Penyaringan & Diagnosis Kanser Tiroid | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» Penyaringan & Diagnosis Kanser Tiroid

Penyaringan & Diagnosis Kanser Tiroid


Pemeriksaan dan ujian di bawah boleh dicadangkan kepada individu yang mempunyai gejala kanser tiroid. 

1) Pemeriksaan Fizikal - doktor akan merasa leher, kelenjar tiroid, dan nodus limfa pada leher untuk mengesan pertumbuhan yang ganjil (nodul) atau bengkakan. 

2) Ujian Darah - doktor mungkin mengkaji aras hormon perangsang tiroid (TSH) yang mungkin tidak normal (terlalu rendah atau terlalu tinggi) dalam darah. TSH merangsang perembesan hormon tiroid. Jika kanser tiroid medula disyaki, doktor akan memeriksa aras kalsium yang mungkin terlalu tinggi dalam darah (ujian darah ini menguji terutamanya untuk ketaknormalan kelanjar tiroid dari segi fungsinya). 

3) Biopsi – biopsi ialah pengambilan tisu daripada nodul tiroid untuk pemeriksaan. Pakar patologi akan meneliti sampel tisu sama ada tisu tersebut bersifat kanser atau tidak dengan menggunakan mikroskop. Sehingga kini biopsi ialah cara terbaik untuk mengkaji sama ada nodul tiroid itu bersifat kanser atau tidak. Doktor mungkin menggunakan salah satu cara biopsi yang tersenarai di bawah:

  • Sedutan jarum-halus: Suatu sampel tisu diambil daripada nodul tiroid dengan jarum yang halus. Kadangkala, doktor akan mengunakan alat ultrabunyi untuk memandu jarum melalui nodul tersebut.
  • Biopsi pembedahan: Jika diagnosis tidak dapat dilakukan melalui sedutan jarum halus, pembedahan mungkin dilakukan untuk mengambil seluruh nodul untuk diperiksa. 

4) Ujian Pengimejan - beberapa ujian pengimejan dilakukan untuk mendiagnosis pelbagai keadaan kelenjar tiroid. Ujian-ujian ini antaranya termasuklah:

  • Ultrabunyi: Mesin ultrabunyi menggunakan gelombang bunyi yang tidak dapat didengar oleh manusia. Gelombang tersebut melantun pada kelenjar tiroid dan mewujudkan suatu gambar.  Doktor menggunakan gambar tersebut untuk meneliti saiz dan bentuk setiap nodul dan meneliti sama ada nodul tersebut bersifat pepejal (mungkin kanser) atau berisi cecair (lazimnya bukan kanser).

 

  • Imbasan tiroid: Pesakit perlu menelan (lazimnya dalam bentuk pil) atau disuntikkan ke dalam pembuluh darah vena sejumlah kecil iodin radioaktif. Setelah sel tiroid menyerap iodin radioaktif, kamera digunakan untuk mengukur jumlah sinaran kelenjar tersebut. Pesakit mengalami sama ada salah satu atau kedua-dua kesan ini:
    1. Jika nodul menyerap lebih iodin radioaktif daripada tisu tiroid di sekelilingnya, ini bermakna nodul tersebut “panas”.  Nodul panas lazimnya bukan kanser.
    2. Walau bagaimanapun, jika nodul kurang menyerap iodin radioaktif daripada tisu tiroid di sekelilingnya, ini bermakna nodul tersebut “sejuk”. Nodul sejuk mungkin kanser.
  • Imbasan CT (imbasan CAT): Imbasan CT ialah suatu prosedur yang menghasilkan gambar terperinci bahagian dalam tubuh, yang diambil dari sudut yang berlainan.  Gambar-gambar tersebut dihasilkan oleh komputer yang dirangkaikan kepada mesen sinar-X. Pesakit perlu menelan cecair pewarna atau disuntik dengan pewarna tersebut ke dalam pembuluh darah venanya untuk membantu menjelaskan rupa organ atau tisu pada gambar. Prosedur ini juga dinamai tomografi berkomputer, atau tomografi paksi berkomputer.

 

  • MRI (Magnetic Resonance Imaging - Pengimejan Resonans Magnet): MRI ialah prosedur yang menggunakan magnet, gelombang radio, dan komputer untuk menghasilkan gambar terperinci bahagian dalam tubuh. Prosedur ini juga dinamai pengimejan resonans magnet nukleus.

 

  • Imbasan PET (Imbasan Tomografi Emisi Positron): Pesakit disuntik sedikit glukosa (gula) radioaktif ke dalam pembuluh darah venanya. Kemudian pengimbas PET mengimbas seluruh tubuh dan menghasilkan gambar bahagian-bahagian tubuh yang menggunakan glukosa tersebut. Jika nodul mengambil lebih glukosa daripada sel-sel normal, bahagian tersebut akan kelihatan lebih terang kerana sel-sel tersebut lebih aktif (yang menandakan bahawa sel tersebut bersifat kanser).

 

 

Kemaskini:: 18/03/2019 []

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXESKAA~