KEPENTINGAN IMUNISASI DAN VAKSIN | CANCER RESOURCE & EDUCATION CENTER (CaRE)
» ARTICLE » KEPENTINGAN IMUNISASI DAN VAKSIN

KEPENTINGAN IMUNISASI DAN VAKSIN

Bulan Kesedaran Imunisasi Kebangsaan disambut setiap tahun pada bulan Ogos - bertujuan mempromosikan penggunaan vaksin untuk melindungi semua peringkat umur daripada penyakit. Imunisasi menyelamatkan jutaan nyawa setiap tahun dan diakui secara meluas sebagai salah satu intervensi kesihatan yang paling berjaya di dunia.

Namun, masih ada hampir 20 juta kanak-kanak di dunia hari ini yang tidak mendapat vaksin yang diperlukan, sementara banyak yang ketinggalan vaksin penting semasa remaja, dewasa dan tua.

Vaksin sudah lama wujud. Dulunya, ibu-ibu di United Kingdom pernah menyembunyikan anak-anak mereka di cerobong asap ketika pekerja kesihatan melakukan proses vaksinasi penyakit cacar sejak tahun 1796. Dengan usaha pemberian vaksin yang berterusan, penyakit yang merbahaya itu berjaya dibasmikan pada tahun 1980.

Kewajipan imunisasi adalah untuk memastikan anak-anak dapat dilindungi dan mencapai imuniti kelompok (Herd Immunity) sehingga 97 peratus penerimaan ibu bapa.

KKM adalah badan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kesihatan negara Malaysia. Sejak tahun 1950-an lagi, Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP) telah diperkenalkan. Peruntukkan hampir RM150 juta setahun untuk Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan yang memanfaatkan seramai hampir 500,000 bayi yang dilahirkan setiap tahun sehingga ke murid sekolah berumur 15 tahun. Ianya telah dirangka mengikut Program Perkembangan untuk Imunisasi (EPI) yang dianjurkan oleh WHO. EPI menyarankan setiap negara menawarkan imunisasi terhadap 6 penyakit kanak-kanak, namun Malaysia telah menambah perlindungan tersebut kepada 13 penyakit majoriti kanak-kanak

Vaksin yang diberi boleh memberi perlindungan terhadap 13 jenis jangkitan, termasuk Tuberkulosis (TB), Hepatitis B, difteria, tetanus (kancing gigi), batuk kokol, polio, campak, beguk dan rubella serta yang terkini bermula tahun 2020 penambahan imunisasi kanak-kanak adalah pneumonia (radang paru-paru)

Bagi murid perempuan berumur 13 tahun, vaksin Human Papilloma Virus (HPV) diberi manakala di Sarawak pula, vaksin Japanese Encephalitis turut diberi.

Penyakit berjangkit disebarkan secara langsung dari seorang ke seorang. Apabila peratusan yang tinggi daripada penduduk telah diimunisasi, adalah sukar untuk penyakit-penyakit berjangkit merebak, kerana tidak ada ramai orang yang boleh dijangkiti. Sebagai contoh, seorang penghidap measles yang dikelilingi oleh orang-orang yang telah menerima vaksin measles, penyakit ini tidak boleh disebarkan dengan mudah kepada sesiapa sahaja. Oleh yang demikian, penyakit ini akan cepat hilang dan wabak tidak berlaku. Ia adalah kesan herd immunity atau imuniti kelompok. Ia memberi perlindungan kepada orang-orang yang mempunyai risiko tinggi mendapat penyakit berjangkit apabila terdedah, tetapi tidak sesuai diberi imunisasi seperti:

  • Bayi yang baru lahir (terutama yang belum mencapai berat minima dan mengalami masalah kesihatan)
  • Orang yang sistem tubuh tidak berfungsi sepenuhnya, seperti pesakit yang telah dibuang kelenjar limpa (splenektomi)
  • Pesakit yang sedang menjalani kemoterapi
  • Pesakit HIV/AIDS
  • Orang tua dan lain-lain pesakit yang sangat kronik


SITUASI COVID-19 di negara ini semakin meruncing dari hari ke hari .Beberapa masalah dan kekangan telah mengheret kita ke tahap yang semakin serius ini. Satu-satunya harapan kita untuk kembali kepada tahap wabak yang terkawal adalah melalui program vaksinasi yang cekap diurus yang akan mempercepatkan kadar pelaksanaannya. Namun kita menghadapi cabaran kerana bekalan vaksin yang diterima adalah di dalam jumlah yang agak kecil. Secara beransur-ansur, Malaysia akan menerima bekalan vaksin yang lebih banyak, dan akan dapat meningkatkan pemberian vaksin dengan lebih cepat berbanding sekarang.

Tiada siapa pun yang mempersoalkan keselamatan vaksin influenza dan vaksin meningokokus yang diambil oleh Jemaah haji dan umrah. Tahukah anda keberkesanannya jauh lebih rendah berbanding vaksin COVID-19 yang berada di pasaran sekarang? Tidak dinafikan bahawa vaksin COVID-19 ini masih baru, namun teknologi yang diguna bukanlah perkara yang baru dan tidak diketahui sebelum ini. Wabak ini telah mendorong para saintis sedunia bekerjasama dengan cara yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Lazimnya, vaksin yang melebihi 50 peratus keberkesanan mencapai kriteria WHO, dan buat masa ini semua vaksin yang kita guna di pasaran sekarang mengatasi tahap keberkesanan minima tersebut.

Keraguan dan penolakan vaksin merupakan masalah utama yang berlaku di Malaysia, malahan ianya dianggap sebagai fenomena global. Malangnya semasa kes kita masih rendah, golongan anti vaksin ketika itu sangat lantang dan aktif menyebarkan berita palsu mengenai vaksin. Padahal di negara Barat yang menghadapi kemuncak jumlah kes lebih awal dari kita dan memulakan program pemberian vaksin berskala besar dengan cepat telah berjaya menurunkan jumlah kes dengan sangat pantas. Sedih sekali, platform media sosial, WhatsApp dan pelbagai lagi aplikasi pesanan mudah alih telah menjadi alat yang merbahaya kerana maklumat tanpa bukti dan pengesahan dikongsi dengan lebih mudah dan cepat. Perkongsian ini telah benar-benar membingungkan masyarakat kita termasuk golongan intelektual yang turut mula ragu-ragu. Tahukah anda di jangka bahawa sekitar 12 individu sahaja yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu di dunia?

Kita mempertimbangkan tiga faktor ketika meluluskan vaksin.

Anda boleh membuat bacaan lanjut menerusi pautan: https://www.npr.org/2021/05/13/996570855/disinformation-dozen-test-facebooks-twitters-ability-to-curb-vaccine-hoaxes

Percayalah, kredibiliti NPRA Malaysia, satu-satunya agensi di dunia yang sangat tegas dalam penilaian telah memastikan ke tiga tiga faktor, iaitu keselamatan, kualiti dan keberkesanan mesti dipenuhi.

Apa itu vaksin?

Vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Pada hari ini, kebanyakan vaksin adalah dalam bentuk kombinasi; iaitu beberapa jenis vaksin digabungkan dalam satu suntikan agar kanak-kanak mendapat perlindungan terhadap beberapa jenis penyakit dengan hanya satu suntikan. Ia menjadikan pemberian vaksin lebih praktikal dan kurang menyakitkan.


HAMPIR setiap pertubuhan kesihatan percaya dan yakin bahawa vaksin adalah pelaburan terbaik untuk kesihatan awam. Vaksin terbukti menyelamatkan jutaan nyawa dan melindungi jutaan manusia daripada penderitaan dan kesengsaraan.

Dalam konteks COVID-19, diakui vaksin adalah ikhtiar bagi memastikan kita tidak dijangkiti virus pembunuh berkenaan. Lantaran itu, rakyat Malaysia harus patuh dan memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan bagi menangani pandemik menerusi penggunaan vaksin.

Secara umum, vaksin mengandungi antigen yang diperoleh daripada sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi merangsang sistem daya lawan jangkitan tubuh dan membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

 

Mengimbas sejarah vaksin, ia dianggap pengelak kepada kebanyakan penyakit berjangkit utama dalam kalangan manusia, terutama kanak-kanak. Vaksin terbukti berkesan merangsang imuniti untuk mempertahankan diri daripada penyakit. Vaksinasi membolehkan kita mencapai imuniti kelompok melebihi ambang 90 peratus. Jika ramai tidak mendaftar dan seterusnya tidak menerima Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, sasaran imuniti kelompok kurang 90 peratus tidak boleh tercapai.

Jika dilihat, vaksin diakui mengurangkan kos perbelanjaan kesihatan dengan setiap AS$1 dilaburkan untuk program vaksinasi, mampu menjimatkan AS$16 kos perbelanjaan perubatan, kehilangan pendapatan dan produktiviti. Malah, kita juga tidak boleh memberi nilai wang ringgit kepada nyawa dan kesengsaraan dialami. Ia pelaburan fiskal yang bijak, lebih-lebih lagi ketika negara dibebani peningkatan hutang kerajaan, belanjawan kesihatan tahunan tidak setimpal dan kos perbelanjaan yang kian meningkat.

Mewajibkan vaksinasi juga disokong falsafah politik dan lunas undang-undang. Setiap agama dan kepercayaan juga menyokong vaksinasi untuk kepentingan sejagat.

Melalui Deklarasi Dakar 2014, cendekiawan Muslim menyokong pemberian vaksinasi. Di Malaysia, penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukan lagi asing dalam perspektif syarak. Kaedah pencegahan melalui vaksinasi dapat dilihat dalam enam keputusan yang mengharuskan penggunaannya oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia antara 1988 hingga 2013. 

Enam keputusan itu membabitkan pelalian rubela (imunisasi rubela) pada 1988; imunisasi Hepatitis B (1988); imunisasi campak, tibi, batuk kokol, difteria, tetanus dan polio (1989); pelalian vaksin meningococcal meningitis (2002) dan dipinda keputusan (2014); vaksin human papilloma virus (2010) dan vaksin meningitis menveo (2013). 

Sebagai tambahan, ada juga alim ulama berpendapat pemberian vaksin mengandungi kandungan tidak halal dibolehkan jika perlu dan sebagai pilihan terakhir. Ini selaras keputusan muzakarah (Majlis Fatwa) menolak pandangan antivaksin kerana mendedahkan manusia kepada mudarat lebih besar.

 

Sebagai umat Islam, kita mempunyai kewajipan untuk menegakkan Maqasid Syariah iaitu memelihara Agama, nyawa, akal,keturunan, dan harta benda. Dalam situasi wabak yang kian mengganas, di mana setiap individu perlu memainkan peranan penting melindungi sesama sendiri dan ummah, kita harus berusaha sedaya-upaya untuk mematuhi langkah-langkah keselamatan kesihatan awam yang telah ditetapkan pihak berkuasa. Vaksinasi juga adalah salah satu kaedahnya

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengambil vaksin. Ramai umat Islam tidak menyedari akan perkara ini dan menafikan hak manusia lain. Kita perlu berusaha untuk mencapai sasaran vaksinasi 70 hingga 80 peratus penduduk kita untuk mencapai imuniti kelompok yang berkesan. Ini bermakna hampir kesemua orang dewasa berumur 18 tahun ke atas di negara ini perlu divaksinasi.

Kita sedang menghadapi krisis kesihatan yang dahsyat. Alhamdulillah kita juga mempunyai cara dan alat bagi mengatasi masalah ini. Marilah kita semua memainkan peranan masing-masing. Patuhilah langkah-langkah kesihatan awam dan pastikan kita mendorong dan mempengaruhi rakan-rakan dan masyarakat di sekeliling kita mendapatkan suntikan vaksin secepat mungkin.

 

Menghalang mudarat lebih besar - jangkitan virus COVID-19 yang boleh membawa maut - adalah wajib.

  

DISEDIAKAN OLEH: Pn. Shafikah Binti Rahim


SUMBER RUJUKAN:

https://www.mysumber.com/jadual-imunisasi-kkm.html

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid19-dan-kepentingan-vaksinasi-dr-jemilah-300746

https://www.facebook.com/klinikkeluargabertam/posts/-kepentingan-imunisasi-kewajipan-imunisasi-adalah-untuk-memastikan-anak-anak-dap/990484504649510/

https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/posts/vaksin-atau-imunisasi-adalah-langkah-terbaik-untuk-mencegah-penyakit-berjangkitb/10155836850851237/

http://www.myhealth.gov.my/imunisasi-fakta-dan-kemusykilan/

https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2021/04/805474/yakini-program-imunisasi-demi-kepentingan-sejagat

https://www.facebook.com/3363652113648488/posts/-jom-ambil-vaksin-mencegah-lebih-baik-daripada-merawat-tahukah-anda-bahawa-keraj/3365782246768808/

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/minggu-imunisasi-dunia-pentingnya-vaksin-dalam-kehidupan-295677

Date of Input: 30/07/2021 | Updated: 30/07/2021 | aimerul

MEDIA SHARING

CANCER RESOURCE & EDUCATION CENTER (CaRE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1011
03-9769 2706
BUJUHAW:07:33