Pengenalan
- Istilah leukemia merujuk kepada kanser sel darah putih.
- Ia adalah kanser yang paling biasa dilihat di kalangan kanak-kanak, merangkumi ~ 30% kanser kanak-kanak.
- Sumsum tulang bertanggungjawab untuk menghasilkan sel darah kita iaitu sel darah merah, sel darah putih dan platlet. Setiap jenis mempunyai fungsinya sendiri.
- Sel darah merah bertanggungjawab untuk membawa oksigen. Sel darah putih membantu untuk melawan jangkitan dan platlet membantu mengawal pendarahan.
- Dalam leukemia, sejumlah besar sel-sel darah putih yang tidak normal dihasilkan di dalam sum-sum tulang.
- Sel yang tidak normal dan tidak matang ini tidak dapat melaksanakan fungsi normal sel darah putih yang mengakibatkan penurunan keupayaan untuk melawan jangkitan.
- Sel ini hidup di dalam ruang sum-sum dan menghalang pengeluaran sel-sel darah merah dan platlet yang mencukupi. Akibatnya, kanak-kanak akan menjadi pucat, lemah dengan kurang selera makan dan mudah untuk berlaku pendarahan. Pendarahan boleh berlaku dalam kulit dalam bentuk petechiea atau bintik merah/ungu yang disebabkan oleh pendarahan dalam kulit. Pendarahan juga boleh berlaku dari gusi, hidung atau ke dalam saluran usus atau otak.
- Leukemia boleh menjadi akut (membiak dengan segera) dan kronik (membiak perlahan-lahan).
- Dalam kanak-kanak > 95% leukemia adalah akut.
- Leukemia akut juga dibahagikan kepada leukemia limfoblastik akut (acute lymphoblastic leukemia-ALL) yang merangkumi kira-kira 75-80% kes dan leukemia myelogenous akut (acute myelogenous leukemia-AML) yang dilihat kira-kira 20%.
Diagnosis Leukemia
- Pemeriksaan fizikal – Doktor akan memeriksa kanak-kanak untuk mencari tanda-tanda kepucatan, pendarahan dan sama ada terdapat sebarang pembesaran nodus limfa. Doktor juga akan memeriksa abdomen untuk melihat jika terdapat pembesaran hati atau limpa kerana ianya boleh menjadi besar dalam leukemia.
- Selepas pemeriksaan ini, ujian darah dilakukan.
- Bila leukemia disyaki, aspirasi sumsum tulang (mengambil sedikit sumsum tulang) dan biopsi sumsum tulang akan dilakukan. Dalam prosedur ini, sebatang jarum dimasukkan ke dalam tulang pinggul di belakang dan sampel sumsum disediakan dan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan.
- Doktor akan menjalankan tebukan lumbar. Ia melibatkan pengambilan sejumlah kecil bendalir serebrospina dari tulang belakang untuk menentukan jika leukemia telah merebak ke otak dan saraf tunjang.
Rawatan Leukemia
- Leukemia adalah penyakit sistemik. Tidak seperti tumor pepejal (solid), tidak terdapat tahap dalam leukemia.
- Rawatan melibatkan kemoterapi yang menggunakan ubat untuk membunuh sel malignan. Ia diberikan secara oral, intravena dan intramuscular. Umur kanak-kanak dan bilangan sel darah putih sewaktu diagnosis adalah merupakan beberapa faktor yang akan menentukan intensiti rawatan yang diperlukan.
- Di samping itu, kanak-kanak akan memerlukan rawatan intrathecal (dalam penyaluran ubat, di mana agen terapeutik disuntik ke dalam sarung di sekeliling saraf tunjang). Dalam prosedur ini, kemoterapi diserapkan secara langsung ke dalam bendalir serebrospina untuk mencegah leukemia daripada berulang kembali kepada sistem saraf.
- Dalam sesetengah kes radioterapi yang berisiko tinggi (penggunaan sinaran bertenaga tinggi) diberikan kepada otak sebagai tambahan kepada terapi intrathecal.
Kemaskini:: 18/12/2013 [ctfarhanah]
PERKONGSIAN MEDIA