Hari Kesihatan Mental 2024 | CLINICAL AND CANCER RESOURCE EDUCATION UNIT (CCARE)
» ARTICLE » Hari Kesihatan Mental 2024

Hari Kesihatan Mental 2024

Selamat Menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024. Tema tahun ini: “It is Time to Prioritize Mental Health in the Workplace.” Kesihatan mental yang baik sangat penting untuk kesejahteraan keseluruhan, terutamanya dalam suasana kerja yang penuh dengan tekanan. Menangani masalah kesihatan mental di tempat kerja dapat meningkatkan produktiviti, moral, dan kepuasan kerja.


Kesihatan mental di tempat kerja memainkan peranan kritikal kerana ia menentukan corak dan tahap produktiviti, kepuasan kerja, dan kesejahteraan pekerja secara total. Berkaitan perkara ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan lebih daripada 264 juta orang di seluruh dunia mengalami kemurungan, yang sering membawa kepada ketidakupayaan bekerja. Gangguan mental lain seperti kebimbangan, tekanan, dan keletihan mental juga menyumbang kepada penurunan produktiviti dan peningkatan ketidakhadiran kerja. Oleh itu, mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong kesihatan mental adalah penting untuk memastikan keberkesanan dan kesejahteraan pekerja. Lebih-lebih lagi apabila senario isu kesihatan mental dalam negara mendapati tren yang menjulang membimbangkan semua pihak.

 

Fakta juga mendapati terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi kesihatan mental di tempat kerja. Antaranya ialah tekanan kerja yang berlaku akibat dari tuntutan kerja yang berlebihan dan tidak seimbang yang menyebabkan tekanan yang berpanjangan, lalu menjejaskan kesihatan mental pekerja. Kekurangan kewujudan sistem sokongan sosial sama ada dari rakan sekerja dan pengurusan, lalu mewujudkan satu perasaan terasing dan tidak dihargai, turut menyumbang kepada masalah kesihatan mental. Selain itu, tiada keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi yang akhirnya membawa kepada keletihan melampau dan berpanjangan lalu menjejaskan kesejahteraan mental pekerja. Kebimbangan terhadap masa depan pekerjaan juga menimbulkan kebimbangan dan tekanan kepada pekerja yang bukan sahaja mengganggu kesejahteraan tetapi juga menjejaskan produktiviti syarikat. Tekanan emosi yang berlaku akibat dari isu buli, gangguan seksual dan penderaan di tempat kerja perlu diatasi segera sebelum ia menjejaskan kemajuan organisasi.

 

Kesihatan mental dalam persekitaran tempat kerja perlu dipertingkat dan dipromosikan bagi menjamin kesejahteraan semua pekerja dan peningkatan produktiviti. Selain itu, terdapat beberapa langkah proaktif oleh organisasi dalam mengutamakan kesihatan mental pekerja termasuk mewujudkan budaya kerja yang menyokong dan inklusif, di mana kesejahteraan mental pekerja adalah keutamaan. Ini boleh dicapai melalui komunikasi secara lebih terbuka, pihak pengurusan yang sudi untuk memahami isu pekerja dan syarikat, serta anjuran program berkaitan kesihatan mental yang disediakan untuk semua pekerja. Ini termasuk menyediakan latihan kesedaran kesihatan mental kepada pekerja dan pihak pengurusan dalam mengenali tanda-tanda awal masalah kesihatan mental dan cara untuk mengatasinya yang turut boleh membantu mengurangkan stigma dan meningkatkan sokongan kesihatan mental dalam organisasi.

 

Persekitaran kerja yang selamat dan sihat boleh menjadi faktor pelindung bagi kesihatan mental. Keadaan yang tidak sihat seperti stigma, diskriminasi, dan pendedahan kepada risiko seperti gangguan dan keadaan kerja yang buruk boleh memberi risiko besar, yang boleh mempengaruhi kesihatan mental, kualiti hidup secara keseluruhan, dan seterusnya penyertaan atau produktiviti di tempat kerja. Dengan 60% populasi dunia yang bekerja, tindakan segera diperlukan untuk memastikan pekerjaan tidak menjadi risiko kepada kesihatan mental dan melindungi serta menyokong kesihatan mental di tempat kerja.

 

Kesihatan Mental mampu mempengaruhi kualiti kehidupan seharian, tahap pembelajaran dan produktiviti seseorang jika tidak ditangani dengan berkesan. Anda tidak berseorangan, tampillah untuk mendapatkan bantuan.

Sila hubungi Talian HEAL 15555 untuk mendapatkan khidmat bantuan sokongan kesihatan mental dan tele-kaunseling.

Talian bantuan Krisis Kesihatan Mental 15555 (Help with Empathy And Love) beroperasi setiap hari termasuk cuti umum, 08:00 pagi sehingga 12:00 tengah malam.

 

Disediakan oleh: Puan Shafikah binti Rahim (Pegawai Jururawat)

Sumber: 

https://www.ikim.gov.my/index.php/2024/10/09/sudah-tiba-masanya-untuk-mengutamakan-kesihatan-mental-di-tempat-kerja/

https://www.instagram.com/kementeriankesihatanmalaysia/p/DA8BdE9NiNW/

https://www.who.int/campaigns/world-mental-health-day/2024

 

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 24/10/2024 | Updated: 24/10/2024 | aimerul

MEDIA SHARING

CLINICAL AND CANCER RESOURCE EDUCATION UNIT (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
W, (11:56:50pm-12:01:50am, 15 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]