MISI KURANGKAN BERAT BADAN 2025 | CLINICAL AND CANCER RESOURCE EDUCATION UNIT (CCARE)
» ARTICLE » MISI KURANGKAN BERAT BADAN 2025

MISI KURANGKAN BERAT BADAN 2025

Obesiti merupakan salah satu masalah universal yang dialami oleh kebanyakan negara dan Malaysia juga tidak terkecuali. Senario di Malaysia jelas menunjukkan obesiti semakin meningkat dari tahun ke tahun. Mengikut data terkini oleh The World Factbook – Central Intellange Agencie dari 2016 hingga 2024, Malaysia muncul sebagai negara ke-2 teramai berdepan dengan masalah berat badan di Asia Tenggara.

Menurut definisi WHO (2020), berat badan berlebihan atau obesiti ditakrifkan sebagai pengumpulan lemak yang tidak normal atau berlebihan dalam tubuh seseorang akibat ketidakseimbangan tenaga yang boleh menjejaskan kesihatan. Doktor menggunakan formula khas yang disebut "indeks jisim badan," atau Body Mass Index (BMI), untuk mengenal pasti siapa yang kurang berat badan, berat badan yang ideal, berat badan berlebihan atau obesiti. Berikut merupakan klasifikasi BMI:-

  •  BMI kurang daripada 18.5: Kurang berat badan
  •  BMI antara 18.5 dan 24.9: Berat badan ideal
  •  BMI antara 25 dan 29.9: berlebihan berat badan.
  •  BMI antara 30 atau lebih: adalah obes.

Obesiti dan berlebihan berat badan akan menyumbangkan kepada beberapa masalah kesihatan antaranya adalah diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, penyakit jantung (termasuk serangan jantung), strok, sleep apnea (gangguan di mana pernafasan berhenti untuk jangka masa pendek semasa tidur), asma dan kanser. 

Setiap orang boleh menjadi obes jika dia tidak memilih diet yang seimbang dan aktiviti fizikal yang mencukupi. Ini dapat dilihat melalui pengambilan hidangan makanan bersama kuah. Kuah “banjir” merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kegemukan atau obesiti. Ini disebabkan oleh, kuah terutamanya yang bersantan dan berminyak, bukan sahaja tinggi dengan lemak tetapi juga tinggi dengan garam dan kalori. Kuah yang berlemak/ berminyak/ manis akan menyebabkan pertambahan kalori yang tidak diperlukan oleh badan. Oleh itu, pengambilan kuah berlemak/ berminyak secara berlebihan sehingga banjir secara kerap boleh menyebabkan kenaikan berat badan dan seterusnya meningkatkan risiko obesiti. Untuk itu, hadkan pengambilan kuah banjir yang berlemak/ berminyak dan tukar kepada kuah yang ditumis atau sup sebagai alternatif yang lebih sihat.

Selain itu, makan pelbagai jenis makanan seperti bijirin penuh, kekacang, ikan, ayam, buah-buahan dan sayur-sayuran. Jadikan buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai snek. Amalan pemakanan yang sihat merupakan perkara yang sangat penting bagi membentuk badan yang sihat dan minda yang cerdas.

Manakala aktiviti fizikal melalui senaman memainkan peranan penting dalam proses penurunan berat badan. Senaman dapat mengubah komposisi badan, mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit dan sekaligus meningkatkan kualiti kehidupan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendefinisikan senaman sebagai satu aktiviti yang dirancang dan dilakukan berulang kali untuk mengekalkan kesihatan diri. Lakukan senaman yang rasa selesa dan suka dilakukan setiap hari, malah berterusan kerana ia akan  memotivasikan diri untuk sentiasa melakukannya berbanding senaman berat, tetapi hasil tidak memberangsangkan. Apabila masyarakat mula sedar dan mempraktikkan gaya hidup sihat untuk kecergasan badan, kadar peningkatan obesiti dapat diturunkan.

 

Disediakan oleh: Puan Nor Farhana binti Zakariya (Jururawat, HSAAS)

Sumber:

https://www.mkn.gov.my/web/ms/2024/06/09/rakyat-malaysia-makin-gemuk-11-juta-berat-badan-berlebihan/

https://jknperlis.moh.gov.my/v3/index.php/info-kesihatan/83-peningkatan-obesiti-di-malaysia

https://www.mkn.gov.my/web/ms/2024/03/11/malaysia-duduki-tangga-kedua-obesiti-di-asia-tenggara/

https://unimel.edu.my/journal/index.php/JEHS/article/download/1601/1276

https://www.jpapencen.gov.my/informasi/ARTIKEL-SENAMAN-UNTUK-KESIHATAN.pdf

https://hellodoktor.com/pemakanan/obesiti/tidak-bersenam-punca-obesiti/

Date of Input: 03/02/2025 | Updated: 03/02/2025 | aimerul

MEDIA SHARING

CLINICAL AND CANCER RESOURCE EDUCATION UNIT (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
S, (11:52:11am-11:57:11am, 27 Feb 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]