Apakah Itu Leukemia? | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» Apakah itu leukemia?

Apakah itu leukemia?

Leukemia adalah barah sel darah putih dan ia boleh dikategorikan sebagai lebihan sel darah putih di dalam sum-sum tulang. Sum-sum tulang merupakan satu organ penghasilan darah yang terdapat di dalam kesemua tulang dalam tubuh badan manusia. Sel darah putih dihasilkan secara semula jadi. Bagi pesakit Leukemia, proses pengeluaran sel-sel darah putih terganggu. Sel-sel tidak matang dan terus membahagi dan membiak. Ia adalah sebahagian daripada kumpulan penyakit yang dikenali sebagai neoplasma hematologi atau ”Hematological Neoplasm”.

Perkataan Leukemia bererti darah putih Ianya diambil sempena nama penyakit iaitujumlah sel darah putih yang tinggi yang terdapat  pada pesakit. Kebanyakan pesakit Leukemia mempunyai bilangan sel darah putih yang tinggi sebelum mendapat rawatan. Sel darah putih yang tinggi dapat dilihat melalui mikroskop daripada ujian darah yang dijalankan. Walau bagaimanapun sel-sel darah ini tidak normal dan tidak dapat berfungsi untuk mengawal jangkitan dalam badan. Kehadiran sel sel darah putih yang tinggi akan mengganggu keupayaan sum-sum mengeluarkan sel-sel darah yang lain seperti sel darah merah dan platelet.

Sel-sel leukemia merupakan sel kanser yang luar biasa dan berupaya membiak dengan cepat serta hidup lebih lama bebanding sel-sel darah yang normal. Oleh sebab itu, sel-sel leukemia mampu menghapuskan fungsi sum-sum tulang dan menghalang penghasilan sel-sel darah yang normal.

Terdapat pelbagai jenis leukemia dan adalah penting untuk mengenalpasti jenis leukemia yang dihadapi. Ini adalah disebabkan rawatan dan peluang sembuh untuk leukemia yang berlainan adalah berbeza.

Terdapat 2 jenis leukemia yang utama iaitu “Acute Leukaemia” atau “Chronic Leukaemia”. Perbezaaan utama diantara kedua-dua jenis leukemia ini adalah kematangan dan kepantasan sel-sel kanser itu membiak.

“Acute Leukaemia” adalah sel kanser yang kurang matang dan membiak dengan pantas berbanding “Chronic Leukaemia” yang terdiri daripada sel kanser yang matang dan membiak dengan perlahan.

Setiap jenis leukemia ini pula dibahagikan kepada dua bentuk utama bergantung kepada sel darah asal dimana leukemia ini mula terjadi iaitu dari jenis “myeloid” atau “lymphoid”.

Dengan ini terdapat 4 kumpulan penyakit leukemia yang utama iaitu;

  • Acute Lymphoblastic Leukaemia (ALL)
  • Chronic Lymphocytic Leukaemia (CLL)
  • Acute Myeloid Leukaemia (AML)
  • Chronic Myeloid Leukaemia (CML)

 

SUMBER

http://www.myhealth.gov.my/leukemia/

Kemaskini:: 13/09/2021 []

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXDcTA3~