Rawatan Kanser Prostat | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» Rawatan Kanser Prostat

Rawatan Kanser Prostat


PEMANTAUAN

  • Tidak semua lelaki yang didiagnosis dengan penyakit tersebut memerlukan rawatan serta-merta. Sesetengah sel kanser tumbuh secara perlahan dan mungkin mengambil masa 10 tahun atau lebih sebelum menimbulkan masalah atau merebak. Doktor akan mengawasi perkembangan pesakitnya dan memeriksa secara berkala untuk memeriksa pertumbuhan kanser dengan melakukan ujian DRE dan PSA.

PEMBEDAHAN

  • Pembedahan melibatkan penyingkiran seluruh prostat dengan sempurna untuk menghindarkan kanser ini daripada berulang dan menjadi lebih teruk. Rawatan cara ini disyorkan hanya jika tumor bertumpu pada prostat. Jenis pembedahan antaranya termasuk:
    1. Prostektomi retropubik radikal adalah tatacara pembedahan apabila kelenjar prostat disingkirkan melalui insisi pada abdomen.
    2. Prostektomi perineum radikal adalah tatacara pembedahan apabila kelenjar prostat disingkirkan melalui insisi pada kawasan di antara dubur dan skrotum (perineum).
    3. Prostektomi radikal secara laparoskopi ialah tatacara yang agak tidak invasif dan bergantung pada teknologi moden, seperti optik fiber (fiber optics) dan teknik pengecilan (miniaturization). Teknik ini bukanlah rawatan baru untuk kanser prostat. Teknik ini ialah bentuk moden bagi rawatan yang paling lama untuk kanser prostat.
    4. Tatacara prostektomi robotik menggunakan sistem pembedahan moden yang membantu pakar bedah anda melihat struktur anatomi yang penting dan untuk melakukan tatacara pembedahan yang lebih jitu.
  • Kesan sampingan:
    1. Inkontinens urinari (hilang kawalan pundi kencing)
    2. Mati pucuk (zakar tidak mampu mengalami ereksi)
    3. Perubahan ukuran panjang zakar

TERAPI RADIASI

  • Tujuan terapi radiasi adalah untuk memusnahkan sel kanser dan merencatkan pertumbuhannya. Kanser sel yang membiak dengan pantas lebih mudah dimusnahkan oleh radiasi daripada sel normal yang bersebelahan. Terdapat 2 jenis terapi radiasi:
    1. Terapi radiasi alur luaran (external beam radiation therapy - EBRT) ialah rawatan setempat, yang bermaksud bahawa radiasi ditujukan hanya pada sesuatu bahagian khusus tubuh.
    2. Terapi radiasi dalaman atau dikenali juga sebagai brakiterapi, ialah suatu kaedah yang sumber radiasinya ditempatkan di dalam tubuh. Kaedah ini secara amnya hanya digunakan pada lelaki yang mengalami kanser prostat tahap awal, yang kansernya tumbuh agak lambat.
    3. Terapi radiasi intensiti termodulasi (intensity modulated radiation therapy - IMRT) ialah  salah satu kaedah terkini dan paling hebat dalam rawatan kanser prostat. IMRT melibatkan penggunaan alur radiasi yang lebih halus untuk disasarkan dengan tepat pada tumor dan mengelakkan organ yang berdekatan daripada radiasi. Dengan ini  IMRT mengurangkan kesan sampingan dan kawasan terbakar pada pesakit berbanding dengan kaedah yang lebih konvensional.
  • Kesan sampingan:
    1. Cirit-birit atau gangguan lain pada fungsi usus
    2. Rasa hendak kencing yang lebih kerap
    3. Rasa lesu
    4. Rektum berasa tidak selesa, pedih atau sakit
    5. Mati pucuk (zakar tidak mampu mengalami ereksi)
    6. Lemah kawalan kencing

TERAPI HORMON

Rawatan dengan hormon ialah rawatan pilihan untuk lelaki yang mengalami kanser yang telah merebak jauh ke luar prostat. Rawatan dengan hormon boleh diberikan beberapa bulan sebelum radioterapi atau pembedahan untuk membantu rawatan susulan ini supaya lebih berkesan. Rawatan dengan hormon tidak bertujuan untuk menyembuhkan kanser tetapi dapat membantu mengecutkan kanser tersebut atau melenyapkan gejala untuk kebanyakan lelaki.

Rawatan Hormon Dengan Pembedahan

  • Orkidektomi - Ini ialah istilah perubatan untuk penyingkiran buah zakar secara pembedahan dan ia adalah pembedahan yang kecil. Kaedah ini mengehadkan kadar testosteron yang ada, yang menggalakkan pembiakan kanser.

Suntikan Hormon

  • Analog LHRH - Kumpulan ubat ini lazimnya diberikan dalam bentuk suntikan di bawah kulit sama ada secara bulanan atau setiap 3 bulan bergantung pada sediaan depot ubat tersebut. Ubat ini bertindak dengan merencat penghasilan testosteron di dalam buah zakar. Dengan ini tindakannya agak serupa dengan orkidektomi.
  • Antiandrogen - ubat ini bertindak pada reseptor testosteron dalam prostat untuk menghalang tindakan hormon pada kelenjar dan kanser.

Kesan sampingan:

    1. Hilang libido (nafsu seks)
    2. Berat badan meningkat
    3. Tubuh berasa panas sekali-sekala
    4. Mati pucuk (zakar tidak mampu mengalami ereksi)
    5. Osteoporosis (tulang menjadi semakin lembut)
    6. Tetek membengkak
    7. Cecair tertahan di dalam tubuh
    8. Mood berubah-ubah

KEMOTERAPI

  • Kemoterapi ialah kaedah yang menggunakan ubat yang kuat untuk menyerang sel kanser.  Terdapat banyak ubat kemoterapi yang berbeza, setiap satu dengan kelebihan dan kekurangannya. Sering kali ubat-ubat tersebut digunakan secara bergabung. Sementara sesetengahnya disuntikkan secara langsung ke dalam vena atau otot, yang lain mungkin diambil melalui mulut.

Kesan sampingan:

    1. Cirit- birit
    2. Loya
    3. Rambut gugur
    4. Muntah-muntah
    5. Darah kurang berupaya untuk menggumpal
    6. Penindasan fungsi tulang sumsum

 

 

Kemaskini:: 15/07/2013 [lanz] Kemaskini:: 04/04/2019 []

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
F, (09:35:14pm-09:40:14pm, 11 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]