Ambil Peduli, Lindungi Masa Depan | CLINICAL AND CANCER RESOURCE EDUCATION UNIT (CCARE)
» ARTICLE » Ambil Peduli, Lindungi Masa Depan

Ambil Peduli, Lindungi Masa Depan

Januari merupakan sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks yang disambut di seluruh dunia. Ia bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang kanser serviks serta kepentingan pengesanan awal. Kanser serviks merupakan antara kanser yang boleh dicegah, namun ia kekal sebagai isu kesihatan serius dalam kalangan wanita di seluruh dunia. Hal ini disebabkan oleh tahap kesedaran tentang pencegahan dan pengesanan awal masih rendah, terutamanya di sesetengah komuniti. Dengan pengesanan awal, rawatan boleh dimulakan lebih awal dan risiko komplikasi serta kematian dapat dikurangkan.

 

Ramai wanita tidak melakukan pengesanan awal dengan menjalani saringan berkala seperti ujian Pap smear atau ujian HPV DNA. Ujian Pap Smear dilakukan dengan mengambil sedikit sampel sel dari pangkal rahim bagi mengenal pasti sel serviks yang tidak normal. Manakala Ujian HPV DNA pula dilakukan bagi mengesan kehadiran Human Papilloma Virus DNA (HPV) sebelum perubahan sel berlaku. Ujian HPV DNA ini ditawarkan kepada wanita yang aktif mengamalkan seks dan berusia dalam lingkungan 30 hingga 65 tahun, termasuk mereka yang pernah menerima vaksin HPV.

 

Di Malaysia, pengambilan vaksin HPV masih belum menyeluruh, sedangkan virus HPV merupakan punca utama kanser serviks. Vaksin HPV kini diberikan secara percuma kepada pelajar perempuan sekolah menengah, dan juga boleh didapati di klinik swasta untuk wanita dan lelaki dewasa.

 

 

Beberapa peringatan penting kepada penerima vaksin HPV ini ialah perlu pastikan melengkapkan 3 dos vaksinasi dalam tempoh 6 bulan. 3 dos vaksinasi ini memberi perlindungan yang optima dari jangkitan HPV serta boleh mencegah 70% daripada berlakunya kejadian kanser serviks. Manakala antara kesan sampingan vaksin ini adalah seperti sakit, bengkak, panas, gatal atau merah di tempat suntikan. Selain itu, penerima vaksin ini mungkin akan mengalami demam, pening kepala, loya dan muntah. Sekiranya ada kesan sampingan lain selain yang dinyatakan diatas akibat dari suntikan vaksin HPV, rawatan susulan di klinik atau di hospital perlu dilakukan.

 

Disediakan oleh: Puan Nor Farhana binti Zakariya

Unit Sumber Pendidikan Kanser Dan Klinikal, HSAAS

 

Disemak Oleh: Dr. Razif Bin Zainol Abidin

    Unit Sumber Pendidikan Kanser Dan Klinikal, HSAAS

 

Sumber:

https://www.kosmo.com.my/2025/01/26/karnival-kesihatan-madani-tingkat-kesedaran-penyakit-ncd-kanser-serviks/#google_vignette

https://www.malaysia.gov.my/my/personas/women/panduan-dan-kemudahan-kesihatan-wanita/pap-smear-test-at-lppkn

https://www.ukm.my/patologifper/wp-content/uploads/2020/09/Bil-6-Ujian-Human-Papilloma-Virus-HPV.pdf

Date of Input: 24/02/2026 | Updated: 24/02/2026 | aimerul

MEDIA SHARING

CLINICAL AND CANCER RESOURCE EDUCATION UNIT (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
F, (10:40:22pm-10:45:22pm, 27 Feb 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]