Bersenam Cegah Hati Berlemak | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » Bersenam Cegah Hati Berlemak

Bersenam Cegah Hati Berlemak

HATI merupakan organ dalaman terbesar yang terletak di bahagian kanan abdomen manusia. Ia mempunyai fungsi yang pelbagai dan memainkan peranan penting dalam menyingkirkan toksin dari dalam darah.

Bukan itu sahaja, hati juga penting dalam mengawal proses metabolisme lemak, protein dan karbohidrat, selain penghasilan enzim dan makromolekul yang diperlukan tubuh

Disebabkan itu, kesihatan hati perlu dijaga bagi memastikan organ tersebut dapat berfungsi secara normal dan optimum.

HATI merupakan organ dalaman terbesar yang terletak di bahagian kanan abdomen manusia. Ia mempunyai fungsi yang pelbagai dan memainkan peranan penting dalam menyingkirkan toksin dari dalam darah.

Bukan itu sahaja, hati juga penting dalam mengawal proses metabolisme lemak, protein dan karbohidrat, selain penghasilan enzim dan makromolekul yang diperlukan tubuh.

Disebabkan itu, kesihatan hati perlu dijaga bagi memastikan organ tersebut dapat berfungsi secara normal dan optimum.

Ini kerana, kuantiti lemak berlebihan dalam hati boleh menyebabkan kemerosotan atau kegagalan fungsinya.

Berkongsi mengenai masalah hati berlemak, Pakar Bedah Am, Hepatobiliari-Pankreas dan Trauma Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr. Affirul Chairil Ariffin berkata, penyakit itu terjadi apabila terdapat pengumpulan lemak di hati secara berlebihan, melebihi lima hingga 10 peratus daripada biasa.

“Lambakan lemak ini akan merubah struktur sel-sel hati dan menjurus kepada keradangan dan kerosakan sekiranya tidak dicegah

“Ia turut berisiko untuk menjadi sirosis hati dan kanser hati sekiranya keradangan itu berterusan untuk jangka masa panjang.

“Walaupun hati berlemak peringkat awal tidak membawa maut, namun kesan jangka panjangnya boleh dianggap membawa bahaya dan sengsara,” katanya.

Berkongsi lanjut, menurut Dr. Affirul Chairil, penyakit tersebut tidak mempunyai gejala khusus pada peringkat awal.

DR. AFFIRUL CHAIRIL

Bagaimanapun, jika langkah-langkah penjagaan tidak dilakukan, ia boleh menjurus kepada kondisi dikenali sebagai steatohepatitis dan sirosis hati.

Antara tanda-tanda bagi masalah steatohepatitis dan sirosis hati ialah kekuningan, keletihan, hati membengkak dan tanda-tanda keradangan hati yang lain.

Selain masalah genetik, antara punca utama lain menyebabkan berlakunya hati berlemak ialah masalah obesiti, kencing manis, darah tinggi dan mengambil makanan tinggi kandungan lemak secara berlebihan.

“Kebanyakan diagnosis disahkan melalui ultrasound, imbasan tomografi berkomputer (CT scan) atau Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) hati dan juga penyiasatan darah.

“Bagaimanapun, pengesahan paling tepat adalah melalui biopsi hati yang biasanya dilakukan bagi kes lebih advanced.

“Penyakit ini boleh berulang walaupun sudah mendapatkan rawatan, terutamanya jika tiada kawalan,” ujarnya.

AMALAN gaya hidup sihat dengan bersenam merupakan salah satu kaedah pencegahan masalah hati berlemak

Meskipun kurang diberi pendedahan mahupun diuar-uarkan seperti penyakit lain, namun masalah hati berlemak adalah sangat serius dan tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat.

Justeru, pencegahan penyakit ini sangat penting berikutan terdapat peningkatan yang tinggi dalam penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain.

“Tiada suplemen khas terbukti dapat mengurangkan lemak hati, memandangkan ia hanya dapat dicegah dengan senaman dan gaya hidup sihat.

“Sentiasalah bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat. Kurangkan berat badan untuk mencapai sasaran ideal serta memastikan pengawalan penyakit pada paras terbaik,” tambahnya.

Menurutnya, penjagaan makanan dan senaman adalah cara terbaik untuk mengurangkan kesan lemak dalam hati.

Setakat ini, penurunan berat badan terbukti dapat mengurangkan kesan jangka panjang penyakit ini.

Selain itu, penjagaan penyakit metabolik seperti kencing manis juga dapat mengurangkan risiko seseorang daripada mendapat penyakit ini.

 

Disediakan oleh: Pn. Shafikah binti Rahim

Sumber: https://www.kosmo.com.my/2022/10/07/bersenam-mencegah-hati-berlemak/?utm_source=dable

 

Tarikh Input: 27/10/2022 | Kemaskini: 09/01/2023 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXEaTAz~