UCAPKAN SELAMAT TINGGAL KEPADA KANSER SERVIKS BOLEH DICAPAI…. | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » UCAPKAN SELAMAT TINGGAL KEPADA KANSER SERVIKS BOLEH DICAPAI….

UCAPKAN SELAMAT TINGGAL KEPADA KANSER SERVIKS BOLEH DICAPAI….

Kanser serviks atau kanser pangkal rahim merupakan antara penyakit kanser yang mencatatkan kadar kematian tinggi dalam kalangan wanita. Di Malaysia sahaja, kanser ini menjadi kanser ketiga paling tinggi dialami oleh wanita, selain kanser payudara dan usus besar. Kanser serviks adalah kanser yang boleh disaring dengan menggunakan kaedah saringan yang mudah dan ia dapat mengurangkan kadar kematian dalam kalangan wanita.

Kaedah saringan kanser itu adalah mudah, murah, selamat, berkesan dan menjimatkan kos jika dapat mencegah dari awal malah pesakit tidak perlu menggunakan duit yang banyak untuk rawatan.

Tetapi malangnya di Malaysia tahap untuk saringan ini masih rendah. Untuk 100 wanita, mungkin 40 orang sahaja yang buat saringan. Kita target at least 80 peratus dalam kalangan wanita yang layak disaring membuat pap smear kerana ia dapat mengurangkan risiko kanser serviks dan mengurangkan kadar kematian.

 

Berdasarkan data 2018 daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat kira-kira 570,000 kes baharu melibatkan kanser pangkal rahim di seluruh dunia. Lebih malang lagi, WHO mendapati kanser ini menunjukkan jumlah kematian tinggi khususnya di negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMICS).

Hujah daripada pakar dan pihak WHO mengatakan, dalam tempoh 100 tahun akan datang, kita berkemungkinan akan dapat membasmi terus kanser. Kenyataan ini disokong dengan dua kajian yang diterbitkan dalam The Lancet.

Kedua-dua kajian merupakan gabungan kerjasama antara penyelidik dengan  The WHO Cervical Cancer Elimination Modelling Consortium, organisasi yang menggariskan panduan bagi pencegahan kanser serviks untuk negara berbeza.

Kajian diketuai bersama oleh seorang profesor perubatan dari Fakulti Perubatan Université Laval di Québec, Kanada, Profesor Marc Brisson.

 

Vaksinasi dan saringan kanser serviks

 

Kajian pertama melibatkan suntikan vaksin human papillomavirus (HPV). Saintis meramalkan jika seorang kanak-kanak perempuan dari negara berpendapatan rendah dan sederhana diberikan vaksin HPV, ia mungkin membawa kepada pengurangan kadar kes kanser sehingga 89.4% pada abad akan datang.

Menerusi penyelidikan pertama yang dilakukan, Prof. Brisson dan saintis lain berpendapat, dengan suntikan vaksin yang secukupnya, kira-kira 61 juta kes kanser pangkal rahim dapat dielakkan sehingga tahun 2120 bagi negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Selain itu, melakukan saringan sekurang-kurangnya 2 kali seumur hidup, juga dapat membantu mengurangkan risiko sebanyak 96.7% dan mengelakkan hampir 2.1 juta kes baru.

Pasukan penyelidikan juga meramalkan bahawa negara yang berjaya melaksanakan dasar suntikan vaksinasi HPV, mungkin dapat menghapuskan masalah kanser pangkal rahim sepenuhnya antara tahun 2055-2102.

“Berdasarkan kajian, untuk menyingkirkan kanser pangkal rahim memerlukan usaha yang tinggi dalam mencapai liputan vaksinasi dan pemeriksaan. Kaedah ini amat penting untuk dilakukan bagi negara-negara yang mencatatkan kadar kes yang banyak,” Prof. Marc Brisson.

Untuk pengetahuan, HPV merupakan satu virus yang tersebar meluas dan menjangkiti individu yang aktif dalam hubungan seks bebas. Biasanya jangkitan HPV tidak menampakkan sebarang simptom.

Namun bagi kes yang kronik, jangkitan HPV mungkin akan menyebabkan munculnya ketuat pada kelamin dan kanser. Ia adalah antara faktor risiko utama penyumbang kepada kanser pangkal rahim.

Suntikan vaksin mungkin dapat mencegah sebarang kemungkinan daripada berlaku. Institut Kanser Kebangsaan (NCI) menyarankan agar kanak-kanak berusia 11-12 tahun untuk mendapatkan vaksin HPV.

NCI juga menyatakan suntikan vaksin boleh diberikan seawal usia 9 tahun. Malahan suntikan HPV juga boleh diberikan kepada individu sehingga usia 45 tahun.

Dalam tempoh 100 tahun dari sekarang, penyelidik menyatakan bahawa suntikan vaksin HPV adalah cara paling sesuai untuk menurunkan kadar kematian akibat kanser pangkal rahim sehingga 89.5%. Ia sekaligus dapat mencegah 45.8 juta kematian berkaitan kanser ini.

 

Komitmen antarabangsa

Pada kajian kedua yang dijalankan, para penyelidik konsortium WHO menganggarkan negara dengan pendapatan rendah dan sederhana, akan berdepan kadar kematian pada 13.2 bagi setiap 100,000 wanita pada tahun 2020.

Namun, keadaan boleh menjadi berbeza sekiranya polisi dasar saringan 2 kali seumur hidup dilaksanakan serta rawatan yang bersesuaian diberikan. Keadaan ini dapat menurunkan kadar kematian sebanyak 34.2% menjelang 2030.

Ia sekali gus dapat mengelakkan sebanyak 400,000 kematian berkaitan kanser pangkal rahim dalam tempoh 10 tahun. Malahan berdasarkan pemerhatian, jika setiap individu melakukan saringan sekali seumur hidup juga, ini dapat memberikan hasil yang sama.

Prof. Brisson dan pasukannya juga meramalkan penurunan kadar kematian sebanyak 61.7% menjelang tahun 2070 akan dapat dicapai jika berlaku peningkatan kadar vaksin. Kaedah saringan dan rawatan yang lebih baik juga dipercayai mampu mengurangkan kadar kematian sehingga 88.9%.

 

 

Dua ujian saringan ini boleh membantu mencegah kanser serviks atau mengesannya lebih awal.
Lakukan saringan awal untuk mengesan kanser serviks seperti ujian Pap Smear atau ujian HPV.

Amalan saringan dan rawatan kanser yang baik juga boleh membawa kepada kadar mortaliti lebih rendah sehingga 97.9% menjelang 2120. Saringan yang dilakukan sekali seumur hidup juga dapat menghalang 60.8 juta kematian berkaitan penyakit kanser.

Kedua-dua hasil kajian akan dijadikan sebagai garis panduan pencegahan WHO dan dibentangkan dalam Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-73 yang akan berlangsung di Geneva, Switzerland pada Mei 2020.

“Sekiranya garis panduan itu diterima pakai dan digunakan oleh negara anggota, kanser serviks boleh dihapuskan di negara berpendapatan tinggi pada 2040 dan menjelang abad akan datang bagi seluruh dunia. Ia pastinya menjadi satu kemenangan luar biasa bagi kesihatan wanita,” – Prof. Brisson.

Tetapi peningkatan pencegahan dan rawatan hanya akan berjaya dicapai melalui komitmen besar daripada aspek kewangan dan politik antarabangsa.

Kesimpulan

Sekiranya hasil kajian dapat direalisasikan menerusi garis panduan WHO, sudah pasti satu perkhabaran yang baik bagi wanita daripada aspek kesihatan dan harus mendapat sokongan pelbagai pihak.

Namun dalam masa yang sama, setiap individu harus mempunyai kesedaran dalam menghindari jangkitan HPV. Ini boleh dilakukan dengan mengelakkan sebarang amalan berkaitan aktiviti seks bebas dalam kehidupan seharian.

 

Disediakan oleh: Puan Shafikah binti Rahim (Pegawai Jururawat)

Sumber:

https://hellodoktor.com/kanser/kanser-serviks/kanser-pangkal-rahim/

https://sekolahseni.blogspot.com/2011/02/suntikan-imunisasi-hpv.html

https://www.ukm.my/news/Latest_News/kanser-pangkal-rahim-boleh-dirawat/

https://nci.moh.gov.my/index.php/ms/

Tarikh Input: 22/01/2024 | Kemaskini: 23/01/2024 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXEcWAX~