Generasi Penamat Rokok Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » Generasi Penamat Rokok sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia

Generasi Penamat Rokok sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia

WHO telah menetapkan tarikh Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada 31 Mei setiap tahun dengan tema Utamakan Makanan Bukan Rokok Demi Kesihatan pada tahun ini. Perlaksanaan Hari Tanpa Tembakau adalah bagi menyahut strategi empower yang digariskan oleh FCTC di peringkat global. Hampir 5 trilion batang rokok dihisap setiap tahun yang menyumbang kepada lebih 8 juta kematian. Berhenti merokok sebagai satu langkah menjamin kebajikan keluarga khususnya dalam penyediaan makanan hasil daripada penjimatan tidak membeli rokok atau produk seumpamanya. Rokok elektronik dan vape tidak boleh digunakan sebagai kaedah berhenti merokok. Amalkan kaedah 5S untuk berhenti merokok.

  • SISIH: Membuang atau mengeluarkan sebarang produk tembakau seperti rokok, vape dan tempat habuk rokok daripada rumah dan kawasan sekitarnya

  • SUSUN: Perancangan jadual kehidupan boleh disusun dalam memenuhi hasrat untuk berhenti merokok

  • SAPU: Membersihkan kediaman dan ruang kerja daripada sisa asap dan habuk rokok. Kesan tabiat merokok bukan sahaja kepada perokok itu sendiri (firsthand smoke) tetapi kesan buruk kepada orang lain di sekitar mereka iaitu asap rokok sekunder (secondhand smoke) dan asap rokok tertier (third hand smoke) sisa kimia rokok ditinggalkan walaupun selepas perokok meninggalkan ruangan itu.

  • SERAGAMKAN: Seragamkan niat diri dan matlamat mahu berhenti merokok agar setiap insan di sekelilingnya dapat memberikan sokongan dan membantu perubahan positif tingkah laku ke arah hidup lebih sihat sejahtera.

  • SENTIASA AMALKAN: beristiqamah ke arah kebaikan mengamalkan budaya hidup sihat. Masyarakat khususnya keluarga dan rakan terdekat memainkan peranan penting membantu meninggalkan tabiat buruk dengan memberi bimbingan dan nasihat sebagai dorongan berhenti merokok.

Generasi Penamat Rokok perlu dilaksanakan SEGERA disebabkan oleh beban masalah merokok yang semakin parah. Orang ramai perlu memberi sokongan padu terhadap pelaksanaan Generasi Penamat Rokok demi melahirkan generasi bebas tanpa amalan merokok pada masa hadapan.

Tanpa #GenerasiPenamatRokok, kerajaan bakal berdepan dengan kos rawatan perubatan yang tinggi. Kajian menunjukkan perokok konvensional mahupun perokok elektronik berisiko mendapat penyakit kronik terutama berkaitan paru-paru. Larangan merokok terhadap kumpulan Generasi Penamat Rokok akan mengurangkan peratusan perokok baharu dan kerajaan hanya perlu fokus kepada beban sedia ada. Oleh itu, setiap anggota masyarakat perlu berganding bahu menjayakan Generasi Penamat Rokok demi mengurangkan beban negara.

Setiap individu memainkan peranan penting dalam menghentikan pengambilan tembakau. Walaupun masyarakat Malaysia berusaha memerangi tembakau, setiap individu perlu mengambil tanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri dan orang lain dengan tidak merokok dan menggalakkan gaya hidup sihat tanpa tembakau.

 

Disediakan oleh: Puan Shafikah binti Rahim

Sumber: 

Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/sihat/2023/03/1079016/nafas-baharu-bermula-ramadan

Tarikh Input: 26/06/2023 | Kemaskini: 10/08/2023 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXEcFAg~