Apakah Itu Penyakit Kusta | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » Apakah Itu Penyakit Kusta

Apakah Itu Penyakit Kusta

Penyakit kusta atau lebih dikenali sebagai ‘Hansen’s disease’ atau ‘leprosy’ merupakan penyakit yang digeruni ramai. Penyakit kusta merupakan disebabkan oleh jangkitan kuman ‘Mycobacterium leprae’. Jangkitan kuman ini boleh menyebabkan kesan sampingan serius pada kulit, saraf, mata serta bahagian dalam hidung. Sekiranya penyakit kusta ini dikenal pasti pada tahap awal maka ia lebih mudah disembuhkan. Orang yang mengidap penyakit ini masih mampu bekerja dan menjalani aktiviti seharian seperti biasa.

 

Apakah Jenis Penyakit Kusta

Terdapat tiga jenis penyakit kusta iaitu:

  1. ‘Tuberculoid’. Ini merupakan keadaan yang tidak begitu serius dan masih dalam tahap awal. Golongan ini hanya akan mempunyai beberapa ‘patch’ sahaja. Permukaan yang dijangkiti akan berasa kebas kerana saraf telah terjejas. Penyakit tuberculoid juga kurang berjangkit kepada orang lain.

  2. ‘Lepromatous’. Keadaan ini lebih serius dan selalunya melibatkan ‘patches’ dan benjolan pada keseluruhan kulit. Bahagian hidung, ginjal dan alat sulit lelaki juga akan turut terjejas dalam jenis ini. Tambahan pula, keadaan Ini juga lebih mudah berjangkit berbanding yang lain.

  3. ‘Borderline’. Golongan yang mempunyai penyakit kusta jenis ini akan mempunyai kombinasi simptom kedua-dua jenis penyakit kusta yang dinyatakan di atas.

Penyebab Penyakit Kusta

Penyebab utama penyakit kusta ialah sejenis bakteria yang bernama ‘Mycobacterium leprae’ dan ‘Mycobacterium lepromatosis’. Selain itu, penyakit ini merebak apabila pesakit bersentuhan dengan individu yang sihat. Akan tetapi, penyakit ini jarang sekali merebak melalui hubungan seks.

Di samping itu, faktor genetik dipercayai boleh membawa kepada punca berlakunya penyakit kusta ini. Oleh itu, jika seseorang dalam keluarga mempunyai penyakit kusta maka kemungkinan gene mereka akan diwarisi oleh anak mereka sekali gus menyebabkan anak mereka berisiko mendapat penyakit kusta.

Punca lain yang membolehkan seseorang berisiko mendapat penyakit ini ialah sistem imun badan yang lemah.

 

Tanda & Gejala Penyakit Kusta

Gejala berikutan jangkitan hansen ini haruslah dipantau dari semasa ke semasa dan pastikan ia tidak bertambah teruk.

  • Jenis Paucibacillary (beban jangkitan bakteria yang rendah)

    Terdapat beberapa (tidak melebihi 5) tompok kemerahan atau putih yang kurang deria rasa dan tidk berpeluh. 

  • Jenis Multibacillary (beban jangkitan bakteris yang tinggi)

    Terdapat tompok-tompok putih kemerahan kelihatan lebih banyak (melebihi 5) tompok dan merbak di seluruh badan dan lama kelamaan menyebabkan kekurangan atau hilang deria rasa dan rasa kebas. Jangkitan kulit ini lama kelamaan akan menyebabkan penebalan cuping telinga dan kulit muka serta keguguran bulu kening.

Antara gejala penyakit kusta ini ialah seperti:

  1. ‘Patch’ pada permukaan kulit
  2. Kulit menjadi kering dan keras
  3. ‘Nodule’ pada permukaan kulit
  4. Ulser yang tidak sakit pada tapak kaki
  5. Bengkak atau benjolan yang tidak sakit pada muka atau cuping telinga
  6. Kehilangan bulu mata atau bulu kening
  7. Kebas
  8. Otot menjadi lemah atau lumpuh
  9. Masalah penglihatan malahan boleh menjadi buta
  10. Hidung tersumbat
  11. Hidung berdarah
  12. Kurang deria rasa

 

Komplikasi Penyakit Kusta Jika Tidak Dirawat

Penyakit kusta haruslah segera diberi perhatian perubatan jika tidak dirawat boleh mengundang komplikasi yang berpanjangan pada masa akan datang. Antara komplikasi yang dimaksudkan di sini ialah seperti:

  • Buta
  • Kecacatan tangan dan kaki
  • Lumpuh
  • Kehilangan seluruh bulu kening
  • Ulser yang membesar dan menjadi kronik sehingga tidak sembuh
  • Kecacatan hidung yang menjadi bengkok
  • Jari kaki dan tangan menjadi pendek
  • Kerosakan saraf menyebabkan sensasi sakit yang melampau
  • Kulit terasa seolah-olah terbakar

 

Cara Diagnosa Penyakit Kusta

  1. Ujian calitan pada permukaan kulit

    Pemukaan kulit yang lebih gelap atau lebih cerah daripada warna kulit asal.
    Pesakit akan mempunyai kehilangan deria rasa pada ‘patch’ tersebut. Walaupun dicucuk dengan jarum yang tajam, mereka tidak akan dapat merasai apa-apa langsung.

  2. Biopsi kulit

    Indikasi biopsy kulit:
  • Kes baharu yang disyaki menghidap kusta (ujian histopatologi bagi mengesan bakteria kusta)
  • Kes dalam rawatan yang tidak menunjukkan peubahan baik kepada rawatan yang diberikan selepas beberapa bulan menerima rawatan (biopsy kulit untuk uijan sensitivity kepada ubat kusta melalui Mouse Foot-Pad Technique 

 

Rawatan Penyakit Kusta

Penyakit kusta boleh dirawat melalui kombinasi penggunaan beberapa jenis antibiotik. Rawatan yang akan diberikan oleh doktor ialah kombinasi 2 atau 3 antibiotik yang diambil sekali gus. Kaedah ini dipanggil ‘multidrug therapy’. Kaedah ini dapat membantu memastikan bakteria tersebut dapat disingkirkan dengan lebih cepat. Antibiotik untuk penyakit ini diberikan untuk jangka masa yang panjang agak membimbangkan kerana bakteria tersebut mungkin akan dapat mengatasi fungsi antibiotik tersebut. Jangka masa yang ditetapkan untuk rawatan selalunya dijalankan selama satu hingga dua tahun. Selalunya pesakit boleh pulih jika individu tersebut patuh kepada arahan dan nasihat doktor serta tidak lupa mengambil ubat.

Sepanjang terapi rawatan sekiranya terdapat masalah seperti kebas atau hilang deria rasa pesakit disarankan untuk segera berjumpa dengan doktor untuk rawatan lebih lanjut.

Disediakan oleh: Pn. Shafikah binti Rahim

Sumber:

https://hellodoktor.com/kesihatan/fakta-menarik/penyakit-kusta-sudah-pupus/

http://www.myhealth.gov.my/kusta/

https://www.infosihat.gov.my/penerbitan-multimedia/risalah/item/kusta-penyakit-kusta.html

https://www.dermatology.org.my/pdf/Leprosy%20Dr%20Chan%20Malay.pdf

https://ms.wikipedia.org/wiki/Penyakit_kusta

Tarikh Input: 30/01/2023 | Kemaskini: 30/01/2023 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXEYPA6~