Penyaringan & Diagnosis Kanser Payudara | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» Penyaringan & Diagnosis Kanser Payudara

Penyaringan & Diagnosis Kanser Payudara

 

PEMERIKSAAN SENDIRI PAYUDARA (BSE)

Wanita yang berusia 20 tahun ke atas hendaklah melakukan pemeriksaan sendiri payudara (breast self-examination - BSE) setiap bulan. Jika anda masih datang haid, anda seharusnya membuat pemeriksaan beberapa hari selepas haid berakhir. Pada masa ini, payudara anda tidak berasa nyeri. Jika anda tidak datang haid (misalnya sudah menopaus), BSE hendaklah dilakukan pada hari yang sama setiap bulan.

Teknik melakukan BSE:

  • Menghadap cermin
    Berdiri di hadapan cermin dan bandingkan kedua-dua belah payudara untuk melihat perbezaan saiz, puting termasuk ke dalam, bengkak, atau lekuk. Perhatikan sebarang perubahan pada kulit atau puting, misalnya ketulan keras atau lelehan putting.

    Periksa payudara anda dalam 4 langkah:

      1. Dengan kedua-dua tangan anda ke sisi
      2. Dengan kedua-dua tangan anda di atas kepala
      3. Dengan kedua-dua tangan anda di pinggang – Tekan kuat untuk menegangkan otot dada anda.
      4. Bongkok – Periksa payudara anda.
        Dalam kedudukan ini, otot pektoral anda mengendur, dan lekuk yang tidak ketara pada kulit boleh muncul jika tumor yang sedang tumbuh menjejaskan ligamen.

 

  • Berbaring

    payudara kanan:
    • Letak bantal di bawah bahu kanan anda.
    • Letak tangan kanan anda di bawah kepala anda.
    • Periksa seluruh bahagian payudara anda dengan menggunakan tapak jari tangan kiri anda.
    • Buat bentuk bulatan kecil dalam pola naik dan turun.
    • Gunakan tekanan ringan, sederhana dan kuat pada setiap bahagian payudara anda.
    • Rasa payudara dengan permukaan jari kedua, ketiga dan keempat, sambil bergerak mengikut pola tertentu menggunakan gerakan kecil membulat dari puting ke luar.
    • Perlahan-lahan tekan puting untuk melihat sama ada keluar lelehan.Payudara Kiri:
      Ulang langkah-langkah tersebut pada payudara kiri dengan menggunakan tangan kanan. 
    payudara kiri:
    Ulang langkah-langkah tersebut pada payudara kiri dengan menggunakan tangan kanan.
     
  • Di Bilik Mandi
    BSE boleh dilakukan dengan mudah semasa anda di bilik mandi. Sesetengah wanita mendapati ada ketulan di payudara mereka semasa kulit lembap.
    • Angkat tangan kanan anda.
    • Dengan tangan bersabun dan jari terletak rata, periksa payudara kanan anda.
    • Buat gerakan kecil membulat naik dan turun sebagaimana yang diterangkan sebelum ini.
    • Ulang langkah-langkah tersebut pada payudara kiri.

Catatan:Sila klik laman web di bawah untuk belajar tentang Pemeriksaan Sendiri Payudara (BSE) dan melihatnya dalam video:

 

MAMMOGRAFI

  • Apakah Mammogram?

Mamogram ialah pemeriksaan menggunakan sinar-x pada payudara, yang boleh membantu menentukan jenis ketulan. Mamogram disarankan sebagai kaedah penyaringan untuk mengesan kanser pada peringkat awal. Biasanya, kita boleh mengetahui sama ada ketulan pada payudara sebenarnya kanser, tetapi tiada ujian yang boleh dipercayai 100%. Mamogram dikatakan tidak dapat mengesan sehingga 10-15% kanser payudara. Mamogram sahaja selalunya tidak mencukupi untuk mengesahkan jenis ketulan. Doktor anda mungkin akan meminta ujian-ujian tambahan dibuat. Semua ketulan pada payudara perlu dipastikan bersifat benigna atau perlu dibuat biopsi. Wanita seharusnya mula membuat pemeriksaan mamogram setiap 2 tahun mulai usia 40 tahun, atau setiap tahun  jika mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi. 

  • Bagaimanakah Mammogram berfungsi?

Semasa mamogram, payudara dikepit di antara 2 plat untuk meleperkan dan merebakkan tisunya. Tekanan berakhir hanya beberapa saat. Walaupun tekanan ini menyebabkan sedikit rasa tidak selesa beberapa ketika, ia diperlukan untuk mendapatkan gambaran yang jelas. Paras radiasi yang amat rendah digunakan.
  

ULTRABUNYI

  • Apakah Ultrabunyi?

Pemeriksaan ultrabunyi sering dilakukan untuk memeriksa ketulan pada payudara. Gelombang ultrabunyi membentuk "gambar" dalam payudara. Ultrabunyi boleh menunjukkan sama ada sesuatu ketulan itu dipenuhi cecair (sista) atau bersifat pejal. Kanser selalunya pejal, manakala banyak sista bersifat benigna. Ultrabunyi boleh juga digunakan untuk membantu proses biopsi atau mengeluarkan cecair.

BIOPSI

Biopsi bermakna mengambil sejumlah kecil sahaja tisu daripada tubuh untuk diperiksa dan diuji oleh pakar patologi untuk menentukan sama ada kanser wujud atau tidak. Beberapa teknik biopsi boleh digunakan.

  • Biopsi Aspirasi Jarum Halus

Doktor menggunakan jarum berongga yang halus untuk mengambil tisu daripada ketulan. Ia akan menghantar tisu tersebut ke makmal untuk analisis mikroskop. Tatacara ini mengambil masa kira-kira 30 minit dan sama seperti tatacara mengambil darah. Tatacara yang sama — aspirasi jarum halus — biasanya dilakukan untuk mengeluarkan cecair dari sista yang menyakitkan, tetapi ia boleh membantu membezakan antara sista dan ketulan pejal.

  • Biopsi jarum teras

Pakar radiologi atau pakar bedah menggunakan jarum berongga untuk mengeluarkan sampel tisu dari ketulan pada payudara. Sebanyak 15 sampel, setiap satu lebih kurang sebesar butir beras, dihantar kepada pakar patologi untuk dianalisis bagi sel malignan. Kebaikan biopsi jarum teras ialah ia dapat mengeluarkan lebih banyak tisu untuk analisis. Kadangkala pakar radiologi atau pakar bedah boleh menggunakan ultrabunyi untuk membantu usaha menempatkan jarum.

  • Pembedahan Biopsi

Ini tetap merupakan salah satu kaedah jitu untuk menentukan sama ada perubahan payudara disebabkan kanser. Semasa tatacara ini, pakar bedah anda mengeluarkan semua atau sebahagian ketulan payudara. Pada umumnya, ketulan kecil akan dibuang sepenuhnya (biopsi eksisi atau potongan). Jika ketulannya besar, hanya sampel sahaja yang akan diambil (biopsi insisi atau hirisan). Biopsi umumnya dilakukan sebagai kes pesakit luar di klinik atau hospital.

 


 

Kemaskini:: 15/03/2023 []

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
X, (09:35:54pm-09:40:54pm, 21 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]