Hari Tibi Sedunia 2023 | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » Hari Tibi Sedunia 2023

Hari Tibi Sedunia 2023

Hari Tibi Sedunia disambut di seluruh dunia pada 24 Mac setiap tahun bagi memperingati sejarah penemuan bakteria Mycobacterium tuberculosis oleh Dr. Robert Koch pada 24 Mac 1882. Tujuan sambutan ini dilakukan adalah untuk meningkatkan kesedaran, komitmen serta sokongan terhadap usaha-usaha pencegahan dan kawalan penyakit Tibi yang dilakukan di seluruh negara.

Tema bagi sambutan Hari Tibi Sedunia tahun 2023 adalah tema 'Ya! Kita boleh tamatkan TB!', ia bertujuan untuk memberi inspirasi dan menggalakkan kepimpinan peringkat tertinggi, peningkatan pelaburan, mengambil cadangan WHO yang baharu lebih pantas, penerimaan inovasi, mempercepatkan tindakan, dan Kerjasama daripada pelbagai sektor untuk memerangi wabak TB. Pelaburan bagi pencegahan, kawalan dan rawatan jangkitan latent TB, active TB dan drug resistant TB perlulah diberi keutamaan bagi memastikan Malaysia mencapai sasaran WHO End TB Strategy iaitu menamatkan epidemik Tibi menjelang tahun 2035. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menganggarkan sejumlah 10.6 juta kes Tibi di seluruh dunia dengan jumlah kematian sebanyak 1.6 juta pada tahun 2021 dan 74 juta nyawa diselamatkan sejak tahun 2000 oleh usaha global untuk menamatkan TB. Manakala jumlah kes Tibi yang dilaporkan di Malaysia pada tahun 2021 adalah 21,727 kes (kadar insiden 63.5 setiap 100,000 penduduk) iaitu penurunan sebanyak 1,917 kes (8.1%) berbanding 23, 644 kes (kadar insiden 72.4 setiap 100,000 penduduk) pada tahun 2020. Jumlah kematian Tibi adalah 2,288, menurun sebanyak 32 kematian (1.4%) pada tahun 2021 berbanding tahun 2020 dengan kadar kematian 6.6 setiap 100,000 penduduk. 

Penyakit Tibi adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis dan merebak melalui udara. Tanda-tanda penyakit Tibi adalah batuk yang berpanjangan iaitu melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah. Individu yang mempunyai gejala perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan awal di klinik-klinik kesihatan dan hospital yang berhampiran. 

Rawatan bagi penyakit Tibi adalah gabungan empat (4) jenis anti-TB iaitu Ethambutol, Isoniazid, Rifampicin dan Pyrazinamide (EHRZ) pada fasa intensif selama dua bulan dan kemudian diikuti dua (2) jenis antibiotik iaitu Isoniazid dan Rifampicin (HR) pada fasa sambungan selama empat bulan. Pesakit Tibi boleh sembuh jika mematuhi jadual rawatan yang telah ditetapkan. Sebaliknya pesakit yang tidak mematuhi rawatan yang ditetapkan mempunyai risiko mendapat semula jangkitan Tibi dan drug resistant TB iaitu kerintangan terhadap antibiotik anti-Tibi. Aspek pematuhan kepada rawatan adalah amat penting bagi memastikan pesakit Tibi sembuh sepenuhnya. 

Sokongan ahli keluarga, rakan sekerja, majikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) kepada pesakit Tibi juga amat penting bagi memastikan pesakit berjaya sembuh rawatan. Salah faham berkaitan penyakit Tibi dan stigma terhadap pesakit Tibi perlu dihentikan.

Disediakan oleh: Pn. Shafikah binti Rahim
Sumber:

https://www.who.int/campaigns/world-tb-day/2023

https://www.infosihat.gov.my/component/zoo/item/cegah-tibi-tb-dapatkan-imunisasi-bacille-calmette-guerin-bcg.html

https://www.infosihat.gov.my/penerbitan-multimedia/infografik/item/24-mac-hari-tibi-sedunia.html

https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2022/10/1017511/kes-tibi-meningkat-kali-pertama-sejak-lebih-20-tahun-who

Tarikh Input: 15/03/2023 | Kemaskini: 10/08/2023 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXEaUAP~