Rawatan bergantung terutamanya pada perkara berikut:
- Bilangan, saiz, dan kedudukan tumor pada hati
- Keadaan fungsi hati dan sama ada pesakit mengalami sirosis
- Sama ada kanser tersebut telah merebak ke luar hati
Faktor yang harus dipertimbangkan termasuk umur, kesihatan am dan pertimbangan rawatan dan kesan sampingan yang mungkin berlaku.
Beberapa pilihan rawatan:
- Pembedahan
- Ablasi
- Embolisasi
- Terapi Bersasaran
- Terapi Sinaran
- Kemoterapi
Pembedahan
- Pilihan untuk individu yang mengalami kanser hati tahap awal. Pakar bedah mungkin menyingkirkan seluruh hati atau hanya bahagian yang mengalami kanser. Jika seluruh hati disingkirkan, organ ini akan diganti dengan tisu hati sihat daripada penderma (pemindahan hati).
Ablasi
- Kaedah untuk memusnahkan kanser pada hati. Kaedah ini adalah untuk mengawal kanser hati untuk menambahkan jangka hayat. Kaedah ini mungkin digunakan untuk individu yang menunggu untuk pemindahan hati atau mungkin juga digunakan untuk individu yang tidak sesuai untuk pembedahan. Pembedahan untuk menyingkirkan tumor mungkin tidak sesuai kerana sirosis atau keadaan lain yang mengakibatkan fungsi hati menjadi lemah, atau lokasi tumor di dalam hati, atau masalah kesihatan yang lain.
- Kaedah-kaedah tersebut antaranya termasuk;
-
- Ablasi radiofrekuensi: Doktor mengunakan prob khusus yang mengandungi elektrod halus untuk memusnahkan sel kanser dengan haba. Ultrabunyi, CT atau MRI mungkin digunakan untuk memandu prob tersebut ke tumor.
- Suntikan etanol perkutaneus: Doktor menggunakan ultrabunyi untuk memandu satu jarum halus ke dalam tumor hati. Alkohol (etanol) disuntikkan secara langsung ke dalam tumor dan memusnahkan sel-selnya. Prosedur ini boleh dilakukan sekali atau dua kali seminggu.
Embolisasi
- Untuk pesakit yang tidak dapat dibedah atau dilakukan pemindahan hati, embolisasi atau kemoembolisasi boleh menjadi salah satu pilihan. Doktor akan memasukkan kateter halus ke dalam arteri pada kaki dan menggerakkan kateter tersebut ke dalam arteri hati.
-
- Untuk melakukan embolisasi, doktor akan menyuntikkan span halus atau zarah lain ke dalam kateter. Zarah-zarah tersebut menghalang aliran darah melalui arteri tersebut. Bergantung pada jenis zarah yang digunakan, halangan tersebut mungkin bersifat sementara atau kekal. Tanpa aliran darah dari arteri hati, tumor tersebut musnah. Walaupun arteri hati tersumbat, tisu hati yang sihat masih menerima darah dari vena portal hati.
- Untuk kemoembolisasi, doktor menyuntikkan ubat antikanser (kemoterapi) ke dalam arteri sebelum menyuntikkan zarah halus yang menghalang aliran darah. Tanpa aliran darah, ubat kekal lebih lama di dalam hati.
- Embolisasi sering mengakibatkan abdomen sakit, loya, muntah-muntah, dan demam.
Terapi Bersasaran
- Sorafenib (Nexavar) ialah terapi bersasar yang pertama yang diluluskan untuk kanser hati. Terapi bersasaran melambatkan pertumbuhan tumor hati dan mengurangkan bekalan darah. Ubat tersebut diambil secara oral.
- Kesan sampingannya termasuk rasa loya, muntah-muntah, kudis (pecah-pecah) di mulut dan hilang selera makan. Kadangkala, pesakit mungkin mengalami sakit dada, masalah perdarahan, atau melepuh pada tangan dan kaki. Ubat tersebut boleh juga mengakibatkan tekanan darah tinggi.
Terapi Sinaran
Kaedah ini menggunakan sinar bertenaga tinggi untuk memusnahkan sel kanser. Terapi ini boleh menjadi pilihan untuk sesetengah individu yang tidak dapat dibedah. Kadangkala terapi ini digunakan dengan pendekatan cara lain. Terapi sinaran mungkin juga digunakan untuk membantu mengurangkan kesakitan akibat kanser hati yang telah merebak ke tulang.
- Doktor menggunakan dua jenis terapi sinaran untuk merawat kanser hati:
-
- Terapi sinaran luaran: Sinaran diperoleh daripada pemecut linear. Alat ini menumpukan alur sinaran pada dada dan abdomen.
- Terapi sinaran dalaman: Sinaran ini berasal dari sfera radioaktif yang halus. Doktor menggunakan kateter untuk menyuntikkan sfera halus ke dalam arteri hati. Sfera tersebut menghalang bekalan darah ke tumor pada hati.
- Kesan sampingan terapi sinaran termasuk rasa loya, muntah-muntah, atau cirit-birit.
Kemoterapi
Penggunaan ubat untuk memusnahkan sel kanser kadangkala digunakan untuk merawat kanser hati. Ubat tersebut biasanya diberikan secara intravena. Ubat tersebut memasuki aliran darah dan tersebar ke seluruh tubuh.
- Kemoterapi mungkin diberikan di bahagian pesakit luar di hospital atau di pejabat doktor. Jarang sekali anda perlu tinggal di hospital untuk mendapat rawatan ini.
- Kesan sampingan kemoterapi bergantung terutamanya pada jenis ubat dan jumlah ubat yang diberikan. Kesan sampingan am antaranya termasuk rasa loya dan muntah-muntah, hilang selera makan, sakit kepala, demam dan seram sejuk, dan rasa lemah.
- Sesetengah ubat mengurangkan aras sel darah yang sihat, dan besar kemungkinan anda mudah mendapat infeksi, mudah mengalami lebam-lebam atau perdarahan, serta berasa sangat lemah dan letih.
Kemaskini:: 15/03/2019 []
PERKONGSIAN MEDIA