Rawatan Kanser Perut | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» Rawatan Kanser Perut

Rawatan Kanser Perut

Sebelum rawatan dimulakan bagi mereka yang disahkan menghidap kanser perut, doktor terlebih dahulu akan menentukan peringkat kanser perut tersebut. Ini ditentukan setelah pesakit menjalani ujian-ujian tertentu seperti pemeriksaan endoskopik, Imbasan dan juga biopsi. Secara umumnya kaedah rawatan bagi pesaki kanser perut adalah secara pembedahan, radioterapi, dan kemoterapi samada secara berasingan ataupun secara kombinasi.

  1. Rawatan pembedahan secara endoskopik. Jika kanser perut masih di peringkat awal, boleh ditawarkan kepada pesakit dan ini dikenali sebagai reseksi mukosa secara endoskopik. Jika kanser perut telah menjadi lebih besar pesakit perlu menjalani pembedahan untuk membuang sebahagian atau kesemua bahagian perut termasuk bahagian tisu yang berhampiran. Semasa pembedahan juga pakar bedah akan memeriksa nodus limfa di bahagian perut sekiranya sel-sel kanser telah merebak ke bahagian ini. Jika kanser perut telah menjadi terlalu besar rawatan pembedahan mungkin akan dilakukan untuk mengurangkan gejala dan membuatkan pesakit menjadi lebih selesa dan pada peringkat ini rawatan pembedahan bukan lagi bersifat kuratif.

  2. Rawatan secara radioterapi yang mengunakan pancaran sinar radiasi bertenaga tinggi dapat membunuh sel-sel kanser. Rawatan ini boleh digunakan untuk mengecilkan saiz ketumbuhan sebelum pembedahan dilakukan dan ini dikenali sebagai radioterapi neoadjuvan. Radioterapi juga boleh digunakan selepas pembedahan untuk membunuh sel-sel kanser yang masih tertinggal. Rawatan secara radioterapi ini sering digabungkan dengan rawatan kemoterapi.

  3. Rawatan secara kemoterapi pula menggunakan ubat-ubatan yang dapat membunuh sel-sel kanser. Ini boleh dilakukan sebelum pembedahan untuk mengurangkan saiz ketumbuhan agar pembedahan dapat dilakukan dengan lebih mudah dan juga selepas pembedahan sekiranya sel-sel kanser telah merebak ke bahagian-bahagian badan yang lain.

  4. Rawatan paliatif. Jika kanser tersebut telah pun merebak ke tempat lain iaitu bermaksud ia berada pada tahap terakhir, maka hanya rawatan ini yang boleh diberikan kepada pesakit. Iaitu rawatan untuk mengurangkan simptom yang dihadapi oleh pesakit.

Kemaskini:: 05/11/2021 []

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXEcEAt~