RAWATAN SELEPAS PEMBEDAHAN
Selepas pembedahan, doktor akan memaklumkan peringkat penyakit anda berdasarkan laporan patologi. Jika doktor berpendapat bahawa kemoterapi atau radioterapi akan memberi manfaat kepada anda, beliau akan merujuk anda kepada pakar onkologi. Sesetengah pesakit atau ahli keluarga dan rakan-rakan mereka mempunyai anggapan tidak baik terhadap kesan sampingan kemoterapi dan terus menolak cadangan kemoterapi tanpa rundingan dengan ahli onkologi. Berjumpa dengan ahli onkologi tidak bermakna anda wajib menjalani kemoterapi atau radioterapi. Adalah lebih baik jika anda berunding dengan pakar onkologi untuk mengetahui manfaat serta kesan sampingan yang mungkin tentang rawatan ini sebelum anda membuat keputusan. Ahli onkologi juga tidak akan mencadangkan sebarang bentuk rawatan sekiranya pada pendapat mereka, pesakit kurang sesuai untuk rawatan tersebut.
PENJAGAAN SUSULAN SELEPAS PEMBEDAHAN
Selepas pembedahan atau kemoterapi/radioterapi, temujanji susulan dengan doktor adalah penting kerana jika tumor berulang atau adanya kanser baru terjadi, ia dapat dikesan dengan awal dan rawatan yang bersesuaian dapat diberi. Pemeriksaan susulan termasuklah pemeriksaan fizikal, ujian darah untuk petanda tumor, kolonoskopi atau pengimejan (imbasan CT atau imbasan PET). Kekerapan temujanji susulan akan semakin berkurang sekiranya tiada tanda-tanda kanser berulang. Walaubagaimanapun pesakit haruslah melaporkan kepada doktor secepat mungkin sekiranya terdapat gejala baru.
MENDAPATKAN SOKONGAN
Setelah mendapat kanser, anda mungkin berasa takut, sedih, murung, marah atau kecewa. Oleh itu anda dinasihatkan supaya meluahkan perasaan kepada pasangan anda, ahli keluarga, penghidap kanser lain, kawan-kawan, ataupun dengan kaunselor hospital, pekerja sosial, pakar psikologi dan penasihat agama atau kerohanian. Kadangkala anda akan mendapati bahawa mereka berasa serba salah apabila diberitahu tentang keadaan anda. Anda boleh juga meminta ahli keluarga terdekat ataupun kawan untuk bercakap dengan orang lain tentang penyakit kanser bagi pihak anda.
DIET
Pemakanan yang seimbang adalah penting sebelum dan selepas anda memulakan rawatan kanser. Nutrisi yang baik akan memastikan anda sihat dan berupaya untuk menghadapi pembedahan dan kesan sampingan selepas radioterapi dan kemoterapi. Terdapat beberapa mitos yang mengatakan semakin banyak yang dimakan, semakin banyak nutrient yang akan dibekalkan kepada sel kanser. Ini adalah tidak benar.
KUMPULAN SOKONGAN KANSER
Kumpulan sokongan kanser bersedia memberikan sokongan dan maklumat kepada pesakit kanser dan keluarganya. Anda mungkin berasa lebih lega setelah bercakap dengan pesakit kanser yang lain. Kumpulan sokongan juga bersedia memberikan cadangan dan cara praktikal untuk meneruskan kehidupan setelah menghidapi kanser.
Kumpulan sokongan di Malaysia adalah seperti yang disenaraikan di bawah. Sila hubungi mereka untuk pertanyaan lanjut.
PENCEGAHAN
Selain daripada mengekalkan diet dan gaya hidup sihat, kesedaran umum mengenai saringan kanser kolorektum adalah sangat penting. Kaedah saringan termasuklah ujian darah najis (stool occult blood) dan kolonoskopi. Dengan mengesan kanser atau polip pra-kanser lebih awal, ia akan membawa kepada rawatan awal dan pesakit mempunyai peluang yang lebih baik untuk sembuh sepenuhnya.
Kemaskini:: 13/03/2019 []

Blok Utara, Pusat Pengajaran dan Latihan (Aras 1)
Hospital Sultan Abdul Aziz Shah
Persiaran Mardi - Upm,
43400 Serdang,
Selangor