Rawatan Kanser Tiroid | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» Rawatan Kanser Tiroid

Rawatan Kanser Tiroid


PEMBEDAHAN

  • Pembedahan ialah rawatan yang paling lazim untuk kanser tiroid. Masa yang diambil untuk pulih selepas pembedahan adalah berbeza antara individu. Anda mungkin berasa tidak selesa dalam beberapa hari pertama selepas pembedahan, dan ubat dapat membantu anda untuk mengurangkan rasa sakit. Sebelum pembedahan, anda hendaklah membincangkan rancangan untuk melegakan sakit dengan doktor atau jururawat anda (untuk kanser tiroid, rawatan melalui pembedahan adalah perlu dan bukan suatu pilihan).
  • Jenis pembedahan bergantung pada jenis dan tahap kanser tiroid, saiz nodul dan umur pesakit. Salah satu prosedur berikut boleh digunakan:
    1. Tiroidektomi Menyeluruh: Penyingkiran seluruh kelenjar tiroid.
    2. Lobektomi: Penyingkiran lobus yang mengandungi sel kanser. Biopsi nodus limfa di sekitar kawasan tersebut mungkin dilakukan utuk meneliti jika wujud sel-sel kanser di situ.
    3. Tiroidektomi hampir menyeluruh: Penyingkiran hampir seluruh kelenjar tiroid.
    4. Limfadenektomi: Penyingkiran nodus limfa yang mengandungi sel kanser

 

TERAPI

  • Terapi Iodin Radioaktif
  • Terapi Sinaran Eksternal (Radioterapi)

 
TERAPI IODIN RADIOAKTIF 

  • Terapi Iodin Radioaktif menggunakan iodin radioaktif (I-131) untuk memusnahkan sel kanser tiroid di merata tubuh. Iodin tersebut diberikan  dalam bentuk pil atau cecair yang anda telan dalam dos-dos kecil, yang tidak menimbulkan masalah untuk individu yang alah iodin. Rawatan ini digunakan untuk:
    1. Memusnahkan sel kanser tiroid dan sel tiroid yang sihat, yang kekal di dalam tubuh selepas pembedahan.
    2. Merawat kanser tiroid yang berulang selepas rawatan, atau yang telah tersebar ke bahagian lain dalam tubuh.
  • Sebelum rawatan ini, pesakit hendaklah mengambil diet yang bebas iodin selama sekurang-kurangnya 4-6 minggu atau menggunakan TSH rekombinan untuk meningkatkan aras TSH sebelum Terapi Iodin Radioaktif.
  • Jika dos I-131 cukup rendah, pesakit boleh pulang ke rumah selepas rawatan. Jika dosnya tinggi, pesakit hendaklah tinggal di hospital supaya tidak memudaratkan orang lain, terutama kanak-kanak dan wanita hamil, akibat terdedah kepada sinaran semasa rawatan. Kebanyakan sinaran lenyap dalam masa beberapa hari.
  • Semasa rawatan, anda boleh melindungi pundi kencing anda dan tisu sihat yang lain dengan meminum cecair dengan banyak. Minum cecair membantu menyingkirkan I-131 dari tubuh dengan lebih pantas.
  • Pesakit yang mengalami kanser tiroid medula atau kanser tiroid anaplastik pada amnya tidak diberi rawatan I-131. Kanser tiroid jenis ini jarang kali dapat pulih dengan terapi I-131.

Kesan sampingan rawatan ini antaranya termasuk:

  • Loya
  • Kering mulut
  • Kering mata
  • Deria rasa dan bau yang berubah
  • Rasa sakit pada tempat sel kanser tiroid telah merebak, seperti pada leher atau dada
  • Kesan sampingan yang jarang pada lelaki yang menerima dos I-131 yang tinggi ialah hilang kesuburan. Pada wanita, I-131 mungkin tidak menyebabkannya hilang kesuburan, tetapi sesetengah doktor menasihati wanita supaya mengelakkan kehamilan selama setahun selepas dos I-131 yang tinggi.

 
TERAPI SINARAN EKSTERNAL (RADIOTERAPI) 

  • Radioterapi menggunakan sinaran bertenaga tinggi untuk memusnahkan sel kanser melalui suatu mesin besar. Mesin tersebut menumpukan sinaran tersebut pada leher atau pada bahagian tubuh tempat kanser telah merebak. Terapi ini digunakan untuk:
    1. Merawat kanser tiroid yang tidak dapat dirawat melalui pembedahan dan iodin radioaktif.
    2. Merawat kanser yang berulang selepas rawatan, atau untuk merawat sakit tulang akibat kanser yang telah merebak ke situ.
    3. Melegakan sakit atau masalah lain.

Kebanyakan pesakit pergi ke hospital atau klinik untuk mendapatkan rawatan, lazimnya 5 hari seminggu selama beberapa minggu. Setiap rawatan hanya mengambil masa beberapa minit. Lazimnya pesakit berasa letih lesu semasa rawatan, tetapi doktor akan menasihati pesakit supaya kekal aktif seboleh yang mungkin.

  • Kesan sampingan:
    1. Kering mulut dan tekak, suara garau atau sukar menelan jika sinaran disasarkan pada leher.
    2. Kulit pada kawasan yang dirawat mungkin menjadi merah, kering, dan lembut.
  • Kesan sampingan lazimnya lenyap selepas rawatan tamat.

 

 

Kemaskini:: 18/03/2019 []

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
S, (03:17:43pm-03:22:43pm, 15 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]