CEGAH, USAH AMBIL RINGAN! | CLINICAL AND CANCER RESOURCE EDUCATION UNIT (CCARE)
» ARTICLE » CEGAH, USAH AMBIL RINGAN!

CEGAH, USAH AMBIL RINGAN!

Di peringkat dunia, kanser serviks adalah kanser keempat paling biasa di kalangan wanita, dengan kira-kira 660,000 kes baharu yang dilaporkan pada tahun 2022. Manakala di Malaysia pula, kanser serviks merupakan kanser ketiga yang sering berlaku. Dianggarkan sebanyak 1682 wanita didiagnosa dengan penyakit ini dan 944 wanita daripada jumlah tersebut meninggal dunia. Kanser serviks atau juga dikenali sebagai kanser pangkal rahim, terjadi apabila berlakunya pertumbuhan sel abnormal dalam lapisan serviks. Serviks ialah sebahagian daripada sistem reproduksi wanita yang memainkan peranan penting dalam kitaran haid, kesuburan, kehamilan, dan kelahiran. Kedudukan serviks adalah di bawah rahim yang menyambungkan faraj dan vagina.

Ramai yang beranggapan, kanser serviks hanya menyerang golongan yang berusia 40 hingga 60 tahun. Hakikatnya, kanser serviks boleh menyerang sesiapa saja wanita yang pernah melakukan hubungan seksual tanpa mengira usia. Ini kerana hampir semua kanser serviks disebabkan oleh jangkitan papilomavirus manusia (HPV). HPV adalah sejenis virus yang berjangkit melalui aktiviti seksual. Kebiasaannya apabila terdedah kepada HPV, sistem imun badan akan menghalang virus daripada melakukan kerosakkan. Walau bagaimanapun, bagi sebilangan orang, sistem imun mereka gagal berbuat demikian. Ini akan menyebabkan beberapa sel serviks menjadi sel kanser. Namun, risiko kanser serviks boleh dikurangkan dengan menjalani saringan 

Papanicolaou smear (Pap smear) dan suntikan vaksin yang melindungi diri daripada jangkitan HPV. 

Di Malaysia usaha memerangi kanser serviks bermula dengan pengenalan saringan pap smear pada tahun 1969 yang kemudiannya diberi secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh negara bermula pada tahun 1998. Pap Smear ialah ujian saringan yang mengambil sedikit sampel sel daripada serviks bagi mengesan awal kanser serviks agar rawatan dapat diberikan dengan lebih efektif. Saringan pap smears dilakukan dengan memasukkan spekulum ke dalam faraj untuk membuka faraj supaya serviks lebih mudah diakses. Kemudian, sel permukaan serviks akan diambil menggunakan spatula atau berus serviks dan diletakkan di atas slaid kaca. Sel tersebut seterusnya dihantar ke makmal untuk pemeriksaan mikroskopik. Ujian ini tidak mengambil masa yang lama, sekitar 5 minit sahaja dan tidak menyakitkan. Mungkin hanya menyebabkan sedikit ketidakselesaan. Keputusan ujian selalunya mengambil masa selama beberapa minggu. Ujian ini dilakukan keatas wanita yang berumur 20-65 tahun yang aktif sek.

Manakala pemberian suntikan HPV telah mula diberikan pada tahun 2010 melalui Program Imunisasi Kebangsaan  di mana murid perempuan Tingkatan 1 atau remaja perempuan berusia 13 tahun ditawarkan dengan imunisasi HPV. Setiap murid perempuan hanya perlu menerima satu dos vaksin sahaja. Vaksin ini hanya berfungsi untuk menghalang jangkitan dalam kalangan wanita yang tidak pernah dijangkiti virus HPV sahaja. Sekiranya seseorang itu telah dijangkiti, ia tidak dapat dirawat dengan vaksin ini.

Disediakan oleh: Puan Nor Farhana binti Zakariya (Jururawat, HSAAS)

Sumber:

https://malaysiagazette.com/2024/07/19/kes-kanser-tahap-3-dan-4-meningkat-65-peratus/

https://www.cancer.gov/types/cervical

https://hellodoktor.com/kesihatan-wanita/haid/apa-yang-perlu-anda-tahu-tentang-pap-smear/

https://hellodoktor.com/kanser/kanser-serviks/servik-adalah/

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/cervical-cancer/symptoms-causes/syc-20352501

https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/cervical-cancer

Date of Input: 09/01/2025 | Updated: 09/01/2025 | aimerul

MEDIA SHARING

CLINICAL AND CANCER RESOURCE EDUCATION UNIT (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
F, (02:41:04am-02:46:04am, 28 Feb 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]