
Hari Raya Aidilfitri menandakan kejayaan bagi umat islam menunaikan rukun iman yang ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadan. Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja peluang untuk berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan, tetapi ia juga masa untuk penyediaan juadah dan menikmatinya bersama ahli keluarga bagi mengeratkan hubungan silaturahim. Kebiasaannya, pelbagai juadah makanan dihidangkan pada Hari Raya. Antara makanan yang biasa dihidangkan adalah seperti lemang, ketupat, rendang, lontong dan pelbagai kuih-muih beraneka warna dan rasa.
Ramai di antara kita mengambil kesempatan menurunkan berat badan sepanjang 30 hari menjalani ibadah puasa. Walau bagaimanapun, kebanyakan kita mengalami peningkatan semula berat badan selepas menjelang perayaan. Justeru itu, kita perlulah bijak dalam memilih makanan yang sihat dan seimbang bagi mengekalkan berat badan yang diimpikan dan mengelakkan masalah kesihatan. Makan dengan sihat bukanlah bermaksud kita tidak dapat menikmati hidangan juadah hari raya akan tetapi makan dalam kuantiti yang betul mengikut saranan sajian dan dengan cara penyediaan serta pengambilan makanan yang lebih sihat.
Berikut merupakan 7 panduan penyediaan hidangan juadah yang sihat di Hari Raya:-
- Kurangkan gula, minyak dan lemak dalam penyediaan biskut dan kek. Gunakan ½ atau ¾ daripada kuantiti gula yang biasa digunakan semasa menyediakan biskut dan kek.
- Gunakan daging yang telah dibuang lemak atau ayam yang telah dibuang kulit.
- Kurangkan menyedia makanan yang bersantan, bergoreng dan berminyak.
- Gantikan penggunaan santan dengan susu rendah lemak dalam penyediaan rendang atau kuah lontong.
- Potong ayam atau daging dalam saiz yang kecil.
- Gunakan ramuan tinggi serat untuk membuat biskut dan kuih raya seperti tepung bijirin penuh, oat dan buah prun.
- Kurangkan penggunaan pewarna tiruan dalam penyediaan kuih-muih, kek dan puding.
Manakala berikut pula merupakan beberapa tip mengelakkan pengambilan makanan secara berlebihan ketika musim perayaan:-
- Makan mengikut waktu, elak melangkau waktu makan utama.
- Makan mengikut keperluan dan bersederhana, ambil sedikit sahaja setiap jenis makanan.
- Pilih menu/ kaedah memasak yang sihat, seperti kukus, rebus, sup, bakar atau tumis.
- Amalkan pemakanan yang seimbang, konsep suku-suku separuh bagi memastikan setiap nutrien diperolehi.
- Susun makanan di atas pinggan, elak menimbun makanan bagi mengelakkan makan secara berlebihan.
- Pilih pinggan/piring kecil untuk mengawal pengambilan kalori, mengurangkan risiko pembaziran makanan dan dari segi visual, pengambilan nampak lebih banyak.
- Hidangan dalam saiz yang kecil untuk mengelakkan terlebih makan atau pembaziran.
- Kunyah secara perlahan-lahan bagi mengurangkan pengambilan kalori dan mengelakkan masalah penghadaman.

Menjaga kesihatan melalui pemakanan pada musim perayaan bukanlah sesuatu yang mustahil. Ikutilah panduan penyediaan hidangan juadah dan tip mengelakkan pengambilan makanan secara berlebihan semasa hari raya, agar usaha untuk menurunkan berat badan sepanjang bulan Ramadhan tidak sia – sia. Bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan pula, hari raya bukanlah tiket untuk menikmati hidangan juadah tanpa mengambil kira faktor kesihatan. Kita semua perlu ingat bahawa kesihatan adalah anugerah yang perlu dijaga agar kita dapat terus meraikan kenangan-kenangan indah bersama orang tersayang.
Disediakan oleh: Puan Nor Farhana binti Zakariya (Jururawat, HSAAS)
Sumber:
https://www.moh.gov.my/moh/resources
https://hellodoktor.com/pemakanan/tips-lain/cara-pemakanan-sihat-hari-raya/#google_vignette
https://hellodoktor.com/pemakanan/tips-lain/menu-raya-aidilfitri/
https://www.doctoroncall.com.my/health-centre/nutrisi/diet/piramid-makanan
Date of Input: 07/04/2025 | Updated: 07/04/2025 | aimerul
MEDIA SHARING