Cegah Kanser Servik Melalui Pelalian/ Vaksin HPV | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » Cegah Kanser Servik Melalui Pelalian/ Vaksin HPV

Cegah Kanser Servik Melalui Pelalian/ Vaksin HPV

Kanser Servik
Kanser yang terjadi di bahagian pangkal rahim (servik). Kanser ketiga paling kerap dikesan di kalangan
wanita selepas kanser payudara dan kanser kolorektal.
Di anggarkan 2,000 wanita Negara ini disahkan mendapat kanser servik setiap tahun. Kanser servik
menyumbang 6% dari jumlah kematian akibat kanser di kalangan wanita.
Ketika ini, kanser serviks ialah kanser keempat yang paling kerap dihidapi wanita di peringkat global
dengan kira-kira 270,000 kematian pesakit wanita di seluruh dunia.
Justeru suntikan pelalian/ vaksin HPV adalah satu keperluan dalam menangani masalah kanser pangkal
rahim dan lain-lain dibawa oleh virus berkenaan.


Human Papilloma Virus (HPV)
HPV adalah penyebab utama kanser servik. HPV boleh memasuki tubuh menerusi aktiviti kelamin. Setiap
wanita berisiko dijangkiti HPV selepas berkahwin atau gadis/ wanita yang aktif dalam aktiviti seks.
Kebanyakan orang yang mempunyai hubungan seksual pada satu ketika dalam hidup mereka akan
terdedah kepada virus papilloma manusia (HPV). Dalam kebanyakan wanita, jangkitan HPV akan
disingkirkan oleh sistem imun. Apabila sistem imun tidak menyingkirkan virus, jangkitan HPV yang
berterusan boleh menyebabkan sel-sel serviks tidak normal. Lesi ini dikenali sebagai 'prakanser' serviks
kerana dengan masa, mereka boleh berkembang menjadi kanser servik jika tidak dirawat.
Walau bagaimanapun, apabila jenis berisiko tinggi (rt) berterusan, ia boleh menyebabkan
perkembangan sel-sel servik yang tidak normal, yang dirujuk sebagai prakanser serviks jika sekurang-
kurangnya dua pertiga daripada lapisan permukaan serviks terjejas. Prakanser boleh berkembang
menjadi kanser serviks selepas beberapa tahun. Tidak semua orang yang mempunyai prakanser serviks
akan mendapat kanser serviks, tetapi adalah sukar untuk meramalkan siapakah yang akan terjejas.

Terdapat banyak jenis HPV. Ada yang berkaitan dengan perkembangan lesi serviks yang boleh menjadi
kanser dan dianggap sebagai jenis HPV berisiko tinggi. Dua jenis berisiko tinggi ini (HPV16 dan HPV18)
menerangkan kira-kira 70% daripada semua kes kanser serviks di seluruh dunia. Vaksin telah
diperkembangkan untuk membantu sistem imun untuk mengenali jenis HPV tertentu.
Oleh kerana kanser serviks akan mengambil masa beberapa tahun untuk berkembang, badan kawal selia
dan agensi kesihatan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggap lesi
serviks sebagai ukuran hasil pilihan untuk kajian pelalian/ vaksin HPV. Vaksinasi pencegahan, melalui
suntikan partikel seakan virus HPV ke dalam otot, mencetuskan penghasilan antibodi yang melindungi
daripada jangkitan HPV pada masa hadapan.

Pelalian/ vaksin HPV
Pelalian yang diberi untuk mencegah kanser servik akibat jangkitan HPV di masa akan datang.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengesyorkan kanak-kanak/ remaja haruslah diberi vaksin HPV dan
umur yang dicadangkan adalah 9 hingga 14 tahun. Hal ini kerana tindakbalas imun pada masa ini adalah
lebih kuat dan vaksin berkesan sebelum mereka didedahkan kepada virus HPV.
Pelalian ini diberi secara suntikan di lengan sebanyak 3 kali dalam tempoh 6 bulan mengikut jadual
berikut:

  • Vaksin yang digunakan untuk pelalian ini tidak mengandungi produk yang meragukan (HALAL).
  • Pelalian HPV secara percuma kepada semua gadis berumur 13 tahun oleh Kementerian
    Kesihatan Malaysia.
  • Anak gadis anda berisiko untuk dijangkiti HPV. Pelalian ini boleh melindunginya dari mendapat
    kanser servik di masa akan datang
  • Bagi golongan yang tidak termasuk dalam kumpulan yang disasarkan, pelalian ini boleh didapati
    di klinik dan hospital swasta dengan kadar caj tertentu.
  • Dalam kalangan wanita dewasa yang berusia di antara 25 hingga 45 tahun yang menerima
    vaksin HPV ini kurang manfaat atau tidak berkesan. Ini mungkin disebabkan wanita yang besar
    kemungkinan telah terdedah dahulu kepada jangkitan HPV dalam lingkungan usia ini.

 

Kesan sampingan pelalian/ vaksin
Pelalian/ vaksin ini adalah selamat.
Seperti pelalian/ vaksin lain, anda mungkin mengalami rasa sakit atau kurang selesa, bengkak dan
kemerahan di tempat vaksinasi atau sakit kepala, lenguh, rasa lemah otot dan letih.

Kesan sampingan yang amat jarang berlaku
Seseorang yang menerima vaksin HPV boleh mengalami alahan teruk yang dikenali sebagai ‘anaphylactic reaction’. Tanda-tanda keadaan ini termasuk kesukaran bernafas dan pengsan. Kes seperti ini
memerlukan kepada rawatan segera dan rujukan terus ke hospital mesti dibuat.
Selain daripada itu, dianggarkan 1 kes ‘Gullain Barre Syndrome’ (GBS) bagi setiap 100,000 Vaksinasi HPV.
Kejadian GBS sekiranya berlaku, terjadi dalam tempoh 6 minggu selepas vaksinasi di mana kes akan
didapati mengalami Acute Flacid Paralysis (AFP) di bahagian anggota kaki. Kes-kes yang disyaki mestilah
dimasukkan ke hospital dan dilaporkan ke dalam sistem survelan AFP.
Sekiranya anda mengalami masalah lain akibat suntikan, sila dapatkan rawatan susulan di klinik atau
hospital yang berdekatan.

Pelalian/ vaksin HPV boleh cegah jangkitan HPV berisiko tinggi

  1. Kanser serviks: Hampir semua kes kanser serviks disebabkan oleh HPV
  2. Kanser anal: Kira-kira 95 peratus daripada kanser anal disebabkan oleh HPV.
  3. Kanser orofaringeal: Iaitu kanser bahagian tengah tekak, termasuk lelangit, pangkal lidah dan tonsil.
    Kira-kira 70 peratus adalah disebabkan oleh HPV.

 

Pelalian HPV dikecualikan andai wujud gejala

  1. Pernah mengalami kesan sampingan teruk selepas menerima suntikan pertama atau suntikan kedua.
  2. Pernah mengalami alahan teruk yang perlu dirawat di hospital.
  3. Hamil.

 

Menurut Pakar Runding Obstetrik dan Ginekologi Dr Nurul Khairiyah Khairuddin yang berkata, vaksinasi
HPV itu penting dalam menjaga kesihatan wanita terutama menangani masalah kanser serviks - antara
kanser yang sering dihidapi wanita seluruh dunia.
Biarpun wujud pertikaian membabitkan usia yang wajar, pemberian vaksin HPV seawal usia pada gadis
lebih baik sebagai satu bentuk pencegahan primer. Pemberian vaksin berkenaan perlu dilaksanakan
seawal usia lagi iaitu dalam lingkungan 13 hingga 15 tahun dalam mempersiapkan ketahanan tubuh
gadis daripada menghadapi serangan virus HPV.
Gaya hidup anak muda masa kini yang bebas dan semakin ramai remaja terlanjur menjadikan satu lagi
sebab kukuh bahawa pemberian vaksin kepada anak-anak gadis kini menjadi satu keperluan utama
untuk meningkatkan imuniti mereka.
“Biarpun ada yang sudah terlanjur atau terjebak dengan gaya hidup liar termasuk seks bebas, vaksin ini
membantu pertahanan diri individu itu dalam menangani masalah kanser yang nyata lebih serius kerana
membabitkan risiko lain termasuk kewangan dan keluarga dan akhirnya menjadi bebanan negara,”
katanya.
“Sekali lagi saya tegaskan, vaksin ini membina sistem imun tubuh untuk menghalang virus HPV yang
mudah memasuki tubuh menerusi bukaan luka dan rekahan kecil pada permukaan servik ketika
melakukan hubungan seks,” katanya.

Perbezaan antara jenis-jenis pelalian/ vaksin HPV?

Kini wujud revolusi dalam penemuan vaksin lebih baik yang boleh merawat lebih banyak varian HPV.
Ada beberapa jenis Vaksin HPV bergantung kepada strain HPV. Ketika ini vaksin berada dalam negara
ialah Cervarix, Gardasil dan Gardasil-9.

  • Jenis vaksin HPV berbeza mengikut kebolehannya melindungi badan daripada bilangan jenis virus.
  • Bivalent (Cervarix) melindungi daripada 2 jenis virus HPV (16 dan 18)
  • Quadrivalent (Gardasil 4) melindungi daripada 4 jenis virus HPV (6, 11, 16, dan 18)
  • Nonavalent (Gardasil 9) melindungi daripada 9 jenis virus HPV (6, 11, 16, 18, 31, 33, 45, 52, dan 58)
  • Gardasil 4 dan 9 memberi perlindungan daripada empat virus yang paling kerap - HPV 16 & 18 yang
    menyebabkan 70% daripada semua kanser serviks dan HPV 6 & 11 yang menyebabkan 90% daripada
    semua kutil kelamin.
    HPV yang menyebabkan kanser pangkal rahim juga boleh mengakibatkan kanser lain seperti pada bibir
    faraj, vagina, leher dan tekak dalam kalangan gadis selain kes ketuat kelamin.

 

Peranan Anda

Sebagai ibubapa/ penjaga: Beri persetujuan bertulis untuk melayakkan anak anda menerima pelalian
secara percuma. Pastikan anak anda melengkapkan tiga suntikan pelalian secara percuma. 3 suntikan
pelalian boleh memberi perlindungan optima untuk anak gadis anda dari jangkitan HPV.
Jika anak gadis tidak sihat atau tidak hadir ke sekolah pada hari pelalian, Tarikh temujanji baharu akan
diberikan oleh anggota kesihatan.

Remaja perempuan: Pastikan anda beri borang kebenaran untuk pelalian/ vaksin kepada ibubapa/
penjaga dengan segera.
Pastikan anak gadis anda melengkapkan 3 suntikan pelalian/ vaksin mengikut tarikh temujanji yang
ditetapkan.
3 suntikan pelalian/ vaksin memberi perlindungan optima dari jangkitan HPV.

Maklumat tambahan berkaitan pelalian HPV boleh didapati melalui:

  • Doktor atau anggota Kesihatan di sekolah atau di klinik.
  • Layari www.myhealth.gov.my atau www.moh.gov.my.

 

DISEDIAKAN OLEH: PUAN SHAFIKAH BINTI RAHIM
SUMBER:
https://cancer.org.my/wp-content/uploads/2020/03/FAQ-HPV-Vaccination-2020_MALAY.pdf
https://www.infosihat.gov.my/isu-semasa/44-pelalian-hpv.html
https://www.hmetro.com.my/sihat/2018/11/396160/vaksin-hpv-lindungi-gadis
https://www.cochrane.org/ms/CD009069/GYNAECA_vaksinasi-hpv-untuk-mencegah-kanser-dan-
perubahan-pra-kanser-serviks
https://www.lppkn.gov.my/index.php/soalan-lazim/pvhpv

Tarikh Input: 31/12/2020 | Kemaskini: 09/01/2023 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXDcWAp~