Penyaringan & Diagnosis Kanser Hati | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» Penyaringan & Diagnosis Kanser Hati

Penyaringan & Diagnosis Kanser Hati


Jika anda mengalami gejala yang menunjukkan kanser hati, anda hendaklah memberitahu doktor anda supaya keadaan tersebut dapat didiagnosis dan dirawat secepat mungkin. Doktor akan melakukan satu atau lebih daripada satu ujian berikut:

  • Pemeriksaan Fizikal – para doktor akan meneliti abdomen untuk memeriksa sama ada hati, limpa dan organ-organ yang berdekatan mempunyai ketulan atau perubahan bentuk atau saiz. Doktor juga memeriksa sama ada terdapat asites, iaitu penimbunan cecair yang terlalu banyak di dalam abdomen. Doktor mungkin juga memeriksa kulit dan mata untuk tanda-tanda jaundis.

 

  • Ujian darah – Beberapa ujian darah mungkin digunakan untuk meneliti masalah hati. Satu ujian darah mengesan alfa-fetoprotein (AFP). Aras AFP yang tinggi mungkin menandakan kanser hati. Ujian darah yang lain dapat menunjukkan keadaan fungsi hati.

 

  • Imbasan CT – mesin sinar-X yang berangkai kepada komputer mengambil suatu siri gambar hati, organ lain dan salur darah di dalam abdomen secara terperinci. Pesakit mungkin disuntik pewarna khusus supaya hati jelas kelihatan di dalam gambar-gambar tersebut. Daripada imbasan CT, doktor mungkin dapat melihat tumor pada hati atau di tempat lain di dalam abdomen.

 

  • Ultrabunyi – alat ultrabunyi menggunakan gelombang bunyi yang tidak dapat didengar oleh manusia. Gelombang bunyi tersebut menghasilkan suatu pola gema semasa gelombang tersebut terpantul dari organ-organ dalaman. Gema tersebut mewujudkan gambar (sonogram) hati dan organ lain di dalam abdomen. Tumor mungkin menghasilkan gema yang berbeza daripada gema yang dihasilkan oleh tisu yang normal atau sihat.

 

  • MRI – alat yang terdiri daripada magnet berkuasa tinggi yang terangkai kepada komputer digunakan untuk menghasilkan gambar terperinci beberapa kawasan di dalam tubuh. Gambar ini dilihat melalui monitor dan boleh juga dicetak.

 

  • Angiogram – doktor menyuntikkan pewarna ke dalam suatu arteri supaya salur darah di dalam hati jelas kelihatan pada gambar sinar-X. Angiogram dapat menunjukkan tumor pada hati.

 

  • Biopsi – biasanya biopsi tidak diperlukan untuk mendiagnosis kanser hati, tetapi dalam sesetengah kes doktor mungkin mengambil suatu sampel tisu. Kaedah ini ialah kaedah diagnosis yang berkesan untuk mengesahkan sama ada tumour tersebut malignan. Biopsi ialah prosedur perubatan yang melibatkan pengambilan sampel tisu daripada kawasan sasaran, yang seterusnya dikaji. Ada dua cara untuk mengambil sampel tisu:
    1. Melalui aspirasi dengan jarum.
    2. Melalui laparoskopi.

 

 

Kemaskini:: 15/03/2019 []

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXDdKAv~