Langkah Pencegahan Kanser Perut | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» Langkah Pencegahan Kanser Perut

Langkah Pencegahan Kanser Perut

Tiada cara mutlak yang dapat menghindarkan mana-mana individu daripada didiagnosis dengan masalah kanser perut.

Walau bagaimanapun, risikonya boleh dikurangkan melalui beberapa langkah pencegahan seperti berikut.

 

  1. Perubahan gaya hidup kepada yang lebih sihat

    • Mereka yang mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obes berisiko tinggi untuk mendapat kanser perut. Mengekalkan berat badan pada tahap yang sihat atau kekalkan berat badan unggul

    • Oleh yang demikian, kunci penyelesaian utama kepada masalah tersebut adalah pemakanan dan aktiviti fizikal.
      • Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran (tidak berjeruk) boleh menurunkan risiko kanser perut memandangkan ia mengandungi antioksidan yang tinggi.
      • Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi dengan garam .
      • Kurangkan pengambilan makanan yang terproses kerana bahan tambahan di dalam makanan tersebut selalunya boleh meningkatkan risiko kanser.

    • Selain daripada itu, alkohol juga perlu dielakkan berikutan ia berupaya untuk meningkatkan risiko kanser perut.

    • Aktiviti fizikal dan senaman perlu dilakukan secara berkala bagi memastikan kesihatan anda berada pada tahap yang optimum.

    • Saranan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah supaya setiap individu untuk melakukan aktiviti berintensiti sederhana sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.

    • Dapatkan rawatan doktor jika anda selalu menghadapi masalah gastrik

  2. Elakkan daripada merokok

    Merokok dan penggunaan produk tembakau bagi tujuan lain boleh meningkatkan risiko kanser perut.

    Tabiat ini merupakan punca kepada pelbagai jenis kanser di seluruh dunia.

    Jika anda memerlukan bantuan profesional untuk berhenti merokok, rujuk pusat kesihatan terdekat.

  3. Rawat jangkitan H pylori

    Walaupun pakar masih lagi tidak jelas berkenaan dengan peranan bakteria H pylori dalam barah perut, rawatan jangkitan tersebut boleh membantu menurunkan risiko.

    Oleh sebab jangkitan bakteria ini tidak menunjukkan manifestasi yang sama dengan jangkitan lain, terdapat beberapa cara doktor anda boleh membuat pengesahan.

    1. Ujian darah bagi mengesan antibodi yang dihasilkan khusus untuk membasmi bakteria H pylori. Antibodi tersebut boleh memberi isyarat bahawa anda masih lagi dijangkiti bakteria tersebut atau anda pernah dijangkiti namun sudah sembuh.

    2. Ujian hembus urea bagi mengesahkan kehadiran bakteria H pylori. Oleh sebab bakteria tersebut boleh menghasilkan enzim urease, ia boleh menukarkan urea kepada amonia dan karbon dioksida. Pil urea akan dilabel dengan isotop tertentu (Karbon-14 atau Karbon-13) dan kemudiannya akan diukur semasa pesakit menghembuskan nafas mereka. Jika terdapat bacaan isotop tersebut, keputusannya positif.

    3. Prosedur biopsi (pengambilan sampel tisu perut) menggunakan kaedah endoskopi. Tisu yang diambil akan dianalisis bagi melihat jika terdapat bakteria H pylori.

  4. Ujian genetik bagi individu berisiko

    Individu yang mempunyai sejarah kanser perut dalam keluarga atau pernah didiagnosis dengan sindrom kanser warisan (kanser usus, kanser payudara, sindrom Lynch) boleh membuat ujian genetik bagi mengetahui risiko barah perut.

    Sindrom kanser warisan adalah individu yang mewarisi mutasi genetik menyebabkan mereka berisiko tinggi untuk mendapat masalah kanser tertentu.

    Hanya segelintir dalam kalangan pesakit kanser perut mempunyai sejarah kanser perut atau sindrom kanser warisan.

    Namun, jika mereka berisiko dan diketahui lebih awal, maka langkah pencegahan boleh diambil sebelum keadaan kanser tersebut melarat.

Kemaskini:: 05/11/2021 []

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXEcLAy~