HARI TANPA TEMBAKAU SEDUNIA 31 MEI 2020 | CANCER RESOURCE & EDUCATION CENTER (CaRE)
» ARTICLE » HARI TANPA TEMBAKAU SEDUNIA 31 MEI 2020

HARI TANPA TEMBAKAU SEDUNIA 31 MEI 2020

Penyakit kronik berkaitan rokok seperti penyakit kardiovaskular dan kanser merupakan antara penyumbang utama kepada morbiditi dan mortaliti di dunia dan di Malaysia. Menurut kajian The Malaysian National Health& Morbidity Survey (MNHMS, 2015), sebanyak 22.8% atau 4.99 juta rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas adalah perokok. Mereka terdiri daripada 43.0% (4.85 juta) lelaki dan 1.4% (143,566 ribu) wanita. Kajian juga menunjukkan bahawa 24.3% lelaki dan 3.7% perempuan berusia antara 10 hingga 19 tahun adalah perokok.

 

Merokok merupakan faktor penyumbang kepada penyakit kardiovaskular, penyakit respiratori dan kanser.  Penyakit kardiovaskular yang sering dihidapi perokok adalah seperti  penyakit jantung koronari dan angin ahmar. Penyakit chronic obstructive pulmonary disease (COPD) pula adalah penyakit respiratori yang sering menyerang perokok. Perokok juga berisiko untuk menghidap pelbagai jenis kanser seperti kanser paru-paru, kanser usus, kanser darah (acute myeloid leukemia), kanser serviks, kanser  pankreas, kanser perut, kanser buah pinggang, kanser hati dan kanser esofagus. Apa yang lebih menyedihkan, individu yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok (secondhand smoke) juga berisiko untuk menghidap pelbagai penyakit berkaitan rokok. Kerajaan Malaysia telah membelanjakan berbilion ringgit bagi menampung kos rawatan pesakit yang menghidap penyakit-penyakit tersebut.

 

Kesedaran dan pengetahuan tentang bahaya rokok perlu diterapkan kepada komuniti seawal usia kanak-kanak. Sifat ingin mencuba dan juga pengaruh rakan sebaya serta persekitaran amat mudah mempengaruhi keinginan mereka untuk merokok, terutamanya apabila memasuki fasa awal remaja. Kesedaran tentang kepentingan berhenti merokok dan kaedah untuk membantu perokok mengurangkan ketagihan perlu dilakukan secara intensif bagi mengurangkan penyakit dan kematian berkaitan tabiat merokok.

Date of Input: 18/06/2020 | Updated: 18/06/2020 | aimerul

MEDIA SHARING

CANCER RESOURCE & EDUCATION CENTER (CaRE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1011
03-9769 2706
C1593681652