Seruan Awal Cegah Kanser Payudara
Setiap bulan Oktober, pita merah jambu menjadi simbol kempen global kesedaran kanser payudara. Di Malaysia, kanser payudara kekal sebagai kanser paling kerap dihidapi wanita. Menurut World Health Organization (2024), pengesanan awal meningkatkan peluang hidup sehingga 90%. Meskipun kes dalam kalangan lelaki rendah, mereka tetap berpotensi menghidap kanser payudara.

Cabaran Kesedaran di Malaysia
Kajian menunjukkan tahap kesedaran masyarakat masih belum memuaskan. Faktor tersebut disebabkan oleh:
- Jurang Pengetahuan: Kajian oleh Lee et al. mendapati ramai wanita tidak melakukan pemeriksaan sendiri atau saringan mamogram secara berkala.
- Mitos & Kepercayaan Salah: Lim et al. (2025) melaporkan bahawa stigma sosial, mitos rawatan tradisional, dan kepercayaan bahawa ketulan pada payudara tidak berbahaya menyebabkan kelewatan mendapatkan rawatan.
- Akses di Kawasan Luar Bandar: Schliemann et al. (2022) mendapati wanita di kawasan pedalaman berdepan cabaran jarak ke klinik, kos perjalanan dan kekurangan sokongan keluarga.
Pencegahan & Pengesanan Awal
Langkah mudah boleh menyelamatkan nyawa:
- Pemeriksaan Sendiri Payudara (BSE) setiap bulan selepas haid.
- Saringan Mamogram mengikut jadual yang disyorkan doktor, terutamanya bagi wanita 40 tahun ke atas atau berisiko tinggi.
- Gaya Hidup Sihat – pemakanan seimbang, senaman berkala, berhenti merokok dan had atau hentikan pengambilan alcohol bagi mengurangkan risiko kanser payudara.
Pink Oktober bukan sekadar warna atau simbol. Ia seruan bersama agar semua pihak – wanita, lelaki, keluarga, komuniti, dan organisasi – memainkan peranan. Pemeriksaan awal, gaya hidup sihat dan sokongan berterusan mampu menyelamatkan nyawa.
Rujukan:
- Lee, M. S., et al. (n.d.). Awareness on breast cancer screening in Malaysia: A cross-sectional study. [Artikel jurnal]. ResearchGate. https://www.researchgate.net/publication/335432243_Awareness_on_breast_cancer_screening_in_Malaysia_a_cross_sectional_study
- Lim, M. S. H., et al. (2025). Breast cancer myths, mysterious miracles and mistrust among Malaysian women. Asian Pacific Journal of Cancer Prevention. https://journal.waocp.org/article_91567_d2534457dbaf94bbadead0461d11d410.pdf
- Schliemann, D., et al. (2022). Challenges and opportunities for breast cancer early detection among rural-dwelling women in Malaysia. PLOS ONE, 17(4), e0267308. https://doi.org/10.1371/journal.pone.0267308
- World Health Organization. (2024). Breast cancer fact sheet. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/breast-cancer
Disediakan Oleh:
Noraziah Nasir
Unit Sumber Pendiidkan Kanser Dan Klinikal
Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, UPM
Date of Input: 15/10/2025 | Updated: 15/10/2025 | aimerul
MEDIA SHARING