Bulan November adalah bulan penghargaan untuk semua Caregiver. Walaupun sering tidak kelihatan di mata masyarakat, mereka merupakan wira senyap yang memastikan kelangsungan hidup, keselesaan dan kualiti kehidupan golongan yang bergantung kepada mereka. Caregiver merupakan individu yang mengalas tanggungjawab untuk menjaga individu lain yang memerlukan perhatian khusus, terutama mereka yang mengalami masalah kesihatan kronik atau yang kurang upaya.

Caregiver boleh terdiri daripada ahli keluarga, pasangan, jiran, professional caregiver, atau sukarelawan. Menjadi caregiver bukan sekadar membantu secara fizikal, malah ia melibatkan tanggungjawab besar dari segi emosi, masa, kewangan dan tahap kesabaran. Penjagaan pesakit yang memerlukan pemantauan berterusan boleh menyebabkan keletihan kronik. Tugas seperti memandikan, membantu pergerakan pesakit, mengurus ubat-ubatan, menyediakan makanan, atau menjaga waktu tidur boleh menjadi sangat memenatkan, terutama bagi caregiver yang tidak mendapat rehat yang cukup.
Selain itu, caregiver juga sering mengalami tekanan emosi apabila melihat orang tersayang sakit atau keadaan pesakit semakin merosot. Perasaan sedih, risau, bersalah, atau buntu dalam membuat keputusan boleh menjadi beban yang berat untuk caregiver.

Disebabkan oleh ramai caregiver adalah terdiri daripada ahli keluarga pesakit sendiri, maka ia menimbulkan beberapa isu antaranya adalah tekanan kewangan dan konflik dalam keluarga. Isu ini timbul kesan daripada kos penjagaan yang semakin hari semakin meningkat dan tidak semua ahli keluarga sama-sama turut terlibat memikul tanggungjawab menjaga pesakit.
Ada diantara caregiver di Malaysia tidak dilatih dengan betul mengenai pengetahuan penjagaan sebenar pesakit. Oleh hal demikian, beberapa program untuk penjagaan pesakit telah diwujudkan. Salah satu program adalah program Caregiver Training di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, UPM yang telah dianjurkan oleh Jabatan Pengurusan Kejururawatan pada bulan Julai yang lalu dan telah disertai oleh 101 peserta sebagai caregiver.
Sambutan bulan Caregiver bukan sekadar satu kempen tahunan. Tetapi ia adalah usaha yang penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, memberi sokongan emosi, serta memperkukuhkan sistem penjagaan di negara kita. Caregiver ialah tulang belakang dalam sistem penjagaan yang tidak rasmi tetapi sangat penting dalam masyarakat. Setiap penghargaan, sekecil mana pun, memberi makna besar kepada mereka yang setiap hari memberi sebahagian daripada diri mereka untuk menjaga orang lain.
Disediakan oleh: Puan Nor Farhana binti Zakariya (Jururawat, HSAAS)
Sumber:
https://www.beritaharian.sg/dunia/cabaran-galas-tugas-seorang-penjaga
https://www.hmetro.com.my/utama/2025/11/1289060/terpaksa-korbankan-kesejahteraan-diri
https://hsaas.upm.edu.my/news/caregiver_training_program_2025-87490
Date of Input: 26/11/2025 | Updated: 26/11/2025 | aimerul

Blok Utara, Pusat Pengajaran dan Latihan (Aras 1)
Hospital Sultan Abdul Aziz Shah
Persiaran Mardi - Upm,
43400 Serdang,
Selangor