Berjuang Lawan Kanser Testis | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » Berjuang Lawan Kanser Testis

Berjuang Lawan Kanser Testis

Gambar hiasan.

Apabila disahkan diagnosis kanser macam-macam yang menerjah dalam fikiran, perasaan sedih dan rasa seperti berada di ambang kematian. Bagi insan yang sihat tidak dapat menyelami apa pesakit kanser rasa dan lalui, namun ia bukan penamat hayat, jika mereka kuat semangat berjuang melawan penyakit dengan rawatan pakar berkaitan.

Ini yang dilalui oleh seorang pengurus di sebuah syarikat swasta, Carson Lee, 28, yang menghidapi kanser buah zakar atau dikenali sebagai kanser testis tahun lalu sehingga mengubah gaya hidupnya dan optimis untuk kembali pulih. Mengimbas kembali pengalaman itu, beliau menyedari masalah ketulan di bahagian testis dan dinasihatkan untuk merujuk doktor pakar dengan segera.

Ketika bertemu Pakar Urologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Chua Chong Beng, mengesahkan Lee menghidap kanser testis dan membuang tumor itu melalui pembedahan. "Walaupun saya menyedari masalah ketulan itu, saya masih bertangguh berjumpa doktor selama sebulan dengan harapan ia hanya jangkitan yang akan sembuh dengan pengambilan ubat. "Secara jujur, saya tidak bersedia untuk berdepan dengan masalah yang saya hadapi pada masa itu," katanya.

Kanser bukan penamat hayat Kemudian, selepas pulih daripada pembedahan, Lee dijadualkan untuk menghadiri rawatan susulan dengan doktor pakar setiap enam bulan dalam dua tahun pertama dan setiap tahun bagi tiga tahun berikutnya. Janji temu rawatan pertama Lee berjalan lancar tetapi pada janji temu rawatan yang kedua, beliau disahkan menghidapi penyakit kanser dan merebak ke nodus limfa.

"Kanser bukan penamat segala-galanya. Itulah yang dikatakan ramai orang. Adalah amat mudah berkata begitu, tetapi jika mereka berada di tempat saya, mereka tidak dapat mengungkap ayat yang sama. "Saya hanya memikirkan untuk membiarkan kanser itu merebak sehingga menyebabkan kematian saya.

"Tetapi saya bukan seseorang yang suka memikirkan sesuatu perkara untuk terlalu lama, terutama jika ia perkara yang menyedihkan. Jika saya terlalu memikirkan selalu, mungkin saya akan menjalani kehidupan lebih menderita. "Oleh itu, saya cuba mengalihkan perhatian daripada kesan sampingan rawatan dan fikiran yang sedih dengan bermain permainan video dan menonton filem," katanya.

Rawatan kemoterapi kini, Lee menjalani rawatan kemoterapi di bawah penjagaan Pakar Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Sunway, Dr Nik Muhd AslanAbdullah. Pada mulanya, beliau tidak menganggap rawatan kemoterapi itu menakutkan kerana pada ketika itu beliau belum sedar akan kesan sampingan sehinggalah beliau melalui kitaran pertama rawatan itu. Lee berkata, siapa sangka rasa loya itu akan menjadi teruk dan berterusan, selain mengalami keguguran rambut pada minggu kedua rawatan dan deria menjadi amat sensitif. "Saya juga mengalami masalah kekejangan di kaki tetapi sekarang sudah beransur pulih," katanya.

Mengenai tahap kesuburan, Lee membuang satu testis dalam pembedahan sebelumnya dan beliau menggunakan kemudahan bank sperma pada ketika itu. Harapan untuk pulih namun, rawatan kemoterapi bermaksud Lee berkemungkinan tinggi tidak akan mempunyai anak secara semula jadi dan ini amat mengecewakannya yang suka dan menginginkan anak.

"Dr Chua dan Dr Nik Aslan meyakinkan saya terdapat pesakit yang pulih sepenuhnya dan berjaya mendapat anak secara semula jadi. Saya berharap saya juga ada peluang suatu hari nanti," katanya. Lee mengakui merasa sedih, kecewa dan sering tertanya-tanya mengapa beliau menghidap kanser di ketika prestasi kerjaya semakin meningkat dan ketika beliau ingin memulakan hidup dengan teman wanitanya. Sekarang, semua harus ditangguhkan sehingga beliau pulih daripada penyakit ini.

"Amat sukar untuk saya menerima hakikat menghidap kanser pada usia yang muda, tetapi tiada orang yang boleh jangka bila kanser akan terjadi," katanya. Walaupun golongan lelaki lebih cenderung untuk menyimpan perasaan kerana tidak selesa untuk berkongsi apa yang kami dilalui, tetapi selepas menghidap kanser Lee menjadi lebih terbuka untuk berkongsi.

Justeru, buat saringan awal dengan pengalaman penyakit dan rawatan yang dilalui, Lee menyaran orang ramai untuk menjalani saringan kesihatan setiap tahun. Katanya, lebih baik mencegah melalui pengesanan awal daripada mengetahuinya di peringkat lewat. "Selama 12 minggu menjalani rawatan ini saya rasa tidak terlalu lama jika dibandingkan dengan dengan seumur hidup saya. "Oleh itu,walaupun amat sukar, saya tekad untuk melaluinya," katanya.

Disediakan oleh: Puan Shafikah binti Rahim

Sumber:

https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/sihat/2020/12/766672/berjuang-lawan-kanser-testis

Tarikh Input: 10/04/2023 | Kemaskini: 10/04/2023 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXETLA3~