PENGENALAN
Rawatan kanser paru-paru biasanya melibatkan suatu pasukan yang dianggotai oleh pelbagai disiplin seperti pakar bedah kardiotorasik, pakar onkologi, pakar patologi, pakar radiologi dan kakitangan kesihatan bersekutu yang lain.
Jenis rawatan yang diberikan bergantung kepada banyak faktor seperti tahap kanser, umur dan tahap fizikal pesakit, pilihan atau kemahuan pesakit dan samada modaliti rawatan dan kepakaran yang dikehendaki boleh didapati
PEMBEDAHAN
Pembedahan radikal bagi tujuan penyembuhan hanya boleh dilakukan bagi non small cell lung cancer yang berada pada tahap 1 dan 2.
Pembedahan radikal membuang kanser ini menawarkan peluang yang terbaik untuk sembuh tetapi hanya sekitar 25% daripada pesakit adalah calon yang sesuai untuk pembedahan.
Sebelum pembedahan, anda mungkin perlu menjalani ujian fungsi paru-paru untuk menilai keupayaannya untuk menghadapi pembedahan tersebut.
Pembedahan ini akan mengeluarkan sebahagian/keseluruhan paru-paru dan nodus limfa di dalam dada, bergantung kepada saiz dan lokasi tumor dan juga tahap fungsi pernafasan pesakit.
Terdapat 3 jenis pembedahan untuk kanser paru-paru:
- Lobektomi
- Pneumonektomi
- Wedge Resection /Segmentektomi
Lobektomi
- Penyingkiran sebahagian daripada paru-paru seperti yang ditunjukkan dalam rajah berikut.
Pneumonektomi
- Penyingkiran keseluruhan bahagian paru-paru yang terlibat seperti yang ditunjukkan dalam rajah berikut.

Wedge Resection / Segmentektomi
- Penyingkiran sebahagian kecil paru-paru yang mengandungi tumor seperti yang ditunjukkan dalam rajah berikut.

TERAPI
RADIOTERAPI
Radioterapi adalah rawatan kanser dengan sinaran X-ray bertenaga tinggi. Radioterapi boleh diberi secara radioterapi luaran iaitu dipancarkan dari luar badan atau melalui rongga di dalam badan iaitu radioterapi dalaman.
- Radioterapi luaran menggunakan sinaran yang dihasilkan oleh mesin radioterapi dan diberikan hanya kepada bahagian badan yang mengandungi sel kanser. Jenis radioterapi ini diberi selepas atau bersama-sama kemoterapi terhadap kanser paru-paru (tahap 3A dan 3B) bagi tujuan penyembuhan (cure). Bagi pesakit kanser paru-paru peringkat akhir, radioterapi luaran juga berguna untuk melegakan gejala atau komplikasi akibat kanser seperti:
- Rawatan setempat tumor dengan niat untuk mengawal atau meredakan gejala
- Melegakan gejala saluran pernafasan tersekat
- Melegakan hemoptisis (batuk berdarah akibat tumor)
- Mengurangkan sakit dada
- Melegakan sakit tulang akibat rebakan kanser ke tulang
- Rawatan bagi ‘spinal cord compression’ akibat dari rebakan atau tekanan ke atas saraf tunjang
- Radioterapi dalaman atau brakiterapi menggunakan sumber radioaktif yang kecil (Iridium 192) yang dimasukkan ke dalam lumen bronkus berhampiran tumor. Ia bertujuan bagi melegakan simptom dan mengawal pertumbuhan tumor dan bukan untuk penyembuhan (cure)
- Radioterapi kanser paru-paru boleh menyebabkan:
◦ Kesan sampingan awal (semasa radioterapi):
- Hilang selera makan
- Loya
- Keletihan
- Batuk kering
- Pedih ulu hati
◦ Kesan sampingan jangka panjang (selepas radioterapi)
-
-
- Kerosakan pada tisu papu-paru (fibrosis paru-paru)
- Radang paru-paru.
KEMOTERAPI
- Ia adalah rawatan dengan ubat anti-kanser (cytotoxics) bertujuan untuk mematikan sel kanser.
- Ia boleh diberikan melalui suntikan ke dalam pembuluh darah (intravena), melalui alat kemoport atau secara oral (pil).
- Ia boleh digunakan secara kombinasi dengan pembedahan dan/atau radioterapi dalam rawatan kanser paru-paru.
- Doktor anda akan menasihati anda tentang pilihan ubat-ubatan kemoterapi bergantung kepada jenis dan tahap kanser, jenis dan tujuan rawatan yang anda terima dan faktor lain seperti status fizikal, keadaan perubatan lain dan profil darah.
- Antara kesan sampingan kemoterapi untuk kanser paru-paru adalah:
-
- Ulser mulut atau mucositis
- Loya
- Muntah
- Cirit-birit
- Keguguran rambut
- Keletihan
- Hilang selera makan
- Demam
- Jangkitan
- Kecenderungan pendarahan
TARGETED THERAPY
- Ini adalah rawatan terbaru yang boleh ditambah kepada pelbagai rawatan yang sedia ada untuk kanser paru-paru.
- Ia menggunakan ‘ubat sofistikated’ dengan sifat cytostatic yang menyasarkan sel kanser pada peringkat molekul bertujuan untuk mengawal pertumbuhan dan perkembangan sel tersebut.
- Ia digunakan bukan untuk menyembuhkan sebaliknya untuk mengawal kanser.
- Ia boleh didapati dalam bentuk pil dan intravena dan boleh digunakan dengan sendirinya atau dengan kombinasi dengan ubat kemoterapi
- Doktor anda akan menasihati anda tentang pemilihan agen bergantung kepada jenis kanser dan faktor-faktor lain
- Antara kesan-kesan sampingan terapi sasaran untuk kanser paru-paru adalah seperti:
-
- Ruam pada kulit
- Jerawat
- Cirit birit
- Keletihan
- Loya, Muntah
- Protein di dalam air kencing
TERAPI PALIATIF
- Ini adalah bentuk rawatan yang bertujuan untuk memperbaiki keadaan pesakit dan mengatasi gejala yang timbul daripada paru-paru bermasalah samada dengan mengunakan rawatan dengan ubat-ubatan, prosedur dan/atau terapi kaunseling. Ia melibatkan lebih ramai penjawat perkhidmatan kesihatan sama ada dari hospital dan pekerja ikhtisas yang berasaskan komuniti seperti doktor penjagaan paliatif, pakar sakit, pakar bedah, pakar onkologi, pakar psikologi, jururawat, pakar pemakanan, ahli fisioterapi/ahli terapi pekerjaan, kakitangan rumah jagaan / hospital dan lain-lain lagi. Doktor penjagaan paliatif juga akan berbincang dengan pesakit kanser yang berisiko atau penjaga/ahli keluarga mereka mengenai isu-isu lain yang penting seperti isu akhir hayat.
Kemaskini:: 14/03/2019 []
PERKONGSIAN MEDIA