlanjutan untuk jangka masa yang lama. Kebimbangan yang berlebihan tanpa sebab yang munasabah.



Kajian yang telah dijalankan dalam kalangan 1490 orang pesakit yang baru didiagnos dengan kanser di Malaysia menunjukkan bahawa 54% mengalami kecelaruan kebimbangan, manakala 27% mengalami kemurungan (Subramaniam et al., 2018). Pesakit kanser boleh mengalami kemurungan dan/ atau kecelaruan  kebimbangan pada mana-mana fasa penyakit dari pra-diagnosis sehingga fasa akhir penyakit. Tekanan psikologikal boleh memberikan impak negatif terhadap komitmen rawatan, kesembuhan, kualiti hidup dan survival pesakit kanser. Tekanan ini turut boleh dirasai oleh ahli keluarga terdekat terutamanya penjaga mereka (Niedzwiedz al., 2019).

Diduga dengan kehadiran pandemik Covid-19 ketika perlu menjalani fasa rawatan dan penyembuhan, pesakit perlu berhadapan dengan cabaran yang lebih sukar. Penjaga dan ahli keluarga perlu lebih cakna dan memberi lebih perhatian terhadap penjagaan pesakit kanser.


Cabaran Pesakit Kanser Mendepani Pandemik Covid-19

  1. Berisiko tinggi untuk dijangkiti virus Covid-19
  2. Berisiko tinggi mengalami komplikasi akibat jangkitan Covid-19.
  3. Penangguhan sesi rawatan kanser.
  4. Perlu menjalani rawatan di fasiliti swasta.
  5. Kebimbangan terhadap jangkitan Covid-19 semasa menerima rawatan di hospital.
  6. Perubahan rawatan kemoterapi dari intravena kepada oral.
  7. Perlu kebenaran dan menempuh siri sekatan jalan raya bagi merentas negeri semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan Pelan Pemulihan Negara.
  8. Kecenderungan mencuba rawatan alternatif.
  9. Berisiko mengalami masalah kemurungan dan kecelaruan kebimbangan.




Apa yang perlu pesakit kanser lakukan bagi mendepani cabaran Covid-19?

  1. Bertenang dan tidak panik. Amalkan teknik minda sedar (Mindfulness) dan pernafasan relaksasi.
  2. Ikut saranan doktor dan meneruskan pelan rawatan mengikut prosedur yang ditetapkan.
  3. Mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi (Cuci tangan dengan sabun atau hand sanitizer).
  4. Dapatkan suntikan vaksinasi Covid-19.
  5. Tidak keluar rumah kecuali jika perlu (Menjalani rawatan).
  6. Elakkan 3S (Tempat sesak, ruangan sempit dan sembang dekat).
  7. Mematuhi semua Standard Operation Procedure (SOP) ketika berada di luar rumah (Pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, tidak bersalaman).
  8. Mengelakkan penggunaan kenderaan awam atau e-hailing.
  9. Mengamalkan gaya hidup sihat.
    • Makan makanan yang berkhasiat (Tingkatkan pengambilan sayuran dan buah-buahan bagi meningkatkan imuniti badan).
    • Melakukan aktiviti fizikal yang bersesuaian.
  10. Berehat dan tidur secukupnya.
  11. Berfikiran positif dan kawal kebimbangan. Berkomunikasi dengan doktor, ahli keluarga atau survivor kanser yang lain.
  12. Dapatkan maklumat tentang kanser dan Covid-19 dari sumber yang tepat dan boleh dipercayai. Berehat dari media sosial sekiranya perlu.
  13. Lakukan amalan spiritual.
  14. Tidak mudah percaya dan terpedaya dengan penjualan produk ‘overclaim’ dan kaedah rawatan alternatif yang diragui.
  15. Segera menghubungi CPRC kebangsaan atau klinik kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala Covid-19.




Apa yang perlu dilakukan oleh penjaga pesakit kanser bagi melindungi pesakit dari jangkitan Covid-19?

  1. Memastikan pesakit kanser mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19.
  2. Sentiasa menjaga kebersihan diri dan persekitaran rumah.
  3. Mengamalkan segala langkah pencegahan Covid-19 dan mematuhi SOP.
  4. Sekiranya perlu keluar rumah, bersihkan diri sebelum bertemu dan menyentuh pesakit.
  5. Memastikan pesakit mematuhi SOP ketika berada di hospital.
  6. Menyediakan sajian makanan berkhasiat untuk pesakit.
  7. Memastikan pesakit mengambil ubatan dan menjalani rawatan mengikut masa yang
  8. Beri sokongan emosi dengan berkomunikasi dan mendengar luahan pesakit. Bawa pesakit untuk mendapatkan khidmat konsultasi kesihatan mental jika perlu.
  9. Mendapatkan maklumat tentang kanser dan Covid-19 dari sumber yang tepat dan Tidak menyampaikan berita tidak sahih kepada pesakit kanser.
  10. Tidak mempengaruhi pesakit untuk menjalani rawatan alternatif.
  11. Segera menghubungi CPRC kebangsaan atau klinik kesihatan berhampiran sekiranya diri atau pesakit mengalami gejala Covid-19.



SENARAI PERKHIDMATAN TALIAN SOKONGAN KESIHATAN MENTAL DI MALAYSIA

 

  1. Talian Sokongan Psikososial Covid-19


  2. Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI), Perkhidmatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Kementerian Kesihatan Malaysia



  3. Talian Kasih 15999



  4. Talian Bantuan Psikologi dan Kaunseling MRA



  5. Talian Befrienders



  6. Perkhidmatan Kaunseling Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM)



  7. Perkhidmatan CareHelpLine melalui telefon dan emel (care.upm.edu@gmail.com)


 Disediakan oleh: Pn. Nurfaizah Saibul

Sumber rujukan:

  1. http://www.myhealth.gov.my/mental-kemurungan/.
  2. http://www.myhealth.gov.my/pengurusan-pesakit-kanser-secara-holistik/.
  3. Institut Kanser Negara (2020).
  4. Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia.
  5. Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia- Portal MyHealth.
  6. Subramaniam S, Kong YC, Chinna K, Kimman M, et al., (2018). Health‐related quality of life and psychological distress among cancer survivors in a middle‐income country. Psycho‐Oncology;1–8.
  7. Niedzwiedz CL, Knifton L,Robb AK et al. (2019). Depression and anxiety among people living with and beyond cancer: a growing clinical and research priority. BMC Cancer; 19:943.

Tarikh Input: 30/07/2021 | Kemaskini: 09/01/2023 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXDcRAU~