Rawatan Leukemia | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» Rawatan Leukemia

Rawatan Leukemia

Pada hari ini, penyakit leukemia dapat dirawat dengan baik. Bergantung kepada jenis leukemia, rawatannya adalah berbeza. Penyakit leukemia yang akut memerlukan rawatan “chemotherapy” yang intensif dan dalam kes-kes tertentu pemindahan sum-sum tulang. Tujuan rawatan adalah untuk menghapuskan sel-sel leukemia dan membenarkan sel-sel darah yang normal pulih kembali. Dalam kes-kes yang berisiko tinggi untuk berulang, rawatan pemindahan sum-sum tulang adalah disyorkan. Dengan rawatan moden, penyakit leukemia mampu disembuhkan.

 

Penyakit “Chronic Leukaemia” pula biasanya boleh dikawal dengan mengambil ubat. Contohnya penyakit “Chronic Myeloid Leukaemia” (CML) boleh dikawal dengan amat memuaskan dengan menggunakan sejenis ubat yang dinamakan “Tyrosine Kinase Inhibitor”. Kini, pesakit CML mampu hidup dengan normal tanpa apa-apa tanda penyakit untuk jangka masa yang amat lama.

 

Kanak-kanak yang telah dikenal pasti menghidap  kanser semestinya dirawatoleh pakar onkologi pediatrik (seorang doktor yang pakar dalam merawat kanak-kanak yang menghidap kanser). Pakar onkologi pediatrik akan bekerjasama rapat dengan doktor dan kakitangan kesihatan yang lain yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam merawat kanak-kanak dengan kanser. Ini mungkin termasuk pakar-pakar berikut:

  • Hematologist/Pakar kaji darah.
  • Pakar bedah kanak-kanak.
  • Radiation onkologist.
  • Pakar Endokrin.
  • Pakar saraf.
  • Pakar Radiologi.
  • Pekerja sosial.
  • Jurupulih kerja dan cara.
  • Pakar psikologi.
  • Pakar dietetik.

 

  1. Rawatan kemoterapi merupakan tulang belakang rawatan kanak-kanak leukemia.
  2. Terapi radiasi  kurang lazim digunakan sekarang. Ia diberikan secara profilaktik pada pesakit yang menghidap leukemia jenis T-sel  dan sebagai rawatan kepada pesakit yang menghidap leukaemia pada sistem saraf.
  3. Pemindahan Tulang sum-sum / pemindahan sel stem adalah rawatan yang paling intensif yang boleh diberikan. Ia digunakan untuk  pesakit  AML dan ALL berisiko tinggi  atau yang berulang (relapse).


Rawatan leukaemia kanak-kanak dilakukan secara berperingkat-peringkat:

  • Terapi Induksi: Ini adalah fasa pertama rawatan. Tujuannya adalah untuk membunuh sel-sel.


Leukemia dalam darah dan sum-sum tulang. Ini meletakkan Leukemia ke dalam remision:

  • Terapi Konsolidasi/pengukuhan: Ini adalah fasa kedua dalam perawatan. Bermula apabila Leukemia berada dalam keadaan remision. Tujuan terapi ini  adalah untuk membunuh sel-sel leukemia yang tertinggal dan mencegah sel-sel daripada menjadi alah kepada rawatan.
  • Terapi yang berterusan (maintenance therapy): Ini adalah fasa ketiga rawatan. Ia dilakukan sebagai pesakit luar.  Kemoterapi diberikan secara lisan dan dalam dos yang lebih rendah daripada yang digunakan untuk induksi dan konsolidasi.


Rawatan biasanya diberikan untuk tempoh 2-3 tahun. Oleh kerana kanak kanak lelaki secara umumnya menunjukkan tindak balas yang lebih rendah berbanding kanak kanak perempuan, rawatan untuk kanak-kanak lelaki adalah lebih lama. Kanak-kanak yang menghidap ALL mempunyai peluang yang baik untuk sembuh. Kebanyakan pusat rawatan  kini melaporkan kadar 90% peluang sembuh untuk pesakit yang mempunyai standard risk.

Kesan sampingan akibat daripada rawatan boleh berlaku sama ada pada jangka masa pendek atau panjang. Terapi radiasi ke atas kepala misalnya boleh memberi kesan kepada perkembangan otak kanak-kanak dan boleh menyebabkan barah lain berlaku. Oleh yang demikian pemeriksaan yang berkala adalah sangat penting.

 

Bolehkah penyakit ini berulang semula setelah dirawat?

 

ALL pada kanak-kanak boleh berulang walaupun ianya telah dirawat. Leukemia boleh terjadi semula di dalam darah dan sum-sum tulang atau testikal dan korda spinal atau di bahagian lain badan. Cara rawatan adalah sama seperti di atas tetapi ianya lebih intensif.

 

Pada hari ini, rawatan untuk penyakit leukemia sedang berkembang dengan pesat dan banyak penyelidikan sedang dijalankan untuk mendapatkan rawatan yang lebih mujarab dan selamat. Pengidap penyakit leukemia yang tidak dapat dirawat pada masa lampau mempunyai masa depan yang lebih cerah dan diharap penyakit ini boleh disembuhkan dengan sepenuhnya pada masa hadapan.

Kemaskini:: 13/09/2021 []

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
X, (06:31:52pm-06:36:52pm, 09 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]