
Bulan Ogos bulan kemerdekaan untuk Negara Malaysia. Bulan kemerdekaan ini mengingatkan kita akan perjuangan nenek moyang kita dalam membebaskan tanah air daripada penjajahan kuasa asing. Namun dalam dunia moden hari ini, perjuangan itu masih diteruskan. Tapi bukan lagi melawan kuasa asing, ia melawan cabaran kehidupan masa kini termasuklah cabaran kesihatan dalam erti kata lain melawan penyakit.
Antara cabaran kesihatan dalam melawan penyakit yang dihadapi rakyat Malaysia hari ini adalah penyakit kanser. Penyakit kanser merupakan salah satu punca kematian terbesar di Malaysia dengan hampir 40 000 kes baru setiap tahun. Berdasarkan catatan dari Data Registri Kanser Kebangsaan 2011, 1 daripada 4 rakyat Malaysia berisiko untuk menghidap penyakit kanser. Bagi pesakit kanser, kemerdekaan bukan sekadar kebebasan negara, tetapi juga kebebasan daripada rasa sakit yang dihadapi, beban kewangan yang ditanggung, dan ketakutan kehilangan nyawa.
Penyakit kanser, boleh diibaratkan penjajah suatu masa dahulu yang menyerang secara senyap, merampas hak pesakit untuk hidup normal. Para pesakit terpaksa melalui rawatan yang menyakitkan, kehilangan pekerjaan dan pendapatan, membiayai kos rawatan yang sangat tinggi dan perubahan fizikal serta emosi.
Antara rawatan yang sering dilakukan oleh pesakit kanser adalah seperti pembedahan, kemoterapi dan radioterapi. Rawatan kemoterapi bermaksud rawatan yang menggunakan ubat-ubatan anti kanser dalam merawat kanser. Lazimnya kemoterapi diberikan menerusi suntikan melalui pembuluh darah iaitu secara intravenous. Kemoterapi akan diberi sama ada setiap hari, seminggu sekali atau sebulan sekali. Antara kesan sampingan rawatan kemoterapi adalah luka mulut, sakit perut, keguguran rambut atau ruam pada kulit. Manakala rawatan radioterapi pula menggunakan alat khas untuk menyalurkan sinaran yang banyak kepada sel kanser, lalu membunuh atau merosakkannya. Radioterapi sering dilakukan dalam beberapa sesi, boleh jadi 10-30 sesi atau lebih. Antara perbezaan kemoterapi dan radioterapi adalah, kemoterapi akan mendedahkan seluruh tubuh kepada bahan kimia yang melawan kanser, radioterapi pula hanya menjejaskan sel kanser dan kawasan sekelilingnya sahaja.
Rawatan-rawatan ini memerlukan kos yang tinggi untuk membiayainya. Bahkan bukan kos rawatan ini saja yang menghimpit pesakit dan ahli keluarga. Tetapi kos-kos lain seperti kos pengangkutan untuk berulang alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan, kos makanan, kos penjagaan di rumah, kos rawatan sampingan dan kos rawatan pemulihan (fisioterapi, kaunseling dan sebagainya).
Oleh itu, sempena bulan kemerdekaan ini, marilah kita sama-sama hayati erti perjuangan kemerdekaan dengan lebih luas. Marilah kita:
Kerana dalam Malaysia yang merdeka, tiada siapa harus berjuang bersendirian.
Disediakan oleh: Puan Nor Farhana binti Zakariya (Jururawat, HSAAS)
Sumber:
https://hellodoktor.com/kanser/penyakit-kanser/
https://hellodoktor.com/kanser/kesan-kesihatan-selepas-rawatan-kanser/
https://medmalay.com/kemoterapi-apa-itu-jenis-punca
https://www.pantai.com.my/ms/medical-specialties/oncology/radiotherapy-side-effects
Tarikh Input: 05/08/2025 | Kemaskini: 05/08/2025 | aimerul

Blok Utara, Pusat Pengajaran dan Latihan (Aras 1)
Hospital Sultan Abdul Aziz Shah
Persiaran Mardi - Upm,
43400 Serdang,
Selangor