
Tema pada tahun 2024 adalah No-one should face breast cancer alone
Kanser payudara adalah kanser yang paling biasa di seluruh dunia, dengan sekitar 2.3 juta kes baru setiap tahun. Ia mewakili satu dalam setiap lapan kes kanser bagi kedua-dua jantina dan satu perempat daripada semua kanser di kalangan wanita, dengan 70% kematian berlaku di kawasan yang terhad sumber. Halangan dalam sistem kesihatan dan faktor peringkat pesakit, termasuk tahap kesedaran dan pengetahuan yang rendah, menyumbang kepada pengambilan perkhidmatan pengesanan awal yang rendah, yang menyebabkan diagnosis pada peringkat lewat dan hasil yang buruk. Di banyak kawasan yang terhad sumber, kanser payudara memberi kesan kepada populasi yang lebih muda, yang secara signifikan menyumbang kepada kematian awal dan anak yatim ibu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melancarkan Inisiatif Kanser Payudara Global (GBCI) pada tahun 2021 untuk mengurangkan kadar kematian sebanyak 2.5% setiap tahun menjelang 2040 dan menyelamatkan 2.5 juta nyawa melalui tiga langkah utama:
Bulan kesedaran kanser payudara (BCAM) disambut di seluruh dunia setiap bulan Oktober untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara. Ia menekankan tentang kepentingan pengesanan awal, diagnosis tepat pada masanya, rawatan menyeluruh, dan keperluan untuk memberikan sokongan kepada individu yang mempunyai pengalaman langsung, termasuk melalui pengawalan pesakit.
Statistik daripada Jabatan Pendaftaran Kanser Kebangsaan menunjukkan bahawa satu daripada 19 wanita di negara ini disahkan menghidap kanser payudara dan lebih 8,000 kes baru kanser payudara direkodkan setiap tahun, mewakili kira-kira 35 peratus daripada semua kanser yang menjejaskan wanita Malaysia.
Kanser payudara yang sering dikaitkan dengan wanita lebih tua, kini menunjukkan peningkatan membimbangkan dalam kalangan wanita muda, sekali gus menekankan keperluan meningkatkan kesedaran dan pengesanan awal bagi memastikan kehidupan lebih sempurna. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser payudara merupakan kanser kedua paling kerap didiagnosis dalam kalangan wanita melibatkan lebih 2.2 juta pada 2022 dan kanser utama dalam kalangan wanita di Malaysia.
Pakar Perunding Bedah Onkoplastik Payudara Pusat Perubatan Sunway, Sunway City, Dr Teoh Li Ying berkata, kanser payudara awal usia atau kanser payudara golongan muda biasanya merujuk kepada kes yang didiagnosis pada wanita berusia 18 hingga 40 tahun. Beliau berkata, kanser payudara awal usia lebih agresif dan mungkin sukar untuk dirawat, kerana ciri-ciri biologi tumor pada wanita muda mungkin berbeza, selalunya berkaitan dengan kadar pertumbuhan kanser lebih cepat dengan risiko tinggi untuk ia berulang walaupun rawatan sesuai telah diberikan.
"Ramai beranggapan cuma individu telah berusia lebih terdedah kepada kanser payudara berbanding dalam kalangan wanita muda. Walaupun kanser payudara masih lazim dalam kalangan wanita berusia lebih 50 tahun, terdapat peningkatan kes dalam kalangan wanita muda, baik di peringkat dunia mahupun tempatan, sekali gus menekankan kepentingan untuk meningkatkan kewaspadaan dan langkah proaktif terhadap kumpulan umur ini," katanya.

Perlu diingatkan bahawa lebih separuh wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara tidak mempunyai faktor risiko boleh dikenal pasti selain daripada jantina dan umur, menunjukkan kepentingan melakukan pemeriksaan secara berkala dan pemeriksaan kendiri. Pengesanan awal adalah kunci untuk memerangi kanser payudara awal usia dan mengesyorkan memulakan saringan secara berkala pada usia lebih muda. Pemeriksaan sendiri payudara secara bulanan dilakukan seawal 18 tahun, dan pemeriksaan klinikal payudara sebanyak dua kali setahun bermula pada usia 25 tahun untuk golongan berisiko tinggi. Jika terdapat sebarang kelainan, adalah penting untuk merujuk kepada pengamal perubatan profesional dengan segera. Pengesanan awal boleh memberikan impak besar terhadap rawatan.
Kanser payudara peringkat awal boleh dirawat dengan pembedahan, menurut Dr Teoh, dengan menggunakan teknik invasif minimum untuk mastektomi yang dikenali sebagai pembedahan payudara endoskopik, melibatkan potongan kecil biasanya di ketiak atau sekitar puting iaitu melaluinya endoskop dan instrumen pembedahan dimasukkan. Kaedah ini menawarkan kelebihan seperti parut lebih kecil, pengurangan kesakitan selepas pembedahan, tempoh tinggal di hospital lebih singkat dan pemulihan lebih cepat. Selain merawat kanser payudara, Dr Teoh yang juga pakar dalam pembedahan pembinaan semula payudara meyakinkan pesakit yang masih muda supaya jangan takut merawat atau menjalani lumpektomi atau mastektomi. "Ia boleh dilakukan berserta dengan pembinaan semula payudara semasa pembedahan atau dijalankan selepas tempoh tertentu dengan menggunakan pilihan seperti meletakkan implan silikon atau pembinaan semula menggunakan kulit, lemak atau otot daripada pesakit untuk membentuk payudara," katanya.
Ia jelas menggambarkan betapa pentingnya usaha dalam menggalakkan pemeriksaan awal melalui pemeriksaan kendiri payudara serta mendapatkan rawatan yang tepat.

Disediakan oleh: Puan Shafikah binti Rahim (Pegawai Jururawat, HSAAS)
Sumber:
https://www.who.int/news-room/events/detail/2024/10/01/default-calendar/who-global-breast-cancer-initiative--breast-cancer-awareness-month
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/peningkatan-ancaman-dalam-kalangan-wanita-muda-dan-implikasi-kanser-payudara-awal-usia
https://www.bharian.com.my/sihat/2024/10/1305414/pink-ribbon-fokus-kesedaran-kanser-payudara
Date of Input: 24/10/2024 | Updated: 24/10/2024 | aimerul

Blok Utara, Pusat Pengajaran dan Latihan (Aras 1)
Hospital Sultan Abdul Aziz Shah
Persiaran Mardi - Upm,
43400 Serdang,
Selangor