PATUTKAH SAYA MENJALANI UJIAN SARINGAN UNTUK KANSER PROSTAT? | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » PATUTKAH SAYA MENJALANI UJIAN SARINGAN UNTUK KANSER PROSTAT?

PATUTKAH SAYA MENJALANI UJIAN SARINGAN UNTUK KANSER PROSTAT?

Kaji selidik menunjukkan kanser prostat adalah kanser ketiga tertinggi di Malaysia. Adakah kes kanser prostat semakin meningkat? 

Kanser prostat sememangnya semakin meningkat di Malaysia. MenurutData Pendaftaran Kanser untuk tahun 2007-2011 menunjukkan kanser prostat menyumbangkan kurang daripada 3.3% jumlah kes kanser.

Manakala data pendaftaran dari 2012–2016-pula menunjukkan kanser prostat menyumbangkan 3.6% jumlah kanser yang dilaporkan dalam tempoh tersebut. Ia merupakan kanser tertujuh tertinggi di Malaysia dan kanser ketiga tertinggi di kalangan lelaki selepas kanser kolorektal dan paru-paru.

Terdapat beberapa faktor risiko menyebabkan kanser prostat. Ia termasuklah peningkatan umur, sejarah keluarga yang menghidap kanser prostat terutamanya jika beberapa ahli keluarga telah atau pernah menghidapinya.

Corak pemakanan mengikut Barat dan obesiti juga menyumbang kepada peningkatan risiko walaupun mekanismenya tidak diketahui sepenuhnya.

Kanser prostat di kalangan mereka yang obes mungkin merupakan varian yang lebih agresif. Di Malaysia kanser prostat lebih biasa didapati dikalangan orang Cina diikuti oleh orang India dan orang Melayu. 

Ujian saringan adalah bertujuan untuk mengesan kanser sebelum seseorang pesakit menunjukkan gejala dan tanda awal. Kebanyakan kanser prostat membesar secara perlahan dan mungkin tidak memerlukan rawatan. Namun, sesetengah kanser prostat boleh membesar secara pantas dan merebak ke bahagian badan yang lain. Justeru itu, pengesanan awal adalah penting untuk jenis kanser prostat yang agresif bagi meningkatkan peluang penyembuhan.

Sasaran utama ujian saringan kanser prostat adalah untuk mengesan kanser prostat di kalangan lelaki yang berisiko tinggi dan memberi rawatan pada peringkat awal. Terdapat dua jenis strategi saringan yang kerap digunakan untuk kanser prostat iaitu:

  • Pemeriksaan prostat melalui rektum menggunakan jari (DRE) – Doktor akan memakai sarung tangan getah dan memasukkan jari ke dalam dubur untuk merasa permukaan kelenjar prostat. Kaedah pemeriksaan ini biasanya diikuti dengan ujian darah prostat specific antigen (PSA).

  • Ujian darah Prostate Specific Antigen (PSA) – Ujian ini adalah untuk mengesan paras PSA (sejenis protin yang dihasilkan oleh kelenjar prostat) dalam darah. Ujian PSA adalah amat berguna dalam pengesanan awal kanser prostat terutamanya dalam`golongan yang berisiko tinggi. Tetapi, ujian ini juga dapat mengesan masalah prostat yang bukan kanser termasuklah BPH dan prostatitis.

Kedua-dua ujian saringan kanser prostat ini mungkin memberikan keputusan ‘false negative’ atau menyebabkan pesakit dirawat tanpa keperluan. Oleh itu, adalah wajar untuk berbincang terlebih dahulu dengan doktor bagi menilai risiko anda sebelum membuat sebarang keputusan untuk menjalani ujian saringan ini.

Terdapat dua cadangan dari pertubuhan-pertubuhan antarabangsa tentang ujian saringan kanser prostat:

  • ‘U.S. Preventive Services Task Force’ (USPSTF) mencadangkan bahawa golongan lelaki yang berumur 55 hingga 69 tahun wajar berbincang dengan doktor tentang kebaikan and kelemahan ujian saringan kanser prostat melalui ujian darah PSA sebelum membuat sebarang keputusan. Golongan lelaki yang berumur 70 tahun dan ke atas tidak digalakkan untuk membuat ujian saringan kanser prostat secara tahunan.
  • ‘National Comprehensive Cancer Network’ (NCCN) mencadangkan bahawa keputusan menjalani ujian saringan kanser prostat hendaklah berdasarkan faktor-faktor seperti umur pesakit, paras PSA dalam darah dan keputusan pemeriksaan prostat melalui rektum menggunakan jari (DRE).

Sekiranya anda berhasrat untuk menjalani ujian saringan ini, anda dinasihatkan sentiasa berbincang dengan doktor anda. Soalan-soalan yang harus dipertimbangkankan termasuk:

  • Adakah anda mempunyai sejarah keluarga kanser prostat?
  • Adakah anda mempunyai sebarang comorbids yang mungkin menyebabkan anda tidak dapat menjalani rawatan kanser prostat sekiranya didapati positif melalui ujian saringan?
  • Bagaimanakah anda menilai kebaikan dan kelemahan saringan, pengesahan dan rawatan kanser prostat?

Umumnya, terdapat kekurangan kesedaran tentang kanser prostat diseluruh dunia. Saya tidak tahu jika terdapat sebarang tinjauan di kalangan lelaki Malaysia yang menilai kesedaran mereka untuk menjalani saringan kanser prostat secara khusus. Secara amnya individu yang mempunyai LUTS harus menjalani PSA kemudiannya DRE, sebaik-baiknya dilakukan dalam urutan itu. Jika mendapat keputusan yang abnormal, mereka harus dirujuk kepada pakar urologi untuk penilaian lanjut dan pengesahan kanser prostat.

 

Disediakan oleh: Puan Shafikah binti Rahim (Pegawai Jururawat)

Sumber:

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/prostate-cancer/multimedia/digital-rectal-exam/img-20006434

https://subangjayamedicalcentre.com/blog-content/saringan-awal-mampu-cegah-kanser-prostat-pakar-perunding-onkologi-sjmc

https://www.beatprostatecancer.my/ms/patutkah-saya-menjalani-ujian-saringan-untuk-kanser-prostat/

Tarikh Input: 26/09/2023 | Kemaskini: 26/09/2023 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXEcWAv~