Definisi Kesihatan Mental | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » Definisi Kesihatan Mental

Definisi Kesihatan Mental

Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak tumpuan diberikan terhadap kesihatan mental. Selaras dengan kemajuan negara kita yang kini berkembang, masalah kesihatan mental dan penyakit mental telah menjadi semakin bertambah dan terdapat peningkatan dari tahun ke tahun. Didapati, peningkatan yang ketara dalam kadar bunuh diri dan penyakit mental sejak sedekad lalu berpunca daripada tahap kesihatan mental yang lemah. Oleh itu, adalah penting untuk rakyat Malaysia menyedari tentang pentingnya kesedaran terhadap penyakit mental, kepentingan memelihara tahap kesihatan mental yang baik dan mengenal pasti gejala-gejala masalah kesihatan mental yang memerlukan intervensi dan rawatan.

  1. DEFINISI

Tiada istilah rasmi atau satu definisi tetap tentang kesihatan mental. Perbezaan budaya, penilaian yang subjektif dan teori professional telah mempengaruhi bagaimana kesihatan mental ditakrifkan. Kesihatan mental adalah satu keadaan yang sejahtera di mana seseorang individu menyedari tentang keupayaan diri, dapat mengendalikan tekanan dengan baik, dapat bekerja secara produktif dan mampu menyumbang kepada masyarakat. Ini bermaksud, kesihatan mental adalah asas kepada kesejahteraan individu dan kemampuan masyarakat berfungsi secara effektif. Kesihatan mental adalah ekspresi emosi dan melambangkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai tekanan dan tuntutan hidup.

 

Walau bagaimanapun, tidak terdapat garis penentu yang jelas dalam membezakan antara mereka yang mempunyai kesihatan mental yang baik dan mereka yang tidak.Terdapat banyak tahap dalam kesihatan mental.Tiada satu kriteria yang boleh digunakan untuk membuktikan kesihatan mental yang baik.Tiada seorang individu pun yang mempunyai semua ciri-ciri kesihatan mental yang baik pada setiap masa.Ia banyak bergantung kepada faktor individu, sosial dan persekitaran.Terdapat beberapa faktor sosial, psikologikal dan biologikal yang menentukan tahap kesihatan mental seseorang pada satu-satu masa. Kesihatan mental boleh terjejas disebabkan masalah sosio-ekonomi, pertukaran keadaan persekitaran/sosial secara mendadak, tekanan di tempat kerja, dan penyakit fizikal.Tidak seperti masalah kesihatan mental, mereka yang mempunyai penyakit mental pula mengalami satu keadaaan dimana tahap mental seseorang itu menyebabkan fungsi seharian individu itu terjejas sama ada dari segi sosial atau pun pekerjaan. Ia memerlukan rawatan.

SUMBER:

POTAL RASMI MyHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Tarikh Input: 06/05/2020 | Kemaskini: 28/09/2020 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXETWAN~