Mamogram: Mitos Dan Fakta | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » Mamogram: Mitos Dan Fakta

Mamogram: Mitos Dan Fakta

APAKAH MAMOGRAM?

Pengimejan adalah sebahagian daripada pemeriksaan bagi barah payudara. Mamogram adalah sejenis x-ray radiasi dos rendah pada payudara. Ia digunakan untuk memeriksa barah payudara pada wanita yang tidak mempunyai tanda atau gejala barah payudara. Ia juga boleh digunakan jika anda mempunyai benjolan atau tanda-tanda penyakit payudara yang lain. Walaupun tidak boleh bergantung sepenuhnya pada keputusan mamogram, ia masih merupakan ujian terbaik yang harus kita lakukan untuk pemeriksaan barah payudara.

Pemeriksaan mamografi adalah sejenis saringan awal apabila anda tidak mempunyai gejala barah payudara. Ia dapat membantu mengurangkan jumlah kematian akibat barah payudara di kalangan wanita berusia 40 hingga 70 tahun. Tetapi ia juga mempunyai kekurangan. Kadang kala mamogram dapat menemui sesuatu yang kelihatan tidak normal tetapi bukan barah. Jadi anda perlu melakukan ujian selanjutnya. Kadang kala mamogram juga boleh terlepas mengesan tanda barah payudara. Ia juga telah memberi anda pededahan kepada radiasi. Anda harus berbincang dengan doktor mengenai kebaikan dan kekurangan mamogram. Jadi, anda boleh menentukan keperluan untuk memulakan saringan dan kekerapan menjalani mamogram.

Mamogram juga disarankan untuk wanita muda yang mempunyai simptom barah payudara atau yang mempunyai risiko penyakit barah yang tinggi.

Apabila anda melakukan mamogram, anda perlu berdiri di hadapan mesin mamogram. Juru x-ray yang mengambil imej sinar-X meletakkan payudara anda di antara dua “plate’ plastik. ‘Plate’ akan menekan payudara anda dan menjadikannya rata. Ia mungkin menyebabkan rasa tidak selesa, tetapi membantu untuk mendapat gambaran yang jelas. Anda akan mendapat

laporan bertulis hasil mamogram anda.

 

Mitos # 1: Saya tidak mempunyai simptom barah payudara atau sejarah keluarga, jadi saya tidak perlu risau untuk menjalani mamogram tahunan.

Fakta: American College of Radiology mengesyorkan pemeriksaan mamogram tahunan untuk semua wanita berusia lebih dari 40 tahun, tanpa mengira gejala atau sejarah keluarga. "Pengesanan awal sangat penting," kata Dr. Sarah Zeb. "Sekiranya anda hanya menjalani mamogram sehingga anda mengalami gejala barah payudara, seperti benjolan atau keluar lelehan discaj, pada ketika itu barah mungkin telah berubah ke peringkat yang lebih serius." Menurut American Cancer Society, barah payudara peringkat awal mempunyai kadar kelangsungan hidup lima tahun sebanyak 99 peratus. Barah peringkat seterusnya mempunyai kadar survival 27 peratus. Lebih daripada 75 peratus wanita yang menghidapi barah payudara tidak mempunyai sejarah keluarga.

 

Mitos # 2: Mamogram akan memberi saya tahap radiasi yang tidak selamat.

Fakta: "Walaupun mamogram menggunakan radiasi, tetapi jumlah dosnya sangat rendah dan sesuai dengan garis panduan perubatan," kata Dr. Zeb. Oleh kerana mamografi adalah alat penyaringan, ia telah ditetapkan selamat oleh Food and Drug Administration, Mammography Quality and Standards Act dan organisasi lain, seperti American College of Radiology. Mamogram selamat selagi fasiliti kesihatan yang anda kunjungi telah disahkan oleh agensi pengawal selia. Terdapat kesan sinaran radiasi yang kita terdedah di bumi setiap hari. Dos radiasi daripada mamogram adalah sama dengan jumlah dua bulan sinaran tersebut pada kebanyakan wanita.

 

Mitos # 3: Mamogram 3-D sama dengan mamogram tradisional.

Fakta: Mamografi tiga dimensi, atau tomosintesis, adalah alat pemeriksaan dan diagnostik paling moden yang ada sekarang untuk pengesanan awal kanser payudara. Berbanding dengan mamogram 2-D standard. Mamogram 3-D memaparkan lebih banyak imej payudara dan bahagian tisu payudara yang nipis. "Mamogram 3-D memberi imej yang lebih besar, jelas dan berkemampuan untuk menentukan perbezaan antara pertindihan tisu normal dan tisu barah," kata Dr Zeb. "Dengan mamografi 3-D, data menunjukkan peningkatan sebanyak 40 peratus dalam pengesanan awal kanser dan 40 peratus penurunan diagnosis palsu atau bukan keperluan untuk menjalani pemeriksaan mamogram.

 

Mitos # 4: Sekiranya saya mempunyai kanser di tisu payudara saya, melalui pemeriksaan mammogram ia pasti akan ditemui.

Fakta: "Walaupun pemeriksaan mamogram secara tahunan sangat penting bagi wanita, pasti ada limitasi," kata Dr. Zeb. Ini disebabkan oleh tisu payudara yang padat - semakin padat tisu payudara, semakin besar kemungkinan kanser akan berlaku penindihan oleh tisu. "kadang kala tisu payudara normal dapat menyembunyikan barah dan meniru seperti tisu barah," kata Dr Zeb. Sebagai tambahan kepada mamogram tahunan, kaedah pengimejan lain iaitu ultrasound payudara dan MRI payudara boleh digunakan untuk wanita dengan tisu payudara yang padat.

 

Mitos # 5: Saya menjalani mammogram, keputusannya normal tahun lalu, jadi saya tidak memerlukan pemeriksaan pada tahun ini.

Fakta: Mamografi adalah pengesanan, bukan pencegahan. "Mendapat keputusan mamogram normal adalah berita baik, tetapi itu tidak menjamin bahawa mamogram masa akan datang adalah normal," kata Dr Zeb. "Menjalani pemeriksaan mamogram setiap tahun meningkatkan peluang untuk mengesan barah diperingkat awal dan paling mudah dirawat serta meningkatkan peratusan kelangsungan hidup."

 

Mitos # 6: Doktor saya tidak memberitahu bahawa saya memerlukan mamogram, jadi saya tidak perlu untuk melakukan pemeriksaan.

Fakta: Anda tidak memerlukan doktor untuk menuliskan preskripsi atau melengkapkan borang  supaya anda menjalani pemeriksaan mamogram. "Saranannya adalah jika anda seorang wanita yang berusia 40 tahun ke atas, anda harus menjalani mamogram setiap tahun, walaupun doktor anda tidak memberitahu anda," kata Dr. Zeb. Para wanita boleh membuat temu janji untuk mejalani mamogram tahunan mereka untuk mengesan barah payudara lebih awal.

 

Mamogram dapat menyelamatkan nyawa anda. Mengesan barah payudara lebih awal akan mengurangkan risiko kematian akibat penyakit ini sebanyak 25-30% atau lebih. Wanita perlu mula menjalani mamogram setiap tahun pada usia 40 tahun, atau lebih awal jika mereka berisiko tinggi serta mengalami tanda dan gejala.

Jangan takut. Mamografi adalah prosedur yang cepat (kira-kira 20 minit), dan rasa ketidakselesaan adalah minimum bagi kebanyakan wanita. Prosedurnya selamat: hanya terdapat pendedahan radiasi yang rendah dari mamogram. Untuk meredakan kerisauan semasa menunggu keputusan, pergi ke pusat atau fasiliti kesihatan yang dapat memberikan keputusan pada hari yang sama.

Wanita harus menjalani mamogram setahun sekali bermula pada usia 40 tahun. Sekiranya anda berisiko tinggi mendapat barah payudara, mempunyai sejarah keluarga yang tinggi terhadap barah payudara atau ovari, atau pernah menjalani rawatan radiasi ke dada pada masa lalu, disarankan agar anda mula menjalani mamogram tahunan pada usia yang lebih muda (bermula antara usia 30 tahun). Rancangkan pemeriksaan kesihatan peribadi anda dengan pusat atau fasiliti penjagaan kesihatan anda.

Bagi wanita yang tidak mempunyai sejarah kanser, garis panduan pemeriksaan A.S. menyarankan semua wanita mula menjalani mamogram apabila berusia 40 atau 50 tahun dan terus melakukannya setiap 1 atau 2 tahun. Lakukan pemeriksaan ini secara rutin dan berterusan sehingga mereka berumur sekitar 75 tahun.

 

Disediakan oleh:  Shafikah binti Rahim

Sumber:

https://www.ucsfhealth.org/education/basic-facts-about-breast-health-mammograms

https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/breast-cancer/6-mammogram-myths

https://www.breastcancer.org/symptoms/slideshows/mammograms

https://medlineplus.gov/mammography.html

https://www.turbosquid.com/3d-models/digital-mammography-3d-model/530344

https://www.invitra.com/en/breast-cancer/

Tarikh Input: 15/10/2021 | Kemaskini: 09/01/2023 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXEYCAU~