Genetik
Sejarah keluarga telah lama diketahui sebagai faktor risiko kanser payudara. Saudara sebelah ibu dan bapa kedua-duanya adalah penting. Risikonya paling tinggi jika saudara berkenaan menghidap kanser pada usia muda, menghidap kanser pada kedua-dua payudaranya, atau jika dia saudara dekat. Saudara tingkat pertama (ibu, adik-beradik perempuan, anak perempuan) ialah yang paling penting dalam menganggarkan risiko. Saudara tingkat kedua (nenek, emak saudara) yang menghidap kanser payudara boleh juga meningkatkan risiko. Kanser payudara pada orang lelaki meningkatkan risiko semua saudara perempuannya yang dekat.
Hormon
Pengaruh hormon memainkan peranan dalam perkembangan kanser payudara. Wanita yang mula datang haid pada usia muda (11 tahun ke bawah) atau mengalami menopaus lewat (55 tahun ke atas) mempunyai risiko yang tinggi sedikit untuk menghidap kanser payudara. Sebaliknya jika dia mulai datang haid pada usia yang lebih tua atau mengalami menopaus/putus haid awal, hal ini boleh melindunginya daripada diserang kanser payudara. Mempunyai anak sebelum umur 30 tahun boleh melindunginya dan tidak mempunyai anak boleh meningkatkan risiko mendapat kanser payudara.
Gaya Hidup & Diet
Kanser payudara nampaknya berlaku lebih kerap di negara-negara yang tinggi pengambilan lemak dalam diet penduduknya, dan berlebihan berat badan atau obes adalah faktor risiko yang diketahui bagi kanser payudara, terutamanya di kalangan wanita selepas menopaus. Kaitan ini dikatakan dipengaruhi oleh persekitaran dan bukannya genetik. Misalnya, wanita Jepun yang berisiko rendah untuk menghidap kanser payudara di Jepun, meningkatkan risiko mereka untuk menghidap kanser payudara setelah datang ke Amerika Syarikat.
Penggunaan minuman beralkohol juga adalah faktor risiko yang diketahui menyebabkan kanser payudara. Risiko ini meningkat dengan bertambahnya alkohol yang diminum. Kajian juga menunjukkan bahawa senaman tetap sebenarnya boleh mengurangkan risiko wanita untuk menghidap kanser payudara.
Kajian belum lagi menetapkan secara pasti setakat mana aktiviti diperlukan untuk mengurangkan risiko kanser secara berkesan. Kajian daripada Women Health Initiative (WHI) menunjukkan bahawa senaman berjalan pantas sekurang-kurangnya selama satu suku hingga dua jam setengah mengurangkan risiko kanser payudara di kalangan wanita sebanyak 18%.
Persekitaran
Rawatan radiasi meningkatkan kemungkinan menghidap kanser payudara tetapi hanya selepas lama tertangguh. Misalnya, wanita yang menerima terapi radiasi pada bahagian atas tubuh untuk penyakit Hodgkin sebelum berusia 30 tahun, mempunyai kadar kanser payudara yang lebih tinggi berbanding dengan penduduk umum.
Kemaskini:: [fahmi_mukhid] Kemaskini:: 13/03/2019 []

Blok Utara, Pusat Pengajaran dan Latihan (Aras 1)
Hospital Sultan Abdul Aziz Shah
Persiaran Mardi - Upm,
43400 Serdang,
Selangor