Graduan Hidap Dua Kanser Berjaya Genggam Ijazah | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » Graduan hidap dua kanser berjaya genggam ijazah

Graduan hidap dua kanser berjaya genggam ijazah

Georgetown: Mengidap dua jenis kanser tahap empat tidak menjadi halangan bagi graduan Sarjana Sains Senaman Klinikal untuk menamatkan pengajian.

Segala penat lelah Raja Shuzana Raja Jamaludin, 44, itu membuahkan hasil saat namanya dipanggil ke pentas bagi menerima ijazah di Upacara Konvokesyen Ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Raja Shuzana yang juga Pegawai Sukan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata, dia disahkan mengidap kanser tiroid tahap empat pada 2014 sebelum tekad menyambung pengajiannya.

Katanya, selain membahagikan masa antara pelajaran, kerjaya dan tanggung jawab kepada keluarga, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu juga perlu berulang-alik ke hospital bagi menjalani rawatan penyakitnya.

"Mengikuti pengajian berteraskan sukan, sudah tentu saya perlu berusaha lebih kerana banyak tugasan lapangan dan membabitkan kecergasan.

"Namun ternyata ujian penyakit ini bukanlah 'lawan' saya, cuma perlukan kekuatan mental bagi mengatasinya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Raja Shuzana sekali lagi diuji apabila doktor mengesahkan bahawa dia turut mengidap kanser paru-paru tahap empat pada Ogos lalu.

Reda dengan keadaan itu, Raja Shuzana masih tidak mahu mengalah apabila memasang azam bagi menyambung pengajiannya sehingga bergelar Doktor Falsafah (PhD).

"Berikutan kesihatan yang tidak mengizinkan, keluarga saya sama sekali tidak pernah menghalang dengan keputusan bagi melanjutkan pengajian.

"Tiada yang mustahil, semangat kita perlu melebihi segalanya," katanya lagi.

Sementara itu, graduan Sarjana Sains Gunaan Teknologi Bangunan Siti Haida Harris, 44, dan Siti Badariah Zakaria, 37, graduan Sarjana Perubatan Penyakit Dalaman yang masing-masing sarat hamil lapan bulan turut mencuri tumpuan di sidang ketiga upacara berkenaan.

"Graduan lain terima ijazah seorang diri, tetapi saya dan Siti Badariah naik ke pentas 'bawa' anak," kata Siti Haida.

Seramai 665 graduan menerima ijazah pada sidang ketiga hari ini yang dipengerusikan Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr Zulkefli A Hassan.

Pada upacara itu, seramai 5,964 graduan menerima ijazah dalam bidang masing-masing pada sidang kedua hingga kesepuluh yang berlangsung pada 13 hingga 21 Disember di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM Pulau Pinang.

© 2022 Harian Metro, New Straits Times Press (M) Bhd.

Sumber:

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/12/788401/graduan-hidap-dua-kanser-berjaya-genggam-ijazah

Tarikh Input: 05/09/2022 | Kemaskini: 05/09/2022 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXEaBAt~