Hari Hepatitis Sedunia 2021: Bersama Hapuskan Penyakit Hepatitis | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » Hari Hepatitis Sedunia 2021: Bersama Hapuskan Penyakit Hepatitis

Hari Hepatitis Sedunia 2021: Bersama Hapuskan Penyakit Hepatitis

HEPATITIS DAN KANSER HATI

HepatitisCan’tWait

Hari Hepatitis Sedunia disambut pada 28 Julai setiap tahun. Tema sambutan di peringkat antarabangsa ialah “Hepatitis Can’t Wait”. Dengan kes kematian setiap 30 saat daripada penyakit yang berkaitan dengan hepatitis ditambah pula kita dalam krisis pandemic COVID-19 sekarang, kita perlu bertindak terhadap virus hepatitis. Tema ini dipilih untuk menunjukkan betapa pentingnya untuk mengesan seramai mungkin individu yang dijangkiti Hepatitis bagi membolehkan rawatan segera serta vaksinasi dapat diberikan.

Hepatitis adalah satu penyakit keradangan hati akibat jangkitan virus Hepatitis A, B, C, D atau E. Virus Hepatitis A dan E biasanya berjangkit melalui pengambilan makanan atau air yang tercemar dan tidak membawa kepada penyakit yang kronik. Manakala virus Hepatitis B, C dan D yang berjangkit melalui darah atau cecair badan boleh membawa kepada penyakit kronik dan merupakan punca utama kepada sirosis (parut) hati dan kanser hati. Seseorang boleh dijangkiti Hepatitis B atau C apabila terdedah secara langsung dengan darah daripada seseorang yang dijangkiti menerusi luka, perkongsian jarum dan hubungan seksual. Ia juga boleh berjangkit daripada ibu kepada bayi ketika proses kelahiran.

Jenis hepatitis di Malaysia:

  • Hepatitis A
    • Penyakit hati tidak menyebabkan penyakit hati kronik dan jarang membawa maut.
    • Virus hepatitis A disebarkan melalui pengambilan makanan dan air tercemar.
    • Hampir setiap orang pulih sepenuhnya daripada hepatitis A dengan imuniti seumur hidup.
    • Puncanya dikaitkan dengan kekurangan air bersih, kebersihan yang kurang terjamin.
    • Cara memerangi virus ini adalah pengambilan air yang bersih, keselamatan makanan, pemilihan gerai/ restoran yang bersih, sanitasi lebih baik, mencuci tangan dan vaksin.

  • Hepatitis B
    • Jangkitan virus yang menyerang hati dan boleh menyebabkan penyakit akut dan kronik, komplikasinya termasuk sirosis dan karsinoma hepatoselular.
    • Disebarkan melalui sentuhan dengan darah dan cecair badan lain.
    • Paling biasa disebarkan daripada ibu kepada bayi ketika kelahiran atau sebelum mereka berusia lima tahun.
    • Dianggarkan 257 juta orang hidup dengan jangkitan virus hepatitis B

 

  • Hepatitis C
    • Penyakit hati akut dan kronik disebabkan virus hepatitis C.
    • Dijangkiti melalui hubungan kelamin dan cecair/bendalir dalam badan seperti darah.
    • Ia mungkin boleh berlaku melalui penggunaan ubat suntikan, amalan suntik dan penjagaan kesihatan tidak selamat dan pemindahan darah.
    • Secara global, kira-kira 71 juta orang dijangkiti hepatitis C kronik.
    • Ubatan boleh menyembuhkan lebih 95 peratus pesakit hepatitis C dengan mengurangkan risiko kematian akibat kanser hati dan sirosis, namun akses kepada diagnosis dan rawatan adalah rendah.

KARSINOMA hepatoselular (HCC) atau barah hati disenaraikan sebagai kanser kelima utama yang sering menyerang kaum lelaki di Malaysia. Dikategorikan sebagai pembunuh senyap, laporan Daftar Kanser Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), baru-baru ini membuktikan apabila menyatakan hanya 201 daripada 4,085 pesakit kanser hati hidup bagi tempoh 2007 hingga 2016.

Pengarah Perubatan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), Dr Murallitharan Munisamy berkata, lelaki lebih terdedah kepada kanser hati kerana pengambilan alkohol dan makanan berisiko.

“Semua jenis virus hepatitis boleh mendatangkan risiko kanser sama ada virus hepatitis A, B mahupun C. Namun lazimnya, kanser hati berlaku disebabkan jangkitan hepatitis B ataupun C” katanya. 

Penyebaran hepatitis A berlaku apabila lelaki lebih bersikap tidak kisah terhadap pemilihan tempat makan termasuk warung tidak bersih berbanding wanita. Perkara inilah antara faktor yang mendorong kepada kadar hepatitis tinggi dalam kalangan lelaki.

Secara global, kanser hati terjadi disebabkan hepatitis C. Hepatitis B memang ada, namun hubung kait antara hepatitis C dan kanser hati lebih kuat.

Masalah mengenai hepatitis C ini, ia adalah penyakit berjangkit dan boleh disebarkan melalui hubungan kelamin serta bendalir dalam badan.

Berdasarkan kenyataan KKM, dijangka lebih 500,000 rakyat Malaysia mempunyai hepatitis C tetapi tidak disedari. Selalunya kes kanser hati ini lambat dikesan atau didiagnos kerana ia tidak menunjukkan gejala ketara seperti penyakit lain. Malah kadar kelangsungan hidup pesakit kanser hati selama lima tahun hanyalah 11.5 peratus.

Antara simptom kanser hati termasuk ketidakselesaan badan, rasa lesu, makanan tidak dicerna sempurna, cirit-birit, pedih ulu hati dan anggota tubuh menjadi kekuningan.

Hati adalah organ penting dalam sistem hepatobiliari yang berfungsi menapis dan memproses darah daripada bahan toksik, menghasilkan cecair hempedu bagi membantu pencernaan lemak dan membantu sintesis protein darah, glukos dan kolesterol.

Selain itu, hati juga membantu proses metabolisme, stor penyimpan untuk vitamin larut lemak, zat besi dan glikogen, agen penyingkiran sel darah merah yang mati dan bahan sisa metabolisme serta meningkatkan daya ketahanan badan.

Dr Murallitharan menyifatkan golongan lelaki berusia antara 45 hingga 75 tahun adalah kelompok berisiko tinggi menghidap kanser hati.

Katanya, jumlah kes kanser hati di negara ini dilaporkan tidak mencecah 30 peratus kerana ramai pesakit enggan menerima rawatan disediakan dan kurangnya kesedaran.

Tanggapan bahawa alkohol menjadi penyebab utama kanser hati turut membuatkan individu yang tidak mengambil alkohol berpendapat mereka tidak terdedah terhadap penyakit berkenaan.

Oleh kerana tidak menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, pesakit kanser hati hanya berjaya dikenal pasti apabila sudah berada di tahap akhir sama ada tiga atau empat. Tanda paling jelas apabila warna kulit atau mata putih pesakit menjadi kekuningan. Bagi situasi seperti ini, faktor genetik adalah punca utama berlakunya kanser hati.

Segelintir masyarakat Melayu di negeri pantai timur berdepan risiko kanser hati atas faktor genetik berdasarkan teori berdarah campuran Thailand. Faktor ini pula turut dikaitkan dengan gaya pemakanan. Ini kerana Thailand antara negara yang mencatatkan kes kanser hati tertinggi di dunia, terutama di bahagian timur laut negara berkenaan. Masyarakat di wilayah berkenaan gemar makan sejenis ikan yang mempunyai parasit atau cacing ‘liver fluke’ (platyhelminthes) pada otot ikan yang boleh mengakibatkan kanser dalam jangka masa panjang. Penyediaan makanan seperti ikan tidak dimasak sempurna, separuh masak atau mentah menyumbang kepada kecenderungan kerosakan hati.

Persepsi masyarakat mengenai kematian akibat kanser hati membuatkan mereka enggan mendapatkan rawatan sedangkan ia boleh dirawat dengan jayanya sama ada di pusat perubatan swasta mahupun awam. Jika dibandingkan dengan lima hingga 10 tahun lalu, perkembangan teknologi perubatan, kaedah rawatan dan jenis ubatan hari ini jauh berbeza apabila ia turut meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit.

Dr Murallitharan menyarankan pemeriksaan kanser hati perlu dilakukan oleh individu berusia 40 ke atas dengan kekerapan setahun sekali.

Bersempena sambutan Hari Hepatitis Sedunia ini, masyarakat dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan cara hidup yang sihat dan mengelakkan diri daripada risiko jangkitan.

Langkah pencegahan terbaik bagi Hepatitis A adalah:

  1. Mengamalkan penjagaan kebersihan yang baik seperti sentiasa membasuh tangan dengan air dan sabun selepas menggunakan bilik air atau memegang benda-benda kotor;
  2. Sebelum menyediakan makanan atau sebelum makan.
  3. Masyarakat dinasihatkan supaya minum air yang terawat atau yang telah dimasak terutama semasa melawat tempat yang berisiko seperti kawasan yang tidak mempunyai sistem bekalan air, pengurusan najis atau pelupusan sisa yang sempurna, tempat-tempat rekreasi air yang menjadi tumpuan orang ramai dan negara-negara tertentu yang mempunyai kadar penyakit Hepatitis yang tinggi.

Langkah pencegahan jangkitan Hepatitis B dan C:

  1. Masyarakat dinasihatkan tidak berkongsi alat kebersihan diri peribadi tertentu seperti ketip kuku, berus gigi, pisau cukur dan lain-lain kerana ia boleh menyebabkan luka di mana virus boleh menular.
  2. Pesakit Hepatitis B dan C juga dinasihatkan agar tidak menderma darah kerana ia boleh menyebabkan jangkitan kepada penerima darah.
  3. Amalan hubungan seks secara selamat juga dapat mencegah daripada penularan jangkitan.
  4. Ibu-ibu yang telah disahkan mendapat jangkitan pula perlu mendapatkan rawatan agar jangkitan kepada bayi semasa kelahiran dapat dicegah.

Untuk makluman, Hepatitis C boleh sembuh sepenuhnya dengan rawatan terkini yang boleh diperolehi di hospital dan klinik-klinik kerajaan terpilih.

 

Disediakan oleh: Puan Shafikah Rahim
Sumber rujukan:

https://www.cdc.gov/hepatitis/awareness/worldhepday.htm

https://www.hhs.gov/hepatitis/awareness-months-and-days/world-hepatitis-day-july-28/index.html

https://www.who.int/health-topics/hepatitis#tab=tab_1

https://www.infosihat.gov.my/multimedia/risalah/item/hepatitis-b-bahasa-melayu.html

http://www.myhealth.gov.my/en/hepatitis-a-b-c/

https://kpkesihatan.com/2020/07/28/kenyataan-akhbar-kpk-28-julai-2020-sambutan-hari-hepatitis-sedunia-2020/

https://www.worldhepatitisday.org/#:~:text=In%202021%20the%20theme%20is,and%20make%20our%20voices%20heard.

https://www.hmetro.com.my/sihat/2018/11/394229/kanser-hati-dan-hepatitis

https://m.facebook.com/MedicalMythbustersMalaysia/posts/1076269765796854:0?locale2=ms_MY

Tarikh Input: 22/07/2021 | Kemaskini: 13/05/2022 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXETRAu~