PENJAGAAN SUSULAN
Pesakit perlu menjalani pemeriksaan berkala selepas rawatan kanser tiroid. Walaupun rawatan telah tamat, penyakit tersebut kadangkala mungkin berulang kerana sel kanser kekal di sesuatu tempat di dalam tubuh.
TERAPI HORMON TIROID
Terapi hormon adalah rawatan kanser yang menyingkirkan hormon ataupun menghalang tindakannya dan menghentikan pertumbuhan sel kanser. Selepas pembedahan kanser tiroid, ubat gantian hormon tiroid perlu diambil. Pil hormon tiroid mempunyai dua faedah:
- Kaedah ini membekalkan hormon yang telah lenyap, yang lazimnya dihasilkan oleh kelenjar tiroid anda.
- Kaedah ini menghindarkan tubuh daripada menghasilkan hormon perangsang tiroid (TSH), suatu hormon yang meningkatkan kemungkinan kanser tiroid akan tumbuh atau berulang.
Pil hormon tiroid jarang mengakibatkan kesan sampingan seperti:
- Terlalu banyak hormon tiroid mungkin mengakibatkan berat tubuh anda berkurangan dan tubuh berasa panas melekit. Ia mungkin juga mengakibatkan degupan jantung yang laju, sakit dada, kekejangan dan cirit-birit.
- Terlalu sedikit hormon tiroid mungkin mengakibatkan berat tubuh meningkat, tubuh berasa sejuk dan letih, dan kulit serta rambut menjadi kering.
- Jika anda mengalami kesan sampingan, doktor anda boleh mengubah suai dos hormon tiroid anda. Doktor anda perlu melakukan ujian darah untuk memastikan anda mendapat dos hormon tiroid yang sesuai.
PEMERIKSAAN
Pemeriksaan antaranya mungkin termasuk salah satu ujian pengimejan berikut, atau lebih:
- Ultrabunyi
- Imbasan Seluruh Tubuh: Untuk bersedia bagi pemeriksaan ini, anda sama ada (i) berhenti mengambil pil hormon tiroid selama beberapa minggu, atau (ii) mendapatkan suntikan TSH. Kebanyakan individu perlu mengelakkan makan kerang-kerangan (iaitu kerang, lala dan lain-lain) dan garam beriodin selama seminggu atau dua minggu sebelum imbasan.
- Imbasan PET
- Imbasan CT
UJIAN DARAH
Suatu ujian yang penting selepas rawatan kanser tiroid ialah ukuran aras THS dan tiroglobulin di dalam darah. Hormon tiroid biasanya disimpan di dalam kelenjar tiroid sebagai tiroglobulin. Jika seluruh kelenjar tiroid telah dibuang, maka seharusnya sangat sedikit atau tiada langsung tiroglobulin yang terdapat di dalam darah. Aras tiroglobulin yang tinggi mungkin bermakna bahawa sel kanser tiroid telah muncul semula. Untuk bersedia bagi ujian ini, anda perlu:
- Berhenti mengambil pil hormon tiroid selama beberapa minggu (lazimnya 6 minggu). Untuk sebahagian waktu ini, sesetengah pesakit mungkin mengambil pil hormon tiroid lain yang kesannya lebih singkat. Walau bagaimanapun, semua pesakit mesti berhenti mengambil sebarang pil hormon tiroid selama dua minggu terakhir sebelum ujian. (Tanpa aras hormon tiroid yang mencukupi, anda akan berasa tidak selesa, berat tubuh akan meningkat, dan anda akan berasa letih lesu).
atau
- Mendapatkan suntikan TSH. TSH menyebabkan pembebasan tiroglobulin jika sel kanser tiroid masih kekal di dalam tubuh selepas rawatan. Individu yang mendapat suntikan ini tidak perlu berhenti mengambil pil hormon tiroid.
BERHUBUNG DENGAN BEKAS PESAKIT KANSER TIROID
- Mereka mungkin mendapat ketenangan apabila berbicara dengan orang lain yang mengalami situasi yang sama.
KAWAL APA YANG BOLEH, BERKAITAN DENGAN KESIHATAN ANDA
- Makan diet yang sihat, yang kaya dengan pelbagai jenis buah dan sayur, tidur secukupnya setiap malam, dan cuba lakukan kegiatan jasmani beberapa hari dalam seminggu.
Kemaskini:: 18/03/2019 []
PERKONGSIAN MEDIA