Barah Makan Tuan | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » Barah Makan Tuan

Barah Makan Tuan

Serdang: Selama 16 tahun melakukan tugas sebagai pakar patologi yang mendiagnos beratus pesakit barah kolorektal karsinoma (barah pada usus besar atau rektum).

Namun, Prof Madya Dr Norhafizah Mohtarrudin tidak menyangka beliau akhirnya turut didiagnos menghidap penyakit berkenaan pada Jun tahun lalu.

Dr Norhafizah berkata, beliau sangat terkejut mengetahui barah kolorektal dihidapinya adalah tahap empat dan sel barah sudah merebak ke hati serta paru-paru.

"Sebelum ini saya mempunyai tanggapan bahawa pakar perubatan tidak akan mengalami barah kolorektal karsinoma kerana arif dengan penyakit berkenaan.

"Tambahan pula, saya mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat.

"Bagaimanapun, terbukti tanggapan ini salah dan sebenarnya semua orang berisiko menghidap barah," katanya ketika ditemui dalam program Hari Kesedaran Kanser Kolorektal Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) 2022.

Menurutnya, dugaan hidupnya bermula dengan gejala sakit dialami di bahagian abdomen yang teruk selama dua hari disertai bunyi perut kuat dan muntah.

"Saya menjalani pemeriksaan dan disahkan menghidap barah kolorektal tahap empat. Keadaan barah sangat teruk, saya terpaksa menjalani prosedur pembedahan emergency laparotomy.

"Sepanjang menjalani kehidupan sebagai pesakit barah, saya dilalui dihantui perasaan takut kerana ia seperti satu tempoh di antara hidup atau mati," katanya.

Dr Norhafizah yang juga pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM berkata, beliau memperbanyakkan amalan kerohanian untuk membina semula kekuatan fizikal, mental dan emosi.

Katanya lagi, setiap hari beliau akan bersama ustazah mengaji al-Quran selama satu jam hingga berjaya khatam dalam tempoh tiga bulan.

"Saya bersyukur mendapat sokongan baik daripada rakan sekerja dan keluarga. Ini sangat membantu pemulihan emosi yang sebelum ini seakan sudah putus harapan.

"Penyakit ini turut menjejaskan fungsi buah pinggang saya yang turut didiagnosis sakit buah pinggang kronik (CDK).

"Saya baru selesai menjalani lapan sesi rawatan kemoterapi dan akan menjalani rawatan kemoterapi pusingan kedua.

"Saya akan berjuang melawan penyakit ini sepenuhnya hingga dapat menjalani kehidupan dan kembali bekerja seperti biasa,"katanya.

Menurunya, beliau seorang yang sangat komited dengan tugas dan tidak pernah mengambil cuti sakit selama hampir 20 tahun bertugas dalam bidang kesihatan.

"Kehidupan saya sudah berubah 180 darjah selepas menjadi pesakit barah kolorektal karsinoma yang kini terpaksa mengambil cuti sakit selama hampir setahun.

"Tempoh enam bulan pertama selepas menjalani pembedahan dan rawatan kemoterapi adalah tempoh sangat sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan 'baharu' itu.

"Badan saya lemah, tidak boleh melakukan rutin harian dan bekerja. Setiap kali membaca jurnal atau tesis pelajar akan membuatkan pening kepala.

"Ini 'rutin' sangat berbeza dengan diri saya yang sebelum ini adalah seorang kuat bekerja," katanya.

Periksa najis sendiri bantu kesan barah

"Langkah awal melakukan ujian kendiri memeriksa najis untuk melihat terdapat kesan darah atau tidak, membantu mengesan awal barah kolorektal yang saya hadapi.

"Kesedaran ini atas saranan dua kenalan yang beberapa kali memberi saya nasihat mengenai perkara itu, yakni bentuk najis memberi tanda-tanda masalah kesihatan dihadapi," kata Datuk Rosdi Wah.

Beliau ialah pesakit barah kolorektal tahap satu dan bertugas sebagai Ketua Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia.

Menurutnya, beliau didiagnos penyakit berkenaan Oktober tahun lalu, melakukan pemeriksaan itu selama beberapa bulan dan menemui kesan darah pada najisnya.

"Peringkat awal, saya menyangka ia mungkin ada luka dalam usus yang berpunca daripada mengambil minuman limau nipis berlebihan.

"Saya menghentikan pengambilan minuman limau nipis selama beberapa bulan, tetapi masih terdapat kesan darah pada najis.

"Ini mendorong saya membuat pemeriksaan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM). Hasil pemeriksaan mendapati terdapat polip pada usus yang sudah menjadi barah," katanya.

Beliau berkongsi pengalamannya menghidap penyakit barah kolorektal dalam program Hari Kesedaran Kanser Kolorektal HPUPM 2022.

Katanya, beliau kemudiannya menjalani pembedahan dan dirawat di HPUPM selama sebulan.

"Saya bersyukur kerana barah yang saya hadapi ini masih peringkat awal dan tidak perlu kemoterapi.

"Ujian yang saya hadapi sebagai pesakit barah ialah selepas pembedahan pertama, terpaksa melalui tiga lagi pembedahan kerana komplikasi termasuk perlu memakai beg stoma untuk beberapa bulan.

"Tempoh paling sukar ialah selepas pembedahan kerana tidak boleh makan selama 20 hari disebabkan usus tidak berfungsi dengan baik menyebabkan berat badan turun 11 kilogram," katanya.

Menurutnya, beliau sama seperti pesakit barah yang lain apabila didiagnos menghidapi barah buat pertama kalinya akan berfikiran seperti menerima 'hukuman mati'.

"Namun, saya perlu optimis dan berikhtiar sambil pasrah dengan takdir yang ditentukan Allah SWT.

"Rutin harian dan cara pemakanan sudah berubah. Sebelum ini, saya boleh makan tanpa pantang, tetapi sekarang perlu memilih makanan terutamanya ketika proses rawatan.

"Saya juga perlu elak makan makanan sukar dihadam seperti sayur-sayuran dan daging. Proses rawatan yang panjang menyebabkan aktiviti fizikal seperti bersukan terpaksa dihentikan," katanya.

Rosdi berkata, sokongan moral daripada keluarga banyak membantunya menjalani kehidupan sebagai pesakit barah dengan lebih baik.

"Kini saya menjalani pemeriksaan berkala termasuk ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) untuk memantau perkembangan sel barah.

"Saya berharap dalam tempoh lima tahun dapat sembuh daripada daripada penyakit ini sepenuhnya," katanya.

 

Disiarkan pada: Julai 3, 2022 @ 12:30pm

© 2022 Harian Metro, New Straits Times Press (M) Bhd.

https://www.hmetro.com.my/utama/2022/07/857936/barah-makan-tuan

Tarikh Input: 11/08/2022 | Kemaskini: 09/01/2023 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXDdWA3~